Projek penyambungan kabel antara Singapura dengan Batam yang berkapasiti tinggi dan lebih pantas mulai September.

Inilah yang boleh dijangkakan syarikat yang beroperasi dan memanfaatkan perkhidmatan awan dan kecerdasan buatan (AI) di seluruh rantau ini.

Ia hasil daripada projek Kabel Nongsa Changi (NCC), iaitu sistem kabel dasar laut strategik yang menghubungkan Batam, Indonesia, dan Singapura menerusi salah satu laluan paling singkat dan langsung merentasi Selat Singapura.

NCC telah berjaya disambungkan pada 20 Julai di Taman Nongsa Indah Village (TNIV) yang terletak di Taman Digital Nongsa, Batam.

Majlis penyambungan kabel itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Encik Gan Kim Yong dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto.

Turut hadir untuk menyerikan majlis itu ialah Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Hotmangaraja Panjaitan.

Dalam ucapannya, Encik Gan akur bahawa perniagaan yang membangunkan aplikasi AI, mengendalikan perkhidmatan awan atau menjalankan kemudahan pembuatan maju semuanya bergantung pada keupayaan untuk memindahkan data secara selamat, boleh dipercayai dan dengan kelengahan yang paling minimal.

Justeru, “projek seperti NCC ini amat penting”, tambah Encik Gan.

“Kabel ini bakal menyediakan kapasiti tambahan melebihi 1.6 petabit sesaat, serta menghubungkan Batam dan Singapura dengan kependaman kurang daripada dua milisaat.

“Ia akan menyokong pertumbuhan pusat data dan perkhidmatan digital di Batam, sekali gus membantu perniagaan beroperasi merentasi sempadan.

“Perkembangan ini seterusnya akan membawa lebih banyak peluang untuk Singapura dan Indonesia, mahupun Asean secara keseluruhannya, terutamanya dengan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean pada akhir tahun ini (2026),” kata Encik Gan.

Petabit ialah unit ukuran kapasiti penghantaran data yang sangat besar. Satu petabit bersamaan 1,000 trilion bit.

Merentasi sekitar 50 kilometer dan dilengkapi dengan 24 gandingan fiber optik, NCC menghubungkan pusat data SIN12 di Loyang dengan Taman Digital Nongsa di Batam.

Gandingan fiber optik merujuk kepada dua helaian fiber optik dalam satu kabel dasar laut. Lazimnya, satu fiber digunakan untuk menghantar data, manakala satu lagi untuk menerima data, sekali gus membolehkan komunikasi dua hala pada kelajuan tinggi.

Penyambungan kabel yang berjaya ini mewakili satu pencapaian penting ke arah kesediaan operasi sistem tersebut, justeru memperkukuh komitmen bersama syarikat usaha sama antara PT Telekomunikasi Indonesia International (Telin) dengan syarikat BW Digital untuk meningkatkan sambungan serantau.

Demikian dinyatakan Telin dan BW Digital dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 20 Julai.

Beribu pejabat di Singapura dan sebahagian daripada BW Group, BW Digital membangunkan, membina dan mengendalikan infrastruktur digital di pasaran berpotensi tinggi.

Ketika ditemui pihak media di luar majlis pendaratan NCC, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BW Digital, Encik Ludovic Hutier, berkongsi projek NCC merupakan usaha sama antara Telin dan BW Digital dengan pembahagian 50-50.

Encik Hutier menambah projek tersebut bermula sekitar dua tahun lalu dan mengambil masa yang “agak panjang untuk dibangunkan kerana banyak persiapan perlu dilakukan di kededua lokasi pendaratan kabel di Singapura dan Batam”.

“Selain menyediakan tapak pendaratan, kami juga perlu menempah dan menghasilkan kabel tersebut sebelum proses pemasangannya, yang kini telah selesai.

“Pada masa ini, kami sedang memuktamadkan pelbagai proses kerja di kededua pihak, khususnya pemasangan peralatan terminal di hujung kabel.

“Kami menjangkakan kabel ini akan mula beroperasi sekitar September,” kongsi Encik Hutier.