Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendaftaran prasekolah, penjagaan bayi bertambah
Pendaftaran prasekolah, penjagaan bayi bertambah
MSF: Prasekolah terus dimampui, belanja keluarga berkurangan untuk hadiri prasekolah
Pendaftaran prasekolah, penjagaan bayi bertambah
Kadar pendaftaran kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dalam prasekolah meningkat daripada 73 peratus pada 2015 kepada 91 peratus pada 2025.
Ia boleh mencerminkan kesedaran lebih tinggi tentang kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dalam kalangan keluarga di Singapura.
Kadar pendaftaran prasekolah bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun juga telah meningkat dari 86 peratus pada 2015 kepada 93 peratus pada 2025.
Demikian didedahkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam Laporan Trend Keluarga 2025 yang diterbitkan pada 10 Julai.
Laporan tersebut juga memberi statistik bagi khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak.
Jumlah pendaftaran bagi penjagaan bayi meningkat lebih tiga kali ganda daripada 3,813 pada 2015 kepada 12,225 pada 2025.
Bilangan tempat penjagaan bayi sepanjang hari juga meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh yang sama daripada 6,262 pada 2015 kepada 17,639 pada tahun 2025.
Ini demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, jelas MSF.
Sementara itu, prasekolah dikekalkan mampu milik melalui had yuran yang ditetapkan oleh pemerintah.
Had yuran penjagaan bayi sepanjang hari bagi pusat Pengendali Utama (AOP) dan pusat Pengendali Rakan Kongsi (POP) telah dikurangkan sebanyak $40 pada 2023, menjadikan yuran penjagaan bayi median industri bagi kanak-kanak warga Singapura turun daripada $1,275 pada 2022 kepada $1,235 sejak 2023.
Had yuran penjagaan anak sepanjang hari bagi AOP dan POP juga dikurangkan sebanyak $40 pada 2025, susulan pengurangan baru-baru ini pada 2023.
Yuran penjagaan anak median industri bagi kanak-kanak warga Singapura turun daripada $760 pada 2021 kepada $720 pada 2023, dan seterusnya turun kepada $680 pada 2025.
Perbelanjaan keluarga sebagai sebahagian daripada pendapatan isi rumah bagi khidmat-khidmat tersebut juga telah berkurang.
Sebuah isi rumah berpendapatan median dengan anak yang menghadiri penjagaan bayi sepanjang hari di pusat AOP membelanjakan 5.6 peratus daripada pendapatan isi rumah (HHI) mereka bagi prasekolah pada 2025, berbanding 6.8 peratus pada 2021.
Isi rumah berpendapatan median dengan anak yang menghadiri pusat jagaan kanak-kanak sepanjang hari di pusat AOP membelanjakan 3 peratus daripada HHI mereka bagi prasekolah pada 2025, berbanding 3.7 peratus pada 2021.
Sementara itu, bilangan tempat penjagaan kanak-kanak sepanjang hari naik hampir seganda sejak 10 tahun lalu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, menurut laporan tersebut.
Bilangan tempat penjagaan kanak-kanak sepanjang hari naik daripada 117,065 pada 2015 kepada 205,234 pada 2025.
“Kami berharap lebih ramai warga Singapura ingin memulakan dan mengembangkan keluarga mereka.
“Di MSF, kami akan terus berusaha bersama sektor prasekolah untuk meningkatkan akses dan mutu pendidikan prasekolah, serta memupuk kerjasama ibu bapa-prasekolah yang kukuh,” ujar Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam ucapannya semasa acara Penghargaan Pesta Keluarga Nasional (NFF) 2026 yang diadakan di Hotel Grand Copthorne Waterfront, pada 10 Julai.
MSF dalam laporannya turut berkata Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) bekerjasama rapat dengan sektor awal kanak-kanak untuk meningkatkan mutu penyedia, program dan karyawan prasekolah.
