Lonjakan dalam bilangan pengguna yang mengambil pelan berkaitan pelaburan telah membantu perniagaan insurans hayat Singapura pulih dengan kukuh pada 2024 selepas penurunan penjualan pada tahun sebelumnya.
Sektor insurans hayat di sini tumbuh 19.7 peratus tahun-ke-tahun pada 2024 kepada $5.87 bilion dalam jumlah premium perniagaan baru berwajaran, yang merupakan ukuran kasar jualan baru, menurut angka daripada Persatuan Insurans Hayat (LIA) Singapura yang dikeluarkan pada 13 Februari.
Ini adalah pembalikan daripada penurunan 3.9 peratus tahun-ke-tahun dalam jumlah premium perniagaan baru berwajaran yang dicatatkan pada 2023, kepada $4.9 bilion, yang diterajui oleh penurunan dalam perniagaan premium tunggal, lapor The Straits Times.
LIA mengaitkan pertumbuhan 2024 kepada jualan pelan berkaitan pelaburan (ILP), yang melonjak 41 peratus tahun-ke-tahun kepada $2.3 bilion daripada $1.6 bilion pada 2023.
Ia berkata lebih ramai pengguna memanfaatkan ILP untuk pengumpulan kekayaan, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kadar faedah yang lebih tinggi, kerana polisi-polisi ini menyediakan perlindungan insurans hayat sambil menawarkan potensi pulangan yang lebih tinggi.
Ia menyatakan bahawa ILP premium biasa – pelan yang premiumnya selalu diperuntukkan kepada segmen dana pada pelbagai peringkat harga – juga mencatatkan lonjakan dalam pengambilan kerana ia membantu menangani masalah masa dan turun naik pasaran.
Daripada penjualan baru itu, 34.1 peratus premium berwajaran datang daripada penasihat kewangan, 31.3 peratus daripada wakil bank dan 30.5 peratus daripada ejen atau ejen terikat yang menjual produk syarikat insurans tertentu.
Baki jualan adalah daripada saluran dalam talian langsung atau produk yang dijual tanpa perantara.
Pada 2024, jumlah yang diinsuranskan di Singapura meningkat 3.6 peratus tahun-ke-tahun.
LIA berkata penasihat kewangan menyumbang 40.7 peratus daripada pertumbuhan jumlah yang diinsuranskan, manakala ejen terikat menyumbang 33.3 peratus.
Terdapat juga peningkatan 1.8 peratus dalam jumlah orang yang dilindungi oleh insurans kesihatan, kata LIA.
Kira-kira 40,000 lagi rakyat Singapura dan penduduk tetap dilindungi oleh Pelan Perlindungan Bersepadu (IP) pada akhir 2024 berbanding setahun lalu.
Jumlah premium perniagaan baharu berwajaran untuk insurans kesihatan individu di sini mencecah $624.8 juta pada 2024, dengan kenaikan 103 peratus pada suku keempat daripada tempoh yang sama pada 2023.
Khususnya, penjualan IP dan IP ‘rider’ (tambahan), yang membentuk 89 peratus premium insurans kesihatan individu, meningkat. Jumlah premium perniagaan baru untuk IP dan IP ‘rider’ meningkat 49.1 peratus kepada $556.6 juta pada 2024.
Pada 2024, perusahaan insurans hayat membayar $18.1 bilion kepada pemegang polisi dan benefisiari, meningkat 33.4 peratus berbanding 2023.
Sebahagian besar daripada jumlah ini adalah untuk polisi yang matang, manakala $1.9 bilion adalah untuk kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal, serta tuntutan penyakit kritikal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg