Topik diikuti
Pergi ke BHkuJualan runcit S’pura naik 5.4% pada Apr
Jualan runcit S’pura naik 5.4% pada Apr
Pertumbuhan meningkat disokong permintaan kukuh rentas pelbagai segmen
Jualan runcit S’pura naik 5.4% pada Apr
Jualan runcit Singapura terus menunjukkan rentak positif pada April, meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun, kepada anggaran $4.3 bilion, meskipun berdepan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Pertumbuhan itu meningkat daripada 4.6 peratus yang dicatatkan pada Mac, disokong oleh permintaan kukuh merentas pelbagai segmen.
Menurut data Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) pada 5 Jun, urus niaga dalam talian membentuk 15.4 peratus daripada jumlah jualan, menyusut sedikit daripada 15.6 peratus pada Mei.
Tanpa mengambil kira kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori, jualan runcit mencatat pertumbuhan 4.5 peratus kepada $3.6 bilion, sekali gus memperkukuh momentum 3.0 peratus yang direkodkan pada Mac.
Secara bulanan dan setelah pelarasan bermusim, jualan runcit meningkat 0.3 peratus.
Apabila kenderaan bermotor dikecualikan, pertumbuhan tersebut adalah sebanyak 0.4 peratus.
Prestasi itu didorong oleh peningkatan meluas merentas segmen runcit, terutama stesen minyak, barangan riadah, serta kenderaan bermotor dan alat gantinya.
Stesen minyak merekodkan pertumbuhan tertinggi dengan lonjakan 14.4 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh kenaikan harga petrol, berdasarkan data SingStat.
Segmen lain yang turut berkembang termasuk pakaian dan kasut (7.8 peratus); jam tangan dan barang kemas (6.4 peratus); kosmetik serta produk perubatan (6.2 peratus); dan pasar raya (5.8 peratus).
Jualan perkhidmatan makanan dan minuman berkembang sederhana sebanyak 0.4 peratus tahun ke tahun pada April kepada anggaran $1.5 bilion, memperlihatkan aliran lebih perlahan berbanding peningkatan 2.3 peratus pada Mac.
Sumbangan jualan dalam talian turut menyusut kepada 19.9 peratus, berbanding 20.4 peratus bulan sebelumnya.
Restoran makanan segera mendahului pertumbuhan dengan kenaikan 3.2 peratus, diikuti oleh kafe, katerer dan restoran, yang turut mencatatkan peningkatan.
Sebaliknya, medan selera dan premis makanan lain menjadi satu-satunya segmen yang menguncup, dengan penurunan jualan sebanyak 3.6 peratus.
Dari bulan ke bulan, momentum pemulihan semakin ketara merentas beberapa sektor.
Stesen minyak serta barangan optik dan buku masing-masing mencatat kenaikan 7 peratus dan 5.5 peratus.
Namun, permintaan bagi peralatan komputer dan telekomunikasi serta jam tangan dan barang kemas menyusut, masing-masing turun 5.1 peratus dan 2.6 peratus.
