Topik diikuti
Pergi ke BHkuJosephine: Video dari luar S’pura satu cubaan tegangkan keharmonian kaum
Josephine: Video dari luar S’pura satu cubaan tegangkan keharmonian kaum
Josephine: Video dari luar S’pura satu cubaan tegangkan keharmonian kaum
Kandungan dan video, bukan berasal dari Singapura, yang disasarkan terhadap masyarakat India dan cuba melemahkan model kepelbagaian budaya di Singapura merupakan percubaan untuk menyemai ketegangan antara kaum negara ini dan tidak mencerminkan pandangan rakyat.
Menyatakan demikian semasa Karnival Sukan Keluarga Jalan Besar di Taman Zhongshan dekat Jalan Ah Hood pada 4 Jun, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Josephine Teo, memberikan salah satu contoh kandungan yang memaparkan perarakan keagamaan di Pagoda Street, Chinatown, yang secara tersirat menggambarkan bahawa masyarakat India tidak diterima atau tidak dialu-alukan di kawasan itu.
Beliau berkata:
“Salah satu video itu sebenarnya berkaitan dengan satu perarakan keagamaan di Chinatown di sepanjang Pagoda Street yang memberi gambaran bahawa orang India tidak dialu-alukan di situ.
“Video-video ini tidak berasal dari Singapura dan tidak mencerminkan pandangan rakyat Singapura.
“Sesiapa yang biasa dengan kawasan Chinatown pasti tahu bahawa dalam jarak berjalan kaki yang sangat dekat, terdapat kuil Buddha, kuil Hindu, sebuah masjid, sebuah gereja Methodist, dan sebahagian besar di kawasan Jalan Besar mempunyai ciri kepelbagaian seperti itu.”
Cik Teo memaklumkan bahawa pihak polis telah meminta platform berkenaan untuk menyekat akses kepada beberapa video tersebut.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak terus menyebarkan kandungan yang memudaratkan itu.
Satu kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 6 Jun berkata sebanyak 14 kandungan dan video yang tidak berasal dari Singapura dan bersifat menghina masyarakat India telah diminta untuk diturunkan daripada platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan X.
Kandungan tersebut dipercayai berasal daripada sebuah platform berpangkalan di China dan kemudiannya disebarkan semula melalui platform serta laman web lain.
Sehubungan dengan insiden tersebut, Cik Teo menegaskan bahawa rakyat Singapura perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang percubaan untuk menggugat keharmonian kaum.
Beliau juga mengingatkan agar kita terus memperkukuh hubungan sesama masyarakat, berkenalan bagi menghargai masyarakat yang berlainan kaum sebagai sebahagian daripada usaha harian kita bersama.
Merujuk kepada Karnival Sukan Keluarga yang dihadiri sekitar 1,200 pengunjung, yang dianggapnya contoh baik dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di Singapura, Cik Teo berkongsi:
“Karnival Sukan Keluarga ini merupakan contoh baik tentang bagaimana kita di Singapura dapat bersatu.
“Tidak kira kaum atau agama. Semua orang boleh turut serta bersama keluarga masing-masing. Semua orang boleh menikmati aktiviti sukan bersama-sama.
“Oleh itu, kita mesti sentiasa ingat bahawa perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati dalam masyarakat kita adalah sesuatu yang amat berharga.
“Ia telah mengambil masa yang sangat lama untuk dibina, tetapi ia juga boleh terjejas jika kita tidak berhati-hati.
“Jadi, kita harus sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan sesiapa pun menggugat perpaduan negara kita serta identiti masyarakat majmuk yang menjadi kebanggaan kita.”
Karnival tersebut turut dihadiri kesemua Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar termasuk Dr Wan Rizal Wan Zakariah yang juga merupakan Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC); Mayor CDC Central, Cik Denise Phua; dan Encik Shawn Loh.
Karnival itu merangkumi beberapa permainan seperti cabaran sukan keluarga dan zon permainan kanak-kanak.
