Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah penerima bantuan ComCare turun ke kadar terendah dalam 5 tahun pada 2024

Laporan MSF juga mendapati satu dalam enam keluarga ComLink+ berdepan masalah keganasan dalam keluarga
Dec 16, 2025 | 10:00 AM
Singapura, ComCare, penerima bantuan, MSF
Bilangan isi rumah yang menerima bantuan sosial ComCare mencatatkan penurunan pada 2024 berbanding 2020, sungguhpun terdapat perubahan had kelayakan pada 2023 agar lebih banyak isi rumah dapat memanfaatkan bantuan di bawah skim itu. - Foto fail

Bilangan isi rumah yang menerima bantuan sosial ComCare merosot ke paras terendah dalam lima tahun pada 2024, menurut laporan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Ini meskipun terdapat semakan kepada had pendapatan isi rumah per kapita yang dinaikkan daripada $650 kepada $800 pada Julai 2023, bagi membolehkan lebih banyak isi rumah layak menerima bantuan.

Keadaan ini dikatakan berlaku sedang pasaran ekonomi dan pekerjaan kian pulih dalam tempoh selepas wabak Covid-19 berakhir.

Laporan tersebut mendapati bilangan isi rumah yang dibantu menerusi Bantuan Jangka Pendek hingga Jangka Sederhana (SMTA) ComCare mencatatkan penurunan daripada 34,858 pada 2020, kepada 20,825 pada 2024 – kemerosotan hampir 40 peratus dalam lima tahun.

Bilangan isi rumah yang dibantu melalui Bantuan Jangka Panjang (LTA) ComCare juga turun kepada 3,240 pada 2024, berbanding 4,067 pada 2020.

MSF mendedahkan hasil dapatan ini dalam Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2025 yang diterbitkan pada 16 Disember.

Dengan kemerosotan pada bilangan isi rumah SMTA ComCare, perbelanjaan keseluruhan bagi agihan kewangan di bawah SMTA ComCare juga merosot daripada $169.7 juta pada 2020 kepada $94 juta pada 2024.

Begitu juga perbelanjaan keseluruhan bagi agihan kewangan di bawah LTA ComCare, yang turun kepada $21.4 juta pada 2024, berbanding $28.5 juta pada 2020.

ComCare ialah skim bantuan sosial Singapura yang menyediakan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah untuk memenuhi perbelanjaan sara hidup asas mereka.

Ia dilakukan melalui bantuan seperti SMTA ComCare, yang memberi sokongan sementara kepada golongan berpendapatan rendah, yang tidak dapat bekerja, bagi tempoh masa tertentu.

Ini di samping Bantuan Jangka Panjang (LTA) ComCare, yang tertumpu pada warga yang tidak dapat bekerja secara tetap disebabkan faktor lanjut usia dan kesihatan, antara lain.

Dalam kenyataan MSF menyusuli penerbitan laporan itu pada 16 Disember, kementerian itu berkata penurunan sedemikian “mencerminkan pengembangan ekonomi dan pasaran buruh dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini, dan sokongan yang dipertingkatkan daripada skim lain oleh pemerintah”.

Namun, laporan MSF itu turut mendedahkan cabaran sosial yang berterusan di kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

Sehingga Disember 2024, sekitar satu dalam enam keluarga di bawah skim ComLink+ – bertujuan membantu keluarga di rumah sewa menerusi sokongan menyeluruh – berdepan kes melibatkan keganasan rumah tangga atau isu perlindungan kanak-kanak.

Ini merupakan kali pertama data berkaitan keganasan dalam keluarga dimasukkan dalam laporan tersebut.

Pada masa yang sama, laporan itu menyatakan bilangan isi rumah yang kembali mendapatkan SMTA ComCare dalam tiga tahun selepas mereka dianggap sebagai berdikari juga telah merosot.

Laporan itu juga mendedahkan perkadaran isi rumah yang mendapatkan bantuan SMTA ComCare dalam tempoh tiga tahun selepas dianggap telah berdikari, merosot kepada 49 peratus – atau hampir 1 daripada 2 isi rumah – bagi kohort yang telah berhenti menerima SMTA ComCare pada 2021.

Ini berbanding 61 peratus, atau sekitar 3 daripada 5 isi rumah, bagi kohort yang telah berhenti menerima SMTA ComCare pada 2018.

MSF berkata sebahagian besar kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2021 merupakan penerima kali pertama yang mendapatkan bantuan dek kesan ekonomi akibat Covid-19.

“Sebahagian besar isi rumah (kohort ini), secara umumnya, lebih berdikari – sebagai contoh secara purata, mereka mempunyai tanggungan lebih kecil dan kelayakan pendidikan lebih tinggi.

“Oleh demikian, bilangan isi rumah yang kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare (bagi kohort ini) adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kohort lebih awal,” ujar MSF.

Ini mengikuti trend penurunan pada perkadaran isi rumah yang kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare bagi kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2019 dan 2020 secara berasingan.

MSF menambah perkadaran isi rumah yang kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare selepas berhenti menerima SMTA ComCare pada 2022 dan 2023 secara berasingan barangkali akan mencatatkan peningkatan.

Ini berdasarkan perkadaran bahagian kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2022 atau 2023 dan kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare dalam tempoh setahun dan dua tahun selepas itu.

Sementara itu, MSF menjelaskan ciri-ciri sebahagian besar isi rumah yang mendapatkan lagi bantuan SMTA ComCare – berdasarkan kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2021 – mempunyai anggota keluarga dengan kelayakan pendidikan yang rendah, ada sekurang-kurangnya seorang anak kecil dan berdepan masalah kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg