Walaupun tempoh Perkhidmatan Negara (NS) beliau tamat pada 2021, komitmen Sarjan (Sukarela) Muhammad Syahid Hushaimi, 27 tahun, terhadap tugas menjaga keselamatan negara yang dijalankan pegawai polis tidak berakhir di situ.
Malah, melihat usaha gigih Pasukan Polis Singapura (SPF) semasa pandemik mendorongnya kembali berkhidmat sebagai pegawai Konstabel Khas Sukarela (VSC) pada 2022.
“Semasa Covid-19, saya lihat sendiri betapa besarnya tanggungjawab pegawai polis di barisan depan.
“Itu membuat saya ingin membantu dan terus berkhidmat,” kata beliau.
Antara tugasnya sebagai VSC adalah menyertai rondaan kejiranan di bawah Divisyen Polis Clementi dan operasi khas semasa acara besar-besaran seperti Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), di mana beliau ditugaskan sebagai anggota pasukan tindak balas SPF.
Beliau yang bertugas sepenuh masa sebagai jurutera proses menjelaskan sokongan keluarga termasuk isterinya menjadi pendorong utama untuk terus berkhidmat.
Semangat suka membantu Sarjan (Sukarela) Syahid diiktiraf dalam majlis penyampaian Anugerah Sukarelawan Cemerlang SaferSG (OSPA) pada 5 Disember di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.
Lebih 600 tetamu turut hadir pada acara tersebut. Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, hadir selaku tetamu terhormat.
Dalam ucapannya, beliau akur kedudukan Singapura sebagai negara paling selamat adalah hasil usaha bersama, namun menggesa agar pendekatan membabitkan masyarakat secara menyeluruh terus diperkukuh bagi memastikan Singapura kekal selamat dan berdaya tahan.
“Para sukarelawan dan rakan kerjasama menjadi pengganda kekuatan penting bagi SPF dengan membantu memperluas jangkauan kami dengan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu keselamatan, serta memaklumkan polis tentang kebimbangan yang dirasakan sebelum perkara itu menjadi serius.
“Sumbangan anda mengukuhkan pertahanan masyarakat dan memperdalam kepercayaan antara orang ramai dengan pegawai polis,” ujar beliau.
Tambahnya, semangat seperti ini sejajar dengan prinsip ‘Kita Dahulu’, yang menggalakkan rakyat Singapura untuk saling menjaga antara satu sama lain.
Penekanan terhadap prinsip ini juga terserlah menerusi inisiatif Workplace on Watch (WoW) mengenai usaha mempertingkat kewaspadaan di tempat kerja yang dilancarkan pada acara itu.
Inisiatif ini menggalakkan peranan lebih aktif oleh syarikat dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pekerja dengan menyalurkan nasihat dan makluman rasmi yang dikeluarkan SPF, serta menyediakan ruang untuk sesi libat sama mengenai pencegahan jenayah, pendidikan tentang penipuan (scam), keselamatan jalan raya dan kesiapsiagaan kecemasan.
Sejak dimulakan secara perintis pada Julai 2025, lima pertubuhan atau syarikat merentas sektor Rakyat-Swasta-Awam telah menyertai program ini.
Mereka terdiri daripada RSVP Singapore, Taman di Persisiran, AIA Singapore, United Overseas Bank (UOB) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Selain itu, SPF berkata mereka yang ingin melibatkan diri secara lebih mendalam juga boleh membangunkan projek dan solusi keselamatan dalaman di tempat kerja masing-masing.
Secara keseluruhan, lebih 7,000 pekerja dan sukarelawan kini menjadi sebahagian daripada rangkaian ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg