Dalam usaha membanteras penipuan penyamaran pegawai pemerintah, Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPFB) kini menggunakan satu nombor telefon rasmi bagi semua panggilan keluar.
Sejak akhir April, semua panggilan daripada CPFB dibuat melalui nombor 6227-1188, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Mei.
“Penggunaan satu nombor ini bertujuan memudahkan orang ramai mengesahkan kesahihan panggilan yang diterima daripada CPFB,” jelas kenyataan itu.
Nombor tersebut turut disenaraikan di laman web agensi itu dan telah dimasukkan dalam senarai putih aplikasi ScamShield.
“Langkah ini memperkukuh usaha sebelum ini pada Disember 2024, apabila panggilan keluar telah diselaraskan kepada dua nombor khusus (6227-1188 dan 6202-3388) bagi meningkatkan keselamatan,” kata lembaga itu.
Bagi mereka yang terlepas panggilan daripada CPFB, mereka akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) gov.sg atau e-mel daripada alamat yang berakhir dengan @cpf.gov.sg atau @e.cpf.gov.sg dengan butiran untuk dihubungi semula, lapor The Straits Times (ST).
Agensi itu turut menyatakan bahawa mulai Mei, pencarum CPF yang membuat penamaan dalam talian mesti menjalani pengesahan tambahan menggunakan biometrik sebagai langkah keselamatan tambahan.
“CPFB akan terus bekerjasama dengan bank dan agensi pemerintah lain untuk memantau landskap penipuan yang sentiasa berubah, dan meninjau semula langkah-langkah keselamatan kami untuk mencapai keseimbangan antara kemudahan dengan keselamatan,” kata kenyataan tersebut.
Ia turut menambah, pihaknya tidak akan meminta orang awam untuk memindahkan wang, mendedahkan maklumat log masuk bank atau memasang aplikasi mudah alih daripada sumber tidak rasmi melalui panggilan telefon.
Pencarum CPF yang mengesyaki mereka telah menjadi mangsa penipuan harus membekukan akaun bank mereka.
Mereka juga harus menetapkan semula kata laluan Singpass, mengaktifkan Kunci Pengeluaran CPF untuk menghalang pengeluaran dalam talian dengan serta-merta dan memaklumkan kepada polis serta CPFB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg