Keandalan MRT naik pada Jan meski ketepatan masa tren susut
Keandalan MRT naik pada Jan meski ketepatan masa tren susut
CCL paling terjejas dengan peningkatan kekerapan kelewatan lebih 5 minit akibat kejadian pada 13 Jan
Keandalan keseluruhan rangkaian MRT bertambah baik pada Januari berbanding Disember 2025, berdasarkan data Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang diterbitkan pada 13 Februari.
Namun, Laluan Circle (CCL) merupakan yang paling terjejas dalam tempoh itu dengan peningkatan kekerapan kelewatan lebih dari lima minit akibat satu gangguan.
Pada 13 Januari, penumpang CCL mengalami kelewatan pada waktu sibuk petang di tujuh stesen antara Bishan dengan Buona Vista.
Secara keseluruhan, ketepatan masa tren merosot di lima laluan MRT Singapura.
Kemerosotan itu sebahagiannya berpunca daripada gangguan CCL tersebut.
Tren MRT mencatat purata 1.673 juta tren-kilometer (km) antara kelewatan melebihi lima minit, meningkat sedikit berbanding 1.606 juta tren-km pada tempoh sebelumnya, bagi Februari 2025 hingga Januari 2026.
Ukuran purata kilometer antara kegagalan (MKBF) ialah jarak sebelum tren mengalami kelewatan lebih lima minit.
Prestasi itu kekal jauh mengatasi sasaran kebolehpercayaan rel Singapura sebanyak satu juta tren-km.
MKBF ialah ukuran kejuruteraan yang lazim digunakan untuk menilai kebolehpercayaan rel, namun tidak menggambarkan tahap seriusnya gangguan.
Data LTA berdasarkan purata bergerak 12 bulan MKBF.
Mengikut ukuran itu, Laluan Downtown (DTL), kendalian SBS Transit, kekal paling boleh dipercayai dengan 2.794 juta tren-km pada Januari, diikuti Laluan Timur Laut (NEL) dengan 2.209 juta tren-km pada Januari, naik daripada 2.198 juta tren-km pada Disember.
CCL, kendalian SMRT, berada di tempat ketiga dengan 1.834 juta tren-km, susut berbanding Disember 2025.
Laluan Timur-Barat (EWL) mencatat 1.446 juta tren-km pada Januari, meningkat berbanding 1.265 juta tren-km pada Disember 2025.
Laluan Utara-Selatan (NSL) menduduki tempat terakhir, namun prestasinya meningkat kepada 1.237 juta tren-km pada Januari berbanding 1.099 juta tren-km pada Disember 2025.
Prestasi Laluan Thomson-East Coast (TEL) dikecualikan daripada data kerana jarak perjalanannya masih rendah sebagai laluan baru.
Bagi rangkaian sistem transit aliran ringan (LRT), kebolehpercayaan keseluruhan menurun.
Secara purata, tren LRT mencatat 408,000 gerabak-km antara kelewatan pada Januari, susut daripada 429,000 gerabak-km pada Disember.
Tren MRT menggunakan ukuran tren-km, manakala tren LRT menggunakan gerabak-km.
LRT Sengkang-Punggol mencatatkan 860,000 gerabak-km antara kelewatan, turun daripada 1.025 juta gerabak-km, manakala LRT Bukit Panjang meningkat sedikit kepada 200,000 gerabak-km berbanding 199,000 gerabak-km pada Disember 2025.
LTA turut mengeluarkan data prestasi laluan rel pada Januari.
Ketepatan masa tren MRT, iaitu peratusan perjalanan yang tiba dalam dua minit daripada waktu dijadualkan, susut daripada 99.55 peratus kepada 99.24 peratus.
Kemerosotan terbesar dicatat NEL dan CCL, dengan ketepatan masa NEL merosot kepada 98.61 peratus, manakala CCL kepada 98.81 peratus.
Selain gangguan pada 13 Januari, prestasi CCL turut terjejas oleh kerja terowong antara stesen Mountbatten dengan Paya Lebar yang bermula 17 Januari hingga 19 April.
Bagaimanapun, perkhidmatan tren yang beroperasi mengikut jadual meningkat kepada 99.87 peratus pada Januari daripada 99.84 peratus pada Disember 2025.
Tiga daripada lima laluan MRT iaitu EWL, NEL dan CCL bertambah baik dari segi ukuran ini, manakala NSL dan DTL mencatat sedikit kemerosotan.

