Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jururawat diberi pengiktirafan kerana dedikasi

Oct 4, 2024 | 8:37 PM
Cik Syaqilah, 25 tahun, mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan demi menjaga neneknya. Beliau antara 118 individu yang menerima Anugerah Pembangunan Tenaga Kerja Penjagaan Masyarakat (CCMDA) tahun ini. 
Cik Syaqilah, 25 tahun, mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan demi menjaga neneknya. Beliau antara 118 individu yang menerima Anugerah Pembangunan Tenaga Kerja Penjagaan Masyarakat (CCMDA) tahun ini.  - Foto ZAOBAO

Kejururawatan bukan sekadar satu pekerjaan bagi Cik Nur Syaqilah Mohamad.

Walaupun baru memasuki industri kejururawatan tiga tahun sebelum itu, Cik Syaqilah mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan bagi menjaga neneknya sebaik mendapat tahu beliau menghidapi barah usus tahap 5.

Sebagai tanda penghargaan atas dedikasinya, Cik Syaqilah, 25 tahun, adalah antara 118 individu yang menerima Anugerah Pembangunan Tenaga Kerja Penjagaan Masyarakat (CCMDA) tahun ini.

Cik Syaqilah kini menuntut di Politeknik Nanyang dalam bidang kejururawatan sambil bekerja sebagai jururawat kanan di Hospital Masyarakat Yishun.

Dengan anugerah CCMDA, sehingga 90 peratus daripada yuran sekolah beliau bakal dibiayai, serta perbelanjaan lain yang berkaitan.

Dalam temubual bersama Berita Harian (BH), senyum dan tangis mengisi suasana semasa Cik Syaqilah mengimbas kembali detik beliau terpaksa membuat keputusan berhenti sejenak membina kerjaya demi menjaga nenek.

“Saya ingin memenuhi keinginan terakhir nenek saya, iaitu membawanya pulang,” kata Cik Syaqilah.

Sebagai jururawat kanan di Hospital Masyarakat Yishun, tanggungjawab beliau melibatkan penjagaan kejururawatan penting kepada pesakit di bawah penyeliaan jururawat dan doktor yang berbeza.

Ini termasuk tugasan seperti memantau tanda-tanda penting pada pesakit, menjaga kebersihan dan memastikan keselesaan pesakit.

Semasa bertugas di hospital tersebut, Cik Syaqilah teringat sebuah majlis hari jadi yang diadakan untuk pesakit.

Seperti majlis hari jadi lain, terdapat belon dan topi hari lahir.

Lantaran hubungan rapat dengan pesakit, Cik Syaqilah membeli kuetiau kegemaran pesakitnya dan mengajak keluarga pesakit berkenaan menyambut bersama hari lahir pesakit.

“Kebanyakan masa, pesakit kesunyian. Menyambut hari lahir bersama adalah antara cara mereka tahu mereka amat disayangi,” kata Cik Syaqilah.

Penjagaan sepenuh masa bagi nenek dan datuk tersayang turut menjadi sumber inspirasi beliau.

Berkongsi detik manis bersama mereka, Cik Syaqilah berkata: “Kami kerap meluangkan masa dengan mengunjungi tempat-tempat khas seperti Taman Burung Mandai.

“Saya dapat melihat mata mereka terang melihat dunia di sekeliling mereka. Ia membantu minda mereka kekal aktif.”

Semasa penjagaan tersebut, beliau turut bekerjasama dengan jururawat hospis bagi memahami keperluan neneknya yang kini telah meninggal.

Itulah yang mendorong Cik Syaqilah menjadi pakar dalam penjagaan paliatif, iaitu rawatan perubatan khusus bagi mereka dengan penyakit serius.

Penjagaan ini memberi tumpuan kepada usaha melegakan tekanan penyakit untuk meningkatkan mutu kehidupan bagi pesakit dan keluarga.

Bagi beliau, tugas kejururawatan yang paling memuaskan adalah memberi kesan positif kepada kehidupan pesakit, sama ada melalui rawatan pemulihan atau menawarkan keselesaan pada masa sukar.

Cik Syaqilah berpuas hati semasa membantu pesakit meniti kesihatan mereka dan membina hubungan dengan keluarga mereka.

“Dalam konteks penjagaan paliatif, ia amat bermakna untuk memberi keselesaan kepada pesakit pada hari-hari terakhir mereka dengan memastikan mereka mempunyai mutu hidup terbaik mungkin.

“Peluang membawa perubahan dalam kesejahteraan fizikal dan emosi mereka, saya berasa cukup bersemangat dalam kerjaya sebagai seorang jururawat,” tambah Cik Syaqilah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg