Jurutera kereta api SMRT sengkang mata, baiki tren
Sedang ramai yang lena dibuai mimpi, Encik Adi Hazwan Suhairi, pula bersengkang mata demi memastikan kereta api Laluan Circle (CCL) beroperasi dengan lancar.
Antara lain, jurutera kanan penyenggaraan kereta api SMRT yang berusia 28 tahun itu, bertanggungjawab bagi penyenggaraan pembetulan dan pencegahan bagi kereta api CCL di Depoh Kim Chuan.
Jika ditugaskan untuk bekerja pada syif malam, Encik Adi akan memulakan syifnya pada 11 malam sebelum tamat keesokan hari pada 8.45 pagi.
Bekerja syif di bawah tanah semasa bulan suci Ramadan bermakna adakalanya beliau terpaksa berkorban masa bersahur dan iftar bersama keluarga.
Berkongsi pengalaman ketika ditemui di Depoh Kim Chuan pada 19 Februari, Encik Adi berkata:
“Meskipun penat bertugas pada waktu malam, kehadiran rakan sepasukan membuat saya rasa lebih senang untuk menahan mata daripada terlelap.
“Kopi dan minuman tenaga menjadi pendamping apabila mula berat mata, namun disebabkan tugas yang tidak putus, kadangkala tiada masa pun untuk berehat.
“Pernah juga sekali itu, saya hampir terlupa untuk bersahur kerana terlalu sibuk bekerja, namun rakan saya segera mengambil alih tugas saya agar saya dapat makan.”
Terdapat dua lagi syif kerja yang beliau jalani, iaitu syif antara 8 pagi dengan 5 petang, dan syif antara 2 petang dengan 11 malam.
Beliau akan bertugas dengan pasukan seramai 12 hingga 32 kakitangan untuk kerja penyenggaraan pembetulan dan pencegahan.
Encik Adi menyifatkan setiap syif seperti satu perlawanan mengejar masa.
“Sebagai contoh, jika kereta api itu tiba di depoh pada 10 pagi, kami harus berusaha mencari penyelesaian dan memastikan ia dapat beroperasi sekitar 3 petang.
“Kami perlu tahu kereta api mana yang ‘sihat’ dan dapat dikeluarkan dari depoh sebelum senja tiba,” tambah beliau.
Lulusan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu telah memasuki tahun keempat di SMRT, di bawah Program Bersekutu Kejuruteraan dan Pengurusan (EMA).
Apabila ditanya mengapa bidang penyenggaraan kereta api menjadi pilihan setelah tamat pengajian pada 2022, Encik Adi berkata beliau mendapat tahu tentang bidang itu daripada nenek saudaranya, yang merupakan jurutera ‘rolling stock’ atau stok guling.
Antara lain, seorang jurutera ‘rolling stock’ bertanggungjawab memastikan kebolehpercayaan, keselamatan dan prestasi kereta api, lokomotif, serta kenderaan penyelenggaraan.
Cik Azizah Sapari, yang dikenali mesra sebagai ‘Nek Jijah’ oleh Encik Adi, mula berkhidmat sejak Oktober 1988 dan dipercayai merupakan jurutera wanita ‘rolling stock’ pertama dalam sejarah Singapura.
Cik Azizah juga antara anggota pasukan utama yang terlibat dalam pembangunan Laluan Circle – dari detik perancangan sehinggalah laluan tersebut mula beroperasi pada 2009 secara berperingkat.
Justeru, kerjaya Cik Azizah telah mencetus minat dan sekali gus, membuka laluan bagi Encik Adi menjadikan bidang kejuruteraan di SMRT sebagai kerjayanya.
“Ini adalah satu khidmat nasional untuk memastikan kereta api kekal beroperasi.
“Kami menjalankan tugas ini dengan penuh rasa bangga kerana kami tahu apa yang kami lakukan amat penting.
“Kami diperlukan untuk memastikan sistem pengangkutan awam terus berjalan lancar dan ia satu tanggungjawab yang amat besar,” kongsi Encik Adi.
“
Ini adalah satu khidmat nasional untuk memastikan kereta api kekal beroperasi. Kami menjalankan tugas ini dengan penuh rasa bangga kerana kami tahu apa yang kami lakukan amat penting.
