Kadar faedah bagi Akaun Khas, MediSave dan Persaraan (SMRA) dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan kekal pada 4 peratus dari Julai hingga September.
Simpanan dalam akaun-akaun itu akan terus menerima kadar faedah asas sebanyak 4 peratus setahun bagi suku ketiga 2025.
Kadar faedah itu tidak berubah kerana kadar yang disandarkan bagi SMRA masih belum melebihi kadar asas 4 peratus, jelas Lembaga CPF dalam kenyataan bersama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 22 Mei.
Kadar faedah bagi tiga akaun itu disandarkan pada hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS), ditambah 1 peratus.
Kadar faedah bagi Akaun Biasa serta pinjaman perumahan HDB juga kekal tidak berubah, masing-masing pada 2.5 peratus dan 2.6 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Pencarum berusia 55 tahun dan ke atas akan terus menikmati faedah tambahan 2 peratus bagi $30,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka – dihadkan pada $20,000 untuk Akaun Biasa, serta tambahan 1 peratus bagi $30,000 seterusnya.
Pencarum berusia bawah 55 tahun pula akan terus menerima faedah tambahan 1 peratus bagi $60,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka – juga dihadkan pada $20,000 untuk Akaun Biasa.
Menurut kenyataan itu, faedah tambahan yang diperoleh daripada Akaun Biasa akan dimasukkan ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan pencarum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg