Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yayasan FairPrice, TTSH perkenal program didik warga emas tentang pemakanan sihat

Nov 5, 2025 | 8:54 PM
yayasan fairprice, warga emas, tan tock seng hospital, pemakanan sihat
Satu tinjauan oleh Yayasan FairPrice mendapati enam daripada 10 warga emas tidak tahu komponen yang membentuk hidangan sihat mengikut keperluan pemakanan mereka. - Foto ST

Satu program pendidikan pemakanan untuk warga emas akan dibangunkan Yayasan FairPrice bersama Hospital Tan Tock Seng (TTSH) menjelang akhir 2026, sebagai sebahagian usaha berterusan menggalakkan penuaan sihat melalui amalan pemakanan lebih baik.

Kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 5 November untuk bekerjasama dalam program Stay Strong (Kekal Kuat), bagi mengurangkan jurang pemakanan sihat dalam kalangan warga emas di Singapura.

Inisiatif ini dijalankan menyusuli dapatan tinjauan baru Yayasan FairPrice – cabang kebajikan FairPrice Group – yang mendapati enam daripada 10 warga emas tidak tahu komponen yang membentuk hidangan sihat mengikut keperluan pemakanan mereka.

The Straits Times (ST) sebelum ini melaporkan masalah pemakanan tidak seimbang semakin meningkat dalam kalangan warga emas di Singapura.

Menurut para doktor, keadaan ini membimbangkan memandangkan Singapura dijangka menjadi masyarakat sangat menua menjelang 2026, iaitu lebih satu daripada lima penduduk akan berusia 65 tahun atau lebih.

Meskipun program itu masih dalam peringkat pembangunan, difahamkan ia mungkin akan melibatkan sesi pembelajaran interaktif di pusat-pusat warga emas, bagi membantu mereka mempelajari jenis khasiat penting untuk kesejahteraan mereka.

Sesi tersebut juga akan menampilkan aktiviti pembelajaran berasaskan permainan, serta menampilkan lawatan pembelajaran di pasar raya, di mana warga emas boleh berlatih menilai label pemakanan atau memilih makanan lebih sihat.

Perniagaan Own Brands dan Food Solutions, milik FairPrice Group juga, akan bekerjasama dengan TTSH dalam membangunkan penyelesaian pemakanan untuk membantu warga emas mengatasi masalah kekurangan zat makanan.

Ini termasuk makanan tinggi protein, seperti minuman berprotein, bagi menyediakan pilihan lebih menarik untuk meningkatkan pengambilan protein dalam kalangan warga emas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FairPrice Group, Encik Vipul Chawla, berkata warga emas yang menerima khidmat daripada kumpulan dan yayasan mereka menunjukkan tekad tinggi untuk menua secara berdikari.

“Sebagai peruncit terbesar negara, kami memahami keperluan golongan warga emas Singapura yang semakin meningkat dan ingin memainkan peranan kami dalam menyokong mereka mencapai matlamat ini melalui pemakanan yang betul,” jelasnya.

CEO TTSH, Profesor Madya Tang Kong Choong, berkata:

“Kerjasama dengan Yayasan FairPrice ini membolehkan kami membawa kepakaran kami dalam geriatrik (penyakit orang tua) dan dietetik ke luar hospital dan berkongsi di tempat yang paling penting, iaitu langsung di kawasan kejiranan di mana warga emas berada.”

Melalui kerjasama ini, kedua-dua TTSH dan Yayasan FairPrice dapat mengajar warga emas pengetahuan praktikal serta memberi akses lebih baik kepada pilihan makanan sihat yang mereka perlukan untuk kekal sihat, aktif dan sejahtera, tambah Profesor Tang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg