Pada usianya yang sudah mencecah 28 tahun, kebanyakan rakan seangkatannya mungkin sedang sibuk menabung kerana ingin membeli kereta atau rumah baru.
Namun Encik Azizi Syafiq memendam impian lain.
Sebelum usianya mencecah 30 tahun, pemuda itu berhajat menjejakkan kaki di sekurang-kurangnya 30 negara.
Malah, beliau tidak jauh daripada matlamatnya itu kerana setakat ini sudah berkunjung ke 28 negara di Asia dan Timur Tengah, termasuk Iran, Pakistan, Maghribi dan Sri Lanka.
Sebagai seorang jururawat kecemasan yang seringkali berdepan dengan keadaan yang membawa tekanan tinggi, Encik Azizi berkata mengembara ke luar negara dianggap cara terapeutik untuk beliau menenangkan jiwa dan fikiran.
“Melancong ke negara baru mengajar saya tentang budaya mereka dan membuat saya lebih bersyukur. Ramai fikir kita hanya boleh nikmati hidup selepas kerja keras, tetapi kadangkala kita lupa hidup ini singkat,” tambah beliau.
Untuk memuaskan keinginannya yang kerap ke luar negara, Encik Azizi memilih menjadi ‘pengembara bajet’ yang berbekalkan hanya satu beg galas.
Oleh kerana ingin jimat perbelanjaan, Encik Azizi pernah tidur di luar sebuah stesen kereta api di Zhangjiejie, China, sementara menunggu kereta apinya yang dijadual bertolak awal pagi.
Jadual perjalanannya juga dirancang secara spontan dan tidak terlalu padat.
Mujur dengan bantuan alat kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, Encik Azizi tidak pernah risau meneroka negara asing secara solo.
Encik Azizi berkata: “Saya akan mengetepikan dana khas untuk melancong dan bertekad untuk berjalan setiap bulan”.
“Saya tidak mempunyai kemewahan untuk melancong ketika saya kecil. Kali pertama saya ke luar negara pun adalah pada usia 19 tahun untuk ke Manipal, India, sebagai sebahagian lawatan sekolah.”
Menyingkap perjalanannya, Encik Azizi berkata kali pertama beliau ke luar negara secara sendiri adalah pada usia 21 tahun iaitu ke Brunei dengan tujuan melawat saudara-mara.
Sejak itu, beliau jatuh cinta terhadap pengembaraan solo.
“Melancong secara solo lebih mudah kerana saya tak perlu berbincang atau merancang dengan sesiapa, saya boleh terus buat keputusan secara spontan,” tambah beliau.
Antara keindahan mengembara, kata Encik Azizi, adalah apabila beliau dapat menepis salah tanggapan yang sering dikaitkan dengan sesebuah negara.
Menggambarkan contoh, beliau berkata negara seperti Iran dan Pakistan bukanlah tarikan popular dalam kalangan pelancong bahkan dipandang kurang stabil.
Bagaimanapun, destinasi itulah menjadi tempat di mana beliau raih banyak pengalaman manis.
Kemesraan penduduk tempatan, baik di Iran mahupun Pakistan, adalah satu yang beliau hargai sewaktu berdepan kesukaran ketika di sana.
Contohnya apabila Encik Azizi hilang arah, penduduk tempatan membantunya mencari jalan keluar meskipun berbeza bahasa.
Tidak lama lagi, beliau merancang berkunjung ke Afghanistan.
Di sebalik semua ini, ia juga membawanya kembali kepada kerjanya sebagai seorang jururawat kecemasan.
Pengalaman bekerja di bilik kecemasan membuatnya sedar betapa mudahnya kehidupan seseorang boleh berubah, dan inilah antara sebab beliau tidak mahu menumpukan segala perhatian terhadap pekerjaan beliau tetapi juga menikmati hidup dengan sepenuhnya.
“Hidup ini tidak menentu. Pergilah mengembara dan jelajahilah dunia selagi masih berpeluang,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg