Kaedah dalam talian untuk membantu rakyat Singapura lebih memahami jumlah MediSave dan bayaran tunai yang diperlukan untuk menyokong perlindungan insurans kesihatan yang diinginkan dalam jangka panjang telah dilancarkan oleh Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPFB) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 26 Mac.
Perancang Insurans Kesihatan atau Health Insurance Planner itu boleh didapati di laman web CPF.
Ia membolehkan pengguna melihat unjuran peribadi jangka panjang simpanan MediSave dan premium insurans kesihatan mereka, lapor The Straits Times (ST).
Mereka juga boleh menggunakannya untuk membandingkan manfaat utama, ciri-ciri, dan premium di seluruh Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP), mengikut jenis wad yang mereka pilih.
Tujuh daripada 10 rakyat Singapura mempunyai pelan IP, yang ditawarkan oleh syarikat insurans privet.
Kaedah itu juga boleh digunakan untuk merancang premium jangka panjang mereka – sehingga 30 tahun atau sehingga usia 90 tahun – untuk IP yang dipilih dan pelan penambahannya.
Mereka akan dapat melihat berapa banyak perbelanjaan dari segi tunai yang perlu dikeluarkan, dengan pelan penambahan.
Premium untuk pelan penambahan hanya boleh dibayar dengan wang tunai.
Perancang itu bertujuan membantu mereka memahami sama ada pelan insurans mereka sekarang sesuai dengan keperluan mereka.
Dalam sebuah video pendek yang dimuat naik ke media sosial pada 26 Mac, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata perancang itu bertujuan membantu rakyat Singapura membayangkan bagaimana premium mereka untuk MediShield Hayat, IP, dan pelan penambahan akan bertambah dan bagaimana ini akan mempengaruhi simpanan MediSave dan CPF mereka.
“Ia membolehkan anda membandingkan premium antara syarikat insurans yang berlainan dan pelbagai pelan, supaya anda dapat membuat keputusan yang paling tepat,” kata Encik Ong dalam video sepanjang seminit itu.
Bagi menggunakan perancang itu, pengguna perlu memasukkan butiran seperti nama IP dan pelan penambahannya, serta jumlah tahun yang tinggal untuk membayar tambahan CareShield Hayat dan ElderShield, jika maklumat itu diperlukan.
Bagi memastikan perancang itu relevan, MOH dan CPFB akan mengemas kini data premium dan manfaatnya setiap Januari.
Sebelum ini, MOH berkata orang ramai perlu sentiasa menilai sama ada premium yang mereka bayar berbaloi dengan kos penjagaan kesihatan yang ditanggung.
Syarikat insurans privet baru-baru ini telah menaikkan premium untuk IP dan pelan penambahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg