KUALA LUMPUR: Pelancong asing dari Asean yang melawat Malaysia kini boleh mendaftar untuk Touch ‘n Go (TNG) eWallet (edompet), bagi membolehkan mereka membuat pembayaran tanpa tunai melalui kod respons pantas (QR) di premis niaga yang disokong dengan aplikasi itu di seluruh Malaysia.
Ini termasuk pelawat dari Singapura, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.
TNG Digital berkata langkah itu amat bermanfaat buat perniagaan tempatan seperti penjaja, yang biasanya tidak menerima pembayaran kad.
“Pelawat ke Malaysia yang berdaftar dengan aplikasi TNG eWallet akan dapat menambah baki mereka menggunakan kad kredit atau debit yang dikeluarkan oleh bank di negara asal mereka.
“Mereka juga tidak perlu menggunakan nombor telefon Malaysia untuk pendaftaran, kerana kod pengesahan akan dihantar melalui WhatsApp,” kata TNG dalam satu kenyataan di laman web, lapor The Star.
Kemudahan TNG eWallet itu akan melancarkan pengalaman beli belah, pembayaran tol dan pengangkutan awam, pemindahan wang serta pembelian menerusi dalam talian bagi pelancong Asean di Malaysia.
TNG juga berkata kemudahan itu yang akan diperluaskan ke pasaran bukan Asean lain tidak lama lagi, termasuk China, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Jepun dan banyak lagi dijangka dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai proses pendaftaran, mereka yang merancang untuk melawat Malaysia boleh melayari laman web TNG eWallet.
TNG adalah syarikat yang bertanggungjawab dalam pengelolaan dan operasi sistem pembayaran elektronik dan digital berasaskan RFID (pengenalan frekuensi radio) dan eWallet di Malaysia.
Ketika ini, aplikasi dompet digital seperti Alipay amat popular digunakan pelancong dari China, malah Malaysia dilaporkan kekal sebagai antara destinasi pilihan utama pelancong dari China, menurut data terkini perbelanjaan pelancong dikeluarkan Alipay.
Platform pembayaran rentas sempadan itu mencatat peningkatan ketara dalam perbelanjaan keluar masuk China, dengan pelancong dari negara berkenaan kini lebih cenderung menikmati pengalaman penggunaan platform digital di destinasi luar negara.
Melalui Alipay, iaitu aplikasi dompet digital bersatu dibangunkan Ant International, pengguna 36 dompet elektronik dari Asia dan Eropah – termasuk dari China – boleh membuat bayaran di lebih 70 pasaran global tanpa perlu menukar mata wang atau membawa tunai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg