Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurutera marin pastikan kapal sentiasa siap kendali misi

Jun 28, 2025 | 12:00 PM
Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), ‘RSS Indomitable’, Anugerah Unit Keselamatan Maritim (Marsec) Terbaik,  Pertandingan Unit Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Muhammad Imran Ismail
Sebagai Jurutera Marin Kapal Misi Littoral (LMV) Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) ‘RSS Indomitable’, Pakar Tentera 4 (ME4) Muhammad Imran Ismail mengetuai pasukan jurutera dan juruteknik untuk memastikan LMV sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi tertinggi. - Foto MINDEF

Apabila Kapal Misi Littoral (LMV) Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) RSS Indomitable dikerahkan ke luar negara untuk Latihan Singsiam pada Julai 2024, ia mencapai pencapaian cemerlang tanpa sebarang kelemahan kejuruteraan.

Ia juga merupakan kali pertama bagi Pakar Tentera 4 (ME4) Muhammad Imran Ismail dalam pelantikannya sebagai Jurutera Marin.

Apabila dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, anak bongsu empat beradik itu berkata kejayaan tersebut adalah hasil persiapan rapi yang dilakukan.

Ia juga didorong oleh kerjasama erat dalam kalangan kru bagi memastikan RSS Indomitable sentiasa berada dalam keadaan siap siaga operasi.

“Saya dan pasukan jurutera telah bertungkus lumus menjalankan pemeriksaan sistem secara selari bagi memastikan kapal berada dalam tahap kesiapsiagaan operasi yang tertinggi.

“Kerah tugas berjalan lancar dan sepanjang tempoh tersebut, kami tidak mengalami sebarang kelemahan kejuruteraan.

“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan dedikasi seluruh pasukan kejuruteraan saya,” kata ME4 Imran yang berusia 34 tahun.

Beliau merupakan sebahagian daripada unit RSS Indomitable, yang baru-baru ini memenangi Anugerah Unit Keselamatan Maritim (Marsec) Terbaik dalam Pertandingan Unit Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bagi dua tahun berturut-turut.

LMV tersebut turut dianugerahkan Anugerah Keselamatan Unit RSN bagi Tahun Kerja 2024/25, manakala ME4 Imran sendiri menerima Anugerah Individu Keselamatan Cemerlang RSN.

Unit tersebut menewaskan pencabar lain dalam kategori Marsec, termasuk unit LMV lain di Flotila Kedua dan Flotila Tindak Balas Maritim dan Keselamatan (MSRF).

Sebagai Jurutera Marin RSS Indomitable, ME4 Imran mengetuai pasukan yang terdiri daripada enam jurutera dan juruteknik di atas kapal.

Terdiri daripada anggota termasuk Ketua Kluster Sistem Platform, Penyelia Mekanikal dan beberapa operator lain, beliau bertanggungjawab memantau sistem pendorongan, elektrik dan bantuan kapal serta sistem kawalan kerosakan.

“Saya mengetuai pasukan jurutera dan juruteknik yang berdedikasi untuk memastikan kapal sentiasa bersedia dikerahkan bagi misi.

“Selain pengawasan teknikal, saya juga memainkan peranan penting dalam latihan kejuruteraan, pembangunan kru, serta penyepaduan sokongan kejuruteraan dengan perancangan operasi,” ujar beliau.

Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan kepujian tertinggi daripada Universiti Glasgow Institut Teknologi Singapura (SIT), ME4 Imran menyertai RSN pada 2018 dan dilantik sebagai Jurutera Marin RSS Indomitable pada Oktober 2022.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jurutera di Pusat Kejuruteraan Kesediaan Sistem (SREC), mengendalikan sistem kawalan elektrik bagi Kapal Pemunggah Darat (LST) dari 2020 hingga 2022.

Selain penyelenggaraan pencegahan, ME4 Imran bersama pasukannya turut melaksanakan penyelenggaraan ramalan dengan menggunakan analisis sistem untuk mengesan potensi masalah sebelum ia berlaku.

Mereka juga bekerjasama dengan unit RSN lain untuk menghasilkan alat ganti tersuai melalui cetakan 3D.

“Kami akan memberikan keperluan kami, seperti spesifikasi reka bentuk dan lukisan teknikal dan mereka membantu mencetak komponen yang diperlukan.

“Mereka juga akan mencadangkan bahan yang paling sesuai digunakan mengikut keperluan operasi,” ujar ME4 Imran, yang menyifatkan usaha inovatif itu sebagai salah satu faktor penting dalam mengekalkan kesiapsiagaan sistem RSS Indomitable.

Menyentuh tentang pendekatan kepimpinannya, ME4 Imran menekankan pentingnya semangat kekeluargaan dan kecemerlangan.

“Selain menanamkan semangat kekeluargaan dalam pasukan, kita juga perlu memastikan mereka mengekalkan mutu kerja yang tinggi dan sentiasa mengejar kecemerlangan.

“Dengan generasi baru, pendekatannya juga berbeza.

“Kita perlu lebih memahami, serta menyesuaikan cara kita membimbing mereka dalam memenuhi keperluan mereka,” jelas beliau.

Kepimpinan yang berjaya

Selain menanamkan semangat kekeluargaan dalam pasukan, kita juga perlu memastikan mereka mengekalkan mutu kerja yang tinggi dan sentiasa mengejar kecemerlangan. Dengan generasi baru, pendekatannya juga berbeza. Kita perlu lebih memahami, serta menyesuaikan cara kita membimbing mereka dalam memenuhi keperluan mereka.
Pakar Tentera 4 (ME4) Muhammad Imran Ismail, Jurutera Marin Kapal Misi Littoral (LMV) Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) ‘RSS Indomitable’.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg