Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah jagaan kesihatan asas pencarum CPF bawah 65 naik mulai Jan 2026

Dec 15, 2025 | 7:43 PM
pencarum, cpf, jagaan kesihatan asas, BHS
Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas (BHS) akan dinaikkan kepada $79,000 bagi pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berusia di bawah 65 tahun mulai 1 Januari 2026. - Foto ST

Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas (BHS) akan dinaikkan dari $75,500 kepada $79,000 bagi pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berusia di bawah 65 tahun mulai 1 Januari 2026.

Bagi mereka yang berusia 66 tahun dan ke atas pada 2026, tiada perubahan terhadap BHS mereka, jelas kenyataan bersama Lembaga CPF, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 15 Disember.

Kadar faedah bagi Akaun Khas, MediSave dan Akaun Persaraan CPF akan kekal pada kadar minimum 4 peratus setahun bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Mac 2026.

Kadar faedah bagi Akaun Biasa (OA) juga akan kekal pada kadar minimum 2.5 peratus setahun bagi suku pertama 2026, lapor The Straits Times (ST).

Dalam tempoh yang sama, pencarum CPF berusia di bawah 55 tahun akan terus menerima faedah tambahan 1 peratus bagi jumlah $60,000 pertama daripada jumlah baki gabungan simpanan mereka, dengan had $20,000 bagi akaun OA.

Bagi mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas, faedah tambahan sebanyak 2 peratus akan diberikan bagi jumlah $30,000 pertama daripada baki gabungan simpanan mereka (dengan had $20,000 bagi OA), serta faedah tambahan 1 peratus bagi $30,000 selanjutnya.

Kadar faedah yang lebih tinggi ini merupakan sebahagian usaha pemerintah memperkukuh simpanan persaraan pencarum CPF.

Dalam pada itu, faedah tambahan yang diterima bagi akaun OA akan dimasukkan ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan.

Bagi pencarum CPF berusia 55 tahun dan ke atas di bawah skim Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia (CPF Life), faedah tambahan akan kekal dalam baki simpanan mereka, termasuk simpanan bagi skim itu.

Kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB, yang ditetapkan pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, akan kekal pada 2.6 peratus setahun.

Orang ramai boleh melayari cpf.gov.sg/BHS serta mengunjungi laman web CPF atau menghubungi Lembaga CPF bagi sebarang pertanyaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg