Sebanyak 132 biasiswa penjagaan kesihatan telah diberikan kepada pelajar yang mempunyai semangat yang kuat untuk berkhidmat dalam sektor penjagaan kesihatan awam Singapura pada 2025.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding 108 biasiswa penjagaan kesihatan yang diberikan pada 2024, tetapi kurang berbanding 161 biasiswa yang disampaikan pada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Biasiswa itu diberikan setiap tahun oleh MOH Holdings (MOHH), yang merupakan syarikat induk bagi tiga kluster penjagaan kesihatan awam Singapura bagi memperkukuh bekalan karyawan penjagaan kesihatan di Singapura.
Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, telah menyampaikan anugerah tersebut pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Penjagaan Kesihatan 2025, pada 30 Julai di Pusat Konvensyen Raffles City.
Biasiswa itu diberikan bagi pengajian dalam bidang sains kesihatan dan penjagaan kesihatan.
Terdapat beberapa jenis biasiswa, termasuk Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan untuk mereka yang melanjutkan pelajaran dalam ijazah sarjana muda kejururawatan, farmasi atau pelbagai disiplin kesihatan yang berkaitan.
Para penerima biasiswa akan diikat kontrak selama empat tahun, atau enam tahun jika mereka belajar di luar negara.
Pada 2025, terdapat dua anugerah dalam bidang Perubatan, 17 dalam Farmasi, 18 dalam Psikologi Klinikal, 19 dalam Kejururawatan, 23 dalam Fisioterapi, dan lebih 40 dalam bidang Kesihatan Bersekutu lain seperti Terapi Pertuturan, Radiografi Diagnostik, Terapi Pekerjaan, dan Ilmu Kaji Diet.
Terdapat juga empat penerima dalam Kerja Sosial Perubatan, dengan penerima selebihnya belajar dalam bidang perniagaan, perakaunan, teknologi maklumat (IT), kejuruteraan, dan sains kemasyarakatan.
Encik Ong berkata mereka akan menyertai sektor penjagaan kesihatan awam yang sedang melalui transformasi untuk menghadapi cabaran penduduk yang semakin menua.
MOH telah melaksanakan program penjagaan pencegahan untuk menggalak kehidupan yang lebih sihat dan sedang memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan perubatan jitu.
Usaha itu akan membawa kepada perubahan asas dalam penyampaian penjagaan kesihatan – daripada merawat penyakit kepada mengekalkan kesejahteraan.
Dalam ucapannya, Encik Ong menyebut tiga penerima biasiswa terdahulu.
Salah seorang daripada mereka, Cik Charlynne Nerva, mula bekerja sebagai jururawat berdaftar di Hospital Besar Changi (CGH).
Beliau kemudian memperoleh diploma dalam kejururawatan, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan dengan Biasiswa Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan.
Kini, beliau merupakan Penolong Jururawat Klinikal di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) dan sebahagian daripada pasukan yang terlibat dalam projek penambahbaikan, termasuk pembangunan manual bergambar untuk peranti perubatan bagi membantu jururawat baru dan pelajar kejururawatan.
“Penjagaan kesihatan pada akhirnya adalah mengenai manusia dan sentuhan peribadi. Kata-kata yang baik, telinga yang mendengar, kehadiran yang tekal tetap tidak boleh digantikan, tidak kira sejauh mana kecanggihan teknologi AI,” kata Encik Ong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg