Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah keluarga pendapatan rendah terima bantuan ComLink+ naik 10%

Laporan MSF: Sehingga Disember 2024, 10,219 keluarga tersenarai dalam usaha capai kestabilan hidup, pertingkat mobiliti sosial
Dec 16, 2025 | 5:31 PM
Pakej Kemajuan ComLink+
Encik Muhammad Yazid Muhammad Amin (kiri) dan isteri, Cik Nur Habibah Ramlan Mohd Ishak (kanan), teruja mendapat bimbingan seorang jurulatih keluarga dan diperkasa di bawah daya usaha Pakej Kemajuan ComLink+. Bersama mereka adalah (dua dari kiri) anak sulung berusia tujuh tahun, Muhammad Uwais; anak bongsu berusia tiga tahun, Nur Hannah; dan anak kedua berusia lima tahun, Muhammad Zidan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kawalan perasaan merupakan satu sifat yang dipelajari Encik Muhammad Yazid Muhammad Amin, 41 tahun, dan isteri, Cik Nur Habibah Ramlan Mohd Ishak, 31 tahun, untuk mengekang amarah masing-masing.

Ia diterapkan oleh jurulatih keluarga yang mendampingi mereka, Cik Shakari Dhoraraj, sebagai sebahagian daripada penglibatan keluarga itu dalam daya usaha Pakej Kemajuan ComLink+ sejak Mac 2025, kelolaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Pakej Kemajuan ComLink+ merupakan daya usaha bagi keluarga berpendapatan rendah dengan anak-anak kecil yang tinggal di flat sewa awam, bagi menyokong keluarga seperti ini mencapai kestabilan dan mobiliti sosial serta menjadi lebih berdikari.

Kawalan emosi ini jelas terpancar menerusi cara pasangan suami isteri itu menyantuni ketiga-tiga anak mereka – masing-masing berusia tiga, lima dan tujuh tahun – ketika ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Cik Nur Habibah berkata: “Pada peringkat awal (selepas menimang cahaya mata pertama), kami berdua akur dan berkongsi bahawa kami penuh dengan rasa marah.

“Setelah berkongsi tentang perasaan ini kepada jurulatih keluarga, beliau memberikan panduan – misalnya alihkan perasaan marah itu kepada perkara lain… atau alihkan perhatian si anak, dan bukannya memarahi atau memukul mereka.”

Di samping meraih penerapan kemahiran, Cik Habibah berkata keluarganya menerima tokokan sekali berjumlah $500 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) apabila anak bongsunya mencecah usia tiga tahun dan dimasukkan ke prasekolah.

Malah, beliau turut menerima tokokan $200 ke dalam CDA anak bongsunya setiap tiga bulan apabila anaknya itu mencatat rekod kehadiran baik di prasekolah.

Tokokan ini akan ditambah ke dalam CDA sehinggalah kanak-kanak itu berusia enam tahun, selagi mana dia mencatat kehadiran ke kelas prasekolah sekurang-kurangnya 75 peratus, seperti yang disyaratkan.

Sedikit sebanyak, ini dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga tersebut, khususnya yuran prasekolah, kata beliau, yang menetap di flat sewa satu bilik di daerah Teck Whye.

Sokongan yang diterima keluarga Cik Habibah merupakan antara langkah pemerkasaan bagi keluarga di bawah ComLink+.

Menurut laporan MSF yang diterbitkan pada 16 Disember, jumlah keluarga berpendapatan rendah yang menerima sokongan daripada pemerintah bagi memenuhi aspirasi mereka dalam aspek perumahan, pendidikan dan pekerjaan telah meningkat sekitar 10 peratus.

Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2025 itu menyatakan, terdapat sebanyak 10,219 keluarga tersenarai di bawah daya usaha itu sehingga Disember 2024.

Jumlah ini adalah lebih tinggi daripada 9,153 keluarga yang dicatat pada Disember 2023.

Menurut jurucakap MSF, peningkatan ini adalah disebabkan oleh jangkauan lebih meluas yang dilakukan kementerian itu kepada keluarga yang layak bagi ComLink+.

“Sejak Mac 2024, ComLink+ telah diperluaskan secara progresif untuk menyokong keluarga yang menetap di flat dengan anak yang layak untuk program KidSTART dan/atau ada anak dengan risiko tidak hadir ke sekolah dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Program KidSTART memperkasa keluarga berpendapatan rendah untuk memberi permulaan yang baik kepada anak mereka, antaranya, menerusi bimbingan bersama pakar pembangunan kanak-kanak.

Diumumkan pada November 2023 oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, ComLink+ pula bertujuan membantu keluarga di rumah sewa awam yang mempunyai anak, dengan sokongan menyeluruh.

Ini termasuk pendidikan prasekolah, bimbingan pekerjaan dan bantuan melangsaikan hutang.

Laporan MSF itu mendapati lebih ramai keluarga dengan anak kecil di bawah ComLink+ pada 2024 mencapai status berdikari dari segi pendidikan prasekolah.

Ini memandangkan 21 peratus, atau sekitar satu dalam lima, daripada mereka telah memastikan anak kecil mereka dihantar ke prasekolah, telah mengambil vaksinasi wajib dan mencatatkan kehadiran konsisten ke prasekolah.

Ini juga menunjukkan peningkatan 8 mata peratusan berbanding keluarga dengan anak kecil di bawah ComLink+ pada 2023, yang mencapai status berdikari bagi aspek pendidikan prasekolah, dengan sekitar 1 dalam 10 (13 peratus) daripada keluarga sedemikian meraih kedudukan sebegitu.

“Peningkatan ini boleh dikaitkan dengan kemasukan data kehadiran bagi keluarga dengan anak-anak yang memasuki prasekolah bukan di bawah Skim Pengendali Utama (AOP), memandangkan data itu tidak tersedia pada Disember 2023,” jelas MSF.

Dari segi perumahan, laporan itu mendapati terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah keluarga yang telah berpindah dari rumah sewa ke rumah milik sendiri.

Menurut laporan tersebut, sehingga Disember 2024, 358 keluarga ComLink+ yang menetap di rumah sewa awam berjaya mendapatkan pemilikan rumah sendiri. Ini peningkatan 2 mata peratusan berbanding 169 keluarga sehingga Disember 2023.

Peningkatan ini berlatarbelakangkan usaha pemerintah dalam melancarkan beberapa inisiatif bagi membantu keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Antaranya ialah Geran Perumahan Permulaan Baru, dengan nilai geran dinaikkan daripada $50,000 kepada $75,000 pada Februari.

Ia bertujuan membantu keluarga rentan yang menetap di flat sewa awam bersama anak kecil membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dua bilik fleksi atau tiga bilik Standard, atau flat Jualan Baki Flat (SBF), dengan tempoh pajakan lebih pendek.

Ini di samping menerima Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat (EHG) bernilai sehingga $120,000.

Namun demikian, MSF dalam satu kenyataan akur bahawa keperluan keluarga ComLink+ unik dan tidak begitu mudah untuk ditangani, meskipun dengan program nasional, dan masyarakat umum turut memainkan peranan, sejajar dengan masyarakat berprinsipkan semangat ‘Kita Dahulu’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg