Boleh guna kad EZ-Link bagi dapat 10 sen bila kitar semula bekas minuman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Boleh guna kad EZ-Link bagi dapat 10 sen bila kitar semula bekas minuman

Sekitar 1,000 lokasi pengembalian tin dan botol minuman akan disediakan jelang 1 April
Jan 30, 2026 | 3:21 PM

Boleh guna kad EZ-Link bagi dapat 10 sen bila kitar semula bekas minuman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kad EZ-Link, mesin layan diri, dapatkan semula deposit 10 sen, apabila pulangkan botol dan tin minuman kosong, kitar semula, Skim Kembalikan Bekas Minuman (BCRS), Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary,
Sekitar 1,000 lokasi pengembalian, yang kebanyakannya berupa mesin, akan disediakan di seluruh negara menjelang 1 April apabila Skim Kembalikan Bekas Minuman (BCRS) bermula. - Foto ST

Mulai 1 April, orang ramai boleh menggunakan kad EZ-Link mereka di mesin layan diri untuk mendapatkan semula deposit 10 sen apabila memulangkan botol dan tin minuman kosong bagi dikitar semula.

Kad EZ-Link, termasuk kad diskaun pelajar dan warga emas, akan menjadi kaedah utama untuk mendapatkan semula deposit di bawah Skim Kembalikan Bekas Minuman (BCRS) yang akan datang, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, pada 30 Januari.

Sekitar 1,000 lokasi pengembalian, yang kebanyakannya terdiri daripada mesin, akan disediakan di seluruh negara menjelang 1 April apabila skim itu bermula. 

Dalam tempoh setahun, jumlah itu akan meningkat dua kali ganda kepada 2,000 untuk meningkatkan aksesibiliti, tambah Dr Janil.

Mesin itu akan diletakkan di pasar raya, kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan pusat estet perumahan, antara kawasan yang sering dikunjungi orang ramai. 

Ini akan memastikan 90 peratus penduduk di estet HDB berada dalam jarak lima minit berjalan kaki dari lokasi pengembalian.

Bagi mereka yang tidak menggunakan kad EZ-Link untuk membayar tambang pengangkutan, kaedah pembayaran digital lain akan diumumkan tidak lama lagi.

Di bawah program itu, pelanggan akan membayar tambahan sebanyak 10 sen untuk deposit yang boleh dikembalikan, apabila membeli minuman dalam botol dan tin yang berkapasiti antara 150 mililiter dengan 3 liter. 

Kebanyakan tempat pengembalian akan menggunakan mesin layan diri ‘terbalik’ – dinamakan demikian kerana mesin tersebut menerima bekas kosong dan mengembalikan wang sebagai ganjaran.

Berucap semasa majlis pembukaan pejabat baru syarikat mesin layan diri ‘terbalik’ dari Norway, Tomra, Dr Janil mengakui bahawa skim baru itu memerlukan orang ramai untuk menyesuaikan tabiat mereka, yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan bagi sesetengah pihak.

“Pengguna perlu membiasakan diri dengan memulangkan bekas di lokasi pengembalian yang ditetapkan, belajar cara mesin layan diri ‘terbalik’ berfungsi, dan sesuaikan rutin harian mereka,” tambahnya.

“Ini mungkin mengambil sedikit masa, dan setiap usaha adalah penting untuk melindungi alam sekitar kita demi generasi akan datang.”

Pengendali skim ini, BCRS Ltd, akan menerbitkan panduan dan video pada Mac untuk membantu orang ramai memahami proses pengembalian itu.

Setiap mesin layan diri ‘terbalik’ juga akan menyediakan arahan dalam keempat-empat bahasa.

“Mulai Februari, kami akan berhubung dengan pertubuhan akar umbi, sekolah, kumpulan belia, pertubuhan bukan pemerintah dan rakan korporat untuk berkongsi cara skim ini berfungsi dan mengapa ia penting,” ujar Dr Janil.

Masih tidak pasti bagaimana proses pengembalian akan dijalankan untuk kedai kopi dan restoran.

Dr Janil berkata perbincangan sedang dijalankan dengan pengendali kedai kopi dan peruncit kecil untuk menangani kebimbangan mengenai skim itu.

Tomra, salah satu daripada tiga pengendali mesin layan diri ‘terbalik’ di bawah skim itu, akan memasang sekurang-kurangnya 350 mesin di kawasan tengah dan timur laut negara ini.

Pada majlis yang diadakan pada 30 Januari, syarikat tersebut memperkenalkan dua jenis mesin yang akan dipasang di pasar raya dan tempat lain seperti di pusat estet perumahan dan bangunan kediaman.

Syarikat tersebut berkata ia akan menanggung kos pembersihan dan penyelenggaraan mesin itu, serta pengangkutan tin dan botol, dengan kerjasama syarikat pembersihan Chye Thiam Maintenance.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg