Terdapat kemerosotan dalam perkahwinan orang Islam pada 2023 berbanding 2022 sebelumnya.
Ini sejajar dengan kemerosotan keseluruhan jumlah perkahwinan di Singapura secara amnya pada 2023, berbanding pada 2022.
Secara keseluruhan, sejumlah 28,310 perkahwinan didaftarkan pada 2023, 3.7 peratus lebih rendah berbanding 29,389 perkahwinan pada 2022.
Kemerosotan dalam perkahwinan orang Islam sebahagian besar disebabkan oleh kurangnya perkahwinan yang melibatkan pengantin lelaki dan pengantin perempuan berumur 20 hingga 29 tahun.
Demikian menurut perangkaan yang dikongsi dalam Laporan Trend Keluarga yang diterbitkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) buat julung kalinya pada 15 Julai.
Menurut laporan tersebut, berbanding 2022, jumlah perkahwinan Islam yang melibatkan pengantin lelaki berumur 20 hingga 24 tahun dan 25 hingga 29 tahun masing-masing turun sebanyak 23.1 peratus dan 13.1 peratus pada 2023.
Jumlah perkahwinan Islam yang melibatkan pengantin perempuan berumur 20 hingga 24 tahun dan 25 hingga 29 tahun pula masing-masing berkurangan sebanyak 19.6 peratus dan 11.6 peratus pada 2023 berbanding 2022.
Sementara itu, kemerosotan dalam perkahwinan sivil sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan lebih besar dalam perkahwinan yang melibatkan pengantin lelaki berumur 25 hingga 34 tahun dan pengantin perempuan berumur 20 hingga 29 tahun.
Berbanding 2022, bilangan perkahwinan sivil yang melibatkan pengantin lelaki berumur 25 hingga 29 tahun dan 30 hingga 34 tahun masing-masing susut sebanyak 7.8 peratus dan 4 peratus pada 2023.
Bilangan perkahwinan sivil yang melibatkan pengantin perempuan berumur 20 hingga 24 tahun dan 25 hingga 29 tahun masing-masing menurun sebanyak 9 peratus dan 6 peratus pada 2023 berbanding 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg