Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juruelektrik dijel 6 bulan, gigit telinga rakan kerja

Jul 3, 2025 | 6:38 PM
penjara, gigit, rakan kerja
Senthilkumar Vishnusakthi, dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 3 Julai 2025 kerana menyebabkan rakan sekerjanya, Encik Nesamani Hariharn, kehilangan sebahagian kuping telinganya seumur hidup. - Foto fail

Selepas meminum tiga tin arak, seorang juruelektrik yang mabuk kemudian bergaduh dengan rakan sekerjanya lalu menggigit sebahagian kuping telinga kiri lelaki itu.

Senthilkumar Vishnusakthi, 21 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 3 Julai kerana menyebabkan mangsa kehilangan sebahagian kuping telinganya seumur hidup, lapor The Straits Times (ST).

Senthilkumar mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja terhadap Encik Nesamani Hariharn, 31 tahun.

Menurut dokumen mahkamah, Senthilkumar yang dalam keadaan mabuk pulang ke asramanya di Kallang sekitar 7 malam pada 15 Februari dan melihat Encik Nesamani sedang menonton filem.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Ryan Lim berkata: “(Senthilkumar) mula bercakap dengan kuat mengenai mangsa yang didakwa mengintipnya dan melaporkan kepada penyelia kerja mereka tentang prestasi kerjanya yang buruk.”

Senthilkumar juga “memanggil mangsa ‘anjing’ kerana sering mengikutinya ke mana-mana”, tambah DPP itu.

Encik Nesamani kemudian bersemuka dengan Senthilkumar dan mereka mula bertengkar.

Selepas itu, ketika mangsa sedang berjalan kembali ke katilnya, Senthilkumar menumbuknya.

Kedua-dua warga India itu kemudian bergaduh dan Senthilkumar menggigit sebahagian kuping telinga Encik Nesamani.

Penduduk asrama yang lain bertindak dengan menahan Senthilkumar sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

Mangsa dibawa ke Hospital Tan Tock Seng dengan ambulans dan beliau didapati mengalami kecederaan termasuk koyakan pada telinga serta luka pada wajahnya.

Beliau diberikan cuti sakit selama sembilan hari dan lukanya kini telah sembuh.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg