Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekilas Trend Laporan Keluarga 2026
Sekilas Trend Laporan Keluarga 2026
Sekilas Trend Laporan Keluarga 2026
Lebih ramai bapa ambil cuti paterniti
Kadar penggunaan cuti paterniti yang dibayar pemerintah meningkat daripada 47 peratus bagi kanak-kanak yang lahir pada 2016 kepada 61 peratus bagi kanak-kanak yang lahir pada 2024.
Penggunaan cuti penjagaan anak oleh golongan bapa juga menunjukkan kenaikan yang stabil sepanjang tempoh yang sama, iaitu daripada 49 peratus pada 2016 kepada 54 peratus pada 2024.
Sementara itu, penggunaan cuti bersalin yang dibayar pemerintah kekal tinggi secara konsisten, dengan julat antara 74 peratus dengan 79 peratus.
Bagi terus menyokong ibu bapa bekerja dalam berkongsi tanggungjawab keibubapaan, pemerintah telah mempertingkatkan peruntukan Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) daripada enam minggu kepada sepuluh minggu, berkuat kuasa 1 April 2026.
Keluarga terus pamer ikatan teguh, ketahanan
Sebanyak 90.7 peratus keluarga mencatatkan mata ketahanan keluarga pada tahap sederhana hingga tinggi pada 2025, menunjukkan peningkatan daripada 85.9 peratus pada 2023.
Kadar responden yang menyatakan mereka mempunyai keluarga yang akrab juga meningkat kepada 89.6 peratus, berbanding 86 peratus pada tempoh yang sama.
Rakyat Singapura juga terus mengekalkan hubungan rapat dengan keluarga besar mereka, dengan 69 peratus dilaporkan berbuat demikian pada 2025 berbanding 67.5 peratus pada 2023.
Responden yang menyatakan mempunyai keluarga yang akrab turut mencatatkan ketahanan keluarga yang lebih tinggi.
Institusi keluarga kekal komited dalam menjaga ahli keluarga mereka dengan 95.2 peratus responden berusia 15 hingga 64 tahun bersetuju bahawa ia adalah tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu bapa mereka.
Ia merupakan satu peningkatan daripada 93.1 peratus pada 2023.
Kebanyakan responden juga menyatakan bahawa mereka akan memberikan sokongan kewangan, emosi, dan fizikal kepada ahli keluarga jika diperlukan.
Mereka yang bersedia memberikan sokongan kepada ahli keluarga cenderung mencatatkan ketahanan keluarga yang lebih tinggi.
Selain itu, sebanyak 92.2 peratus penjaga turut melaporkan bahawa mereka mampu menguruskan tanggungjawab penjagaan masing-masing.
Lebih ramai kanak-kanak sertai program intervensi awal
Jumlah kanak-kanak yang berada dalam program Intervensi Awal (EI) meningkat daripada 10,186 pada 2024 kepada 10,503 pada 2025.
Pada masa yang sama, bilangan kanak-kanak yang dirujuk untuk mendapatkan sokongan EI tahap sederhana hingga tinggi, menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 2,800 pada 2022 kepada 2,300 pada 2025.
EI ialah sokongan pelbagai disiplin yang diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai keperluan perkembangan untuk memaksimumkan perkembangan mereka pada tahun-tahun awal.
Bilangan kanak-kanak yang memerlukan sokongan EI tahap rendah adalah 4,221 pada 2025 sementara bilangan kanak-kanak yang memerlukan sokongan EI tahap sederhana hingga tinggi adalah 6,282 pada 2025.
