Pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk mengekalkan mobiliti sosial dan membantu setiap rakyat Singapura merealisasikan potensi penuh mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap di Parlimen pada 24 September, Encik Wong berkata pemerintah akan melabur lebih banyak lagi pada tahun-tahun awal kanak-kanak.
Ini, katanya, dengan mengembangkan program KidStart, meningkatkan ComLink+, dan memperdalam sokongan bagi kanak-kanak yang datang daripada latar belakang yang kurang bernasib baik.
“Kita akan menggandakan usaha dan bekerjasama rapat dengan ibu bapa, pengendali prasekolah dan agensi perkhidmatan sosial untuk memastikan kanak-kanak ini mendapat sokongan konsisten yang mereka perlukan untuk berkembang maju.
“Kita bukan sahaja akan melakukan lebih banyak lagi, malah kita juga akan mengambil tindakan merentasi agensi dengan pendekatan yang lebih tertumpu kepada keluarga,” kata Encik Wong.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Amanat Presiden, yang mana beliau memberi jaminan pemerintah untuk membina negara yang lebih adil dan terangkum, mengukuhkan jaringan keselamatan dan memperdalam perpaduan sedang Singapura membuka lembaran baru.
Walaupun Singapura telah membuat pembaharuan kepada sistem pendidikan Singapura, seperti mengubah cara Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) digredkan dan mengganti sistem penstriman di sekolah menengah, Encik Wong berkata pembaharuan pendidikan sahaja tidak mencukupi.
Beliau juga menyeru majikan untuk mengubah cara mereka mengambil dan mempromosi pekerja mereka melangkaui kriteria akademik yang sempit, dengan mengiktiraf bahawa setiap orang mempunyai bakat dan kekuatan yang berbeza.
“Jika kita hanya menggunakan keputusan akademik untuk menyusun bakat, kita akan memandang rendah ramai rakyat Singapura yang berkebolehan,” kata Encik Wong.
“Kita akan terlepas banyak kecekapan dan kecerdasan lain yang wujud dalam kalangan kita, dan itu sama pentingnya.”
Mengenai usaha pemerintah untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada kerjaya yang berbeza, Encik Wong berkata kemajuan telah dicapai untuk menaikkan dengan ketara gaji guru prasekolah dan karyawan kesihatan bersekutu.
Membina dari usaha tersebut, Encik Wong berkata pemerintah akan terus meningkatkan tahap profesionalisme pekerjaan yang memerlukan kemahiran lain, termasuk yang dianggap sebagai kerja ‘kolar biru’ dengan kerjasama gerakan buruh, industri dan institut pengajian tinggi (IHL).
“Kita akan mewujudkan laluan kerjaya dan pembelajaran yang lebih tersusun supaya pekerja berkemahiran lain dan pekerja penting juga boleh maju, mengembangkan kemahiran mereka dan diiktiraf atas sumbangan mereka,” kata Encik Wong.
Mengenai ekonomi, Encik Wong berkata pemerintah akan menggandakan usaha untuk memastikan ekonomi berdaya saing dan bertenaga.
Ia akan bekerja lebih keras untuk menyegarkan ekosistem perusahaan Singapura dan menarik pelaburan baru daripada syarikat global terkemuka, supaya Singapura boleh terus terlibat dengan sempadan inovasi.
Akur bahawa tidak semua perusahaan akan berjaya dan beberapa pekerjaan mungkin hilang, Encik Wong memberi jaminan bahawa pemerintah akan terus menyokong pekerja.
Encik Wong berkata: “Syarikat mungkin gagal. Pekerjaan mungkin hilang. Tetapi setiap pekerja, setiap rakyat, penting, dan tiada siapa yang akan ketinggalan”.
Mengenai kecukupan persaraan, Encik Wong berkata pemerintah sedang mengambil langkah untuk mengukuhkan kecukupan persaraan dan sedang mengkaji langkah selanjutnya yang boleh dibuat.
Bagi mereka yang tidak dapat membina wang persaraan yang mencukupi meskipun telah berusaha dengan baik, Encik Wong berkata pemerintah akan memberikan sokongan tambahan supaya setiap rakyat Singapura boleh bersara dengan bermaruah.
Pemerintah juga akan terus memperkukuh jaringan keselamatan bagi mereka yang memerlukan lebih banyak bantuan seperti kanak-kanak berkeperluan khas, orang kurang upaya, dan mereka yang menghadapi halangan.
“Kami akan membantu mereka bangkit semula,” kata Encik Wong.
“Kemunduran adalah sebahagian daripada kehidupan, dan di Singapura, semua orang mendapat peluang kedua dan ketiga.”
Dalam membina masyarakat ‘Kita Dahulu’, Encik Wong juga menyeru mereka yang lebih berjaya untuk menyumbang lebih banyak, bukan sahaja dalam segi cukai, bahkan dalam pemberian belas kasihan dan penjagaan.
Beliau menekankan bahawa ‘Kita Dahulu’ tidak bermakna menindas ‘Saya’, tetapi mengakui bahawa ‘Saya’ hanya boleh berkembang apabila ‘Kita’ kuat.
“Jadi kita perlu menerima keperibadian kita, dan membantu semua orang menjadi versi terbaik diri mereka,” kata Encik Wong.
“Barulah kita boleh menjadi lebih baik daripada jumlah bahagian kita sendiri.”
“
“Kita akan menggandakan usaha dan bekerjasama rapat dengan ibu bapa, pengendali prasekolah dan agensi perkhidmatan sosial untuk memastikan kanak-kanak ini mendapat sokongan konsisten yang mereka perlukan untuk berkembang maju. Kita bukan sahaja akan melakukan lebih banyak lagi, malah kita juga akan mengambil tindakan merentasi agensi dengan pendekatan yang lebih tertumpu kepada keluarga.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg