Topik diikuti
Pergi ke BHkuJururawat jagaan di rumah santuni warga emas tinggal sendiri
Jururawat jagaan di rumah santuni warga emas tinggal sendiri
Sedar peri penting beri sokongan menyeluruh, bukan daripada sudut kesihatan saja
Jururawat jagaan di rumah santuni warga emas tinggal sendiri
Apabila bercakap tentang jururawat, ramai yang akan membayangkan mereka bertugas di wad hospital sedang merawat pesakit.
Namun, bagi jururawat staf, Cik Norlela Abu Bakar, 37 tahun, ‘wad’ beliau adalah rumah warga emas yang tinggal bersendirian.
Sebagai seorang jururawat penjagaan di rumah, beliau bukan sahaja memberi rawatan perubatan, malah menjadi tempat mereka meluahkan perasaan serta penghubung kepada pelbagai bentuk bantuan masyarakat seperti sokongan kewangan dan kesihatan mental.
Cik Norlela telah memulakan kerjayanya sebagai seorang jururawat di Hospital Besar Singapura (SGH) 16 tahun lalu tetapi membuat keputusan meninggalkan jawatannya untuk menceburi penjagaan masyarakat untuk waktu kerja yang lebih tetap.
Walaupun terpaksa menerima pengurangan gaji berbanding ketika bertugas di hospital, Cik Norlela tidak pernah menyesali keputusannya kerana beliau rasa lebih dekat apabila menyantuni pesakit di rumah mereka.
“Bagi saya, bekerja dalam penjagaan masyarakat sangat bermakna kerana di hospital, tempoh penjagaan pesakit selalunya lebih singkat.
“Tapi, dalam penjagaan di rumah, saya menjaga pesakit yang sama sehingga bertahun dan saya mengenali dan memahami keadaan mereka dengan lebih menyeluruh,” kongsi Cik Norlela.
Beliau kini berkhidmat sebagai jururawat penjagaan masyarakat di bawah badan kebajikan, Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC), untuk hampir enam tahun.
Menurut Cik Norlela, perbezaan yang ketara adalah beliau tidak mempunyai perkakas tertentu seperti mesin dan pasukan penjagaan pesakit seperti doktor dan pakar di hospital.
“Kalau di hospital, kita mempunyai akses kepada doktor sekiranya ada masalah yang memerlukan rawatan segera.
“Di rumah pesakit, kami perlu membuat penilaian sendiri untuk menentukan rawatan pesakit dan menghubungi doktor lokum atau ambulans jika perlu,” kata beliau.
Dalam satu hari, Cik Norlela dijangka melakukan sekitar lima hingga lapan lawatan rumah.
Kebanyakan daripada pesakit beliau adalah kes yang lebih stabil dan memerlukan rawatan untuk jangka masa yang lebih lama, termasuk pesakit yang memerlukan jagaan paliatif.
Antara tanggungjawab Cik Norlela termasuk merawat dan membalut luka, menukar tiub pesakit, serta menguruskan ubat, sama seperti tugas seorang jururawat di hospital.
Sebagai seorang jururawat, beliau juga membantu beberapa pesakit melakukan Perancangan Penjagaan Awal (ACP) untuk membincangkan penjagaan mereka pada masa depan.
Namun, tugasnya tidak terhenti di situ.
Selain memastikan keadaan kesihatan pesakit terkawal, beliau turut menghubungkan warga emas dengan pelbagai geran dan khidmat masyarakat seperti pekerja sosial dan kaunseling, untuk mempertingkatkan kehidupan warga emas di rumah.
Antara warga emas yang beliau rawat ialah Cik Latipah Mesaran, 70 tahun, yang berada di bawah jagaan Cik Norlela sejak Januari 2025.
Cik Norlela akan melawat Cik Latipah, yang menjalani dialisis, setiap dua minggu untuk membantu dalam pengurusan perubatan dan pemeriksaan kesihatan asas.
“Walaupun Norlela seorang jururawat sahaja, dia dah macam kawan baik saya kerana dia banyak membantu dan berbual dengan saya,” kongsi Cik Latipah, yang duduk di flat dua bilik sendiri.
Baru-baru ini, Cik Norlela telah membantunya mendapatkan seorang pembantu rumah di bawah Geran Penjagaan di Rumah (HCG).
Di samping itu, Cik Norlela juga akan menyambut perayaan seperti Hari Raya dan Tahun Baru Cina bersama pesakitnya yang tinggal seorang diri dan tidak mempunyai ahli keluarga lain.
Beliau berharap sambutan bersama pesakitnya dapat mengisi kesepian mereka semasa musim perayaan.
“Kadang-kadang, pesakit saya akan menghiaskan rumah mereka untuk musim perayaan tapi tidak mempunyai sebarang tetamu jadi mereka akan mengajak saya untuk melawat mereka,” kata beliau.
Menurut Cik Norlela, pengalaman beliau sebagai jururawat penjagaan masyarakat telah mengajar beliau tentang kepentingan menyokong warga emas secara menyeluruh dan bukan sahaja dari segi kesihatan.
“Sekarang, jumlah warga emas di Singapura akan terus meningkat. Saya berharap masyarakat juga dapat mendekatkan diri dengan jiran warga emas mereka yang tinggal seorang diri sebagai sokongan dan memastikan mereka dalam keadaan yang baik,” tambah beliau.
