Sebagai seorang jurulatih di Akademi Pertahanan Awam (CDA), Pegawai Waran 2 (WO2) Mohammad Zaki As’at sering mendapati pelatihnya menghadapi kesukaran membina tupang yang digunakan dalam operasi menyelamat.
Masalah seperti pemotongan rasuk kayu sepanjang 2.9 meter yang tidak tepat untuk membuat tupang seberat 80 kilogram itu biasanya mengambil banyak masa dan sumber.
Ini mendorong jurulatih pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar (Usar) berusia 45 tahun itu mereka bentuk model kit latihan membina tupang untuk memudahkan pelatih belajar dalam bilik darjah, sebelum membina tupang sebenar.
Tupang adalah struktur kayu yang menyokong dan menstabilkan bangunan dalam keadaan kecemasan, seperti dalam keadaan gempa bumi atau bangunan runtuh.
Berkat usahanya, WO2 Mohammad Zaki adalah antara 17 jurulatih dan lapan unit latihan yang mendapat pengiktirafan dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Latihan Home Team yang diadakan di Akademi Home Team (HTA) pada 19 September.
Beliau, yang telah berkhidmat dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) selama lebih 17 tahun, menerima anugerah Jurulatih Terbaik Home Team (Penghargaan Istimewa).
Anugerah tersebut diberikan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan individu cemerlang dalam masyarakat latihan Home Team.
Seramai 10 jurulatih Melayu lain turut mendapat pengiktirafan dalam majlis tersebut.
Kini, WO2 Mohammad Zaki telah menghasilkan sejumlah 14 model untuk menunjukkan pelbagai jenis tupang kepada pelatihnya semasa latihan.
Mengulas sebab yang mendorongnya mereka bentuk model kit latihan itu, WO2 Mohammad Zaki berkata:
“Oleh kerana latihan diadakan di kawasan lapang, dan pelatih saya pula bertaburan di sana sini, saya terpaksa memberitahu mereka satu persatu bagaimana mencantumkan setiap kepingan dan ia memakan banyak masa dan ruang.
“Justeru, saya memutuskan untuk membina model kit latihan ini, yang lima kali lebih kecil daripada tupang sebenar, dan berat model ini juga kurang daripada 5 kilogram.
“Dengan replika miniatur ini, saya kini boleh mengajar membuatnya di atas meja, membolehkan semua orang berkumpul di sekitar meja sahaja.”
Dalam memberi tunjuk ajar, WO2 Mohammad Zaki, yang pernah berkhidmat selama tiga tahun di Balai Bomba Tuas sebagai anggota bomba (2007 - 2010); dan 11 tahun bersama Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart) SCDF sebagai penyelamat (2010 - 2021), menekankan peri pentingnya memandang serius soal latihan.
“Tugas kami adalah memastikan keselamatan pesakit serta mangsa. Dengan rutin harian, seseorang mungkin tidak menyedari betapa beratnya tanggungjawab sebagai penyelamat.
“Oleh yang demikian, saya memberitahu mereka supaya mengambil latihan dengan serius, kerana kita tidak tahu bila seseorang mungkin memerlukan bantuan.
“Apabila ada kecemasan awam atau kebakaran, anda perlu bertindak. Dan apa yang anda pelajari dalam latihan perlu diaplikasikan dengan betul,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg