Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar kematian warga S’pura dijangka lebihi kelahiran jelang 2034

Jumlah kematian naik 40%, jumlah kelahiran turun 13% dari 2014 hingga 2023
Sep 23, 2024 | 2:20 PM
Menjelang 2030, dijangka kira-kira satu daripada empat rakyat Singapura akan berumur 65 tahun ke atas.
Menjelang 2030, dijangka kira-kira satu daripada empat rakyat Singapura akan berumur 65 tahun ke atas. - Foto ST

Dalam lebih kurang 10 tahun, akan ada lebih banyak upacara pengebumian daripada ‘baby shower’ untuk dihadiri kerana jumlah kematian akan melebihi kelahiran dalam kalangan warga Singapura.

Jika, atau apabila ini berlaku, populasi warga Singapura akan berkurangan.

Ini akan memberi kesan pada saiz tenaga kerja Singapura, kedinamikan ekonomi dan fabrik sosial.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, pada 9 September memberi jawapan bertulis kepada soalan di parlimen, “Berdasarkan perkembangan semasa, jumlah kematian warga Singapura mungkin melebihi bilangan kelahiran pada separuh pertama 2030-an.”  

Soalan tersebut dikemukakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa, mengenai jumlah kematian warga Singapura pada dekad lalu, dan tahun di mana angka ini akan melebihi jumlah kelahiran.

Dari 2014 hingga 2023, jumlah kematian warga Singapura telah melonjak 40 peratus daripada 17,691 kepada 24,726.

Manakala jumlah kelahiran pula menyaksikan penurunan 13 peratus daripada 33,193 kepada 28,877.

Kelahiran warga atau citizen births merujuk kepada bayi yang mempunyai sekurang-kurangnya ibu atau bapa berkerakyatan Singapura, kerana bayi tersebut akan secara automatik mendapat kerakyatan Singapura semasa lahir, kata jurucakap PMO itu.

Apabila kadar kesuburan sesebuah negara merosot untuk jangka masa yang lama, penduduknya menua, dan jumlah kematian pasti akan melebihi bilangan kelahiran, kata Profesor Jean Yeung, pengarah sains sosial di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) untuk Pembangunan Insan dan Potensi.

Berapa cepat jumlah kematian akan melebihi kelahiran, bergantung kepada faktor seperti magnitud dan kelajuan penurunan kesuburan, tambah Prof Yeung.

Jumlah kadar kesuburan penduduk Singapura, yang merujuk kepada purata bilangan bayi yang akan dilahirkan setiap wanita sepanjang usia reproduktifnya, telah turun sejak 30 tahun lalu.

Pada 2023, buat kali pertama dalam sejarah Singapura, kadar tersebut jatuh di bawah 1 kepada 0.97. 

Pihak pemerintah telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan kadar kelahiran sejak dua dekad lalu.

Ini termasuk menyediakan hadiah tunai Bonus Bayi untuk bayi baru lahir dan penambahan cuti bersalin dan paterniti.

Dalam masa yang sama, penduduk Singapura semakin menua.

Menjelang 2030, dijangka kira-kira satu daripada empat rakyat Singapura berusia 65 tahun ke atas.

Kesan utama yang akan dihadapi termasuk kemerosotan tenaga buruh tempatan, serta pasaran ekonomi yang tidak stabil atau menurun, kata Profesor Madya Walter Theseira, ahli ekonomi buruh dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Prof Yeung berkata Singapura telah membuat persediaan untuk cabaran demografi ini sejak beberapa dekad lalu, dengan menambah “bilangan pendatang asing secara teliti” kepada populasi penduduk Singapura setiap tahun.

Populasi penduduk Singapura berjumlah 5.92 juta pada Jun 2023 – meningkat 5 peratus daripada tahun sebelumnya (2022).

Dari Jun 2022 hingga Jun 2023, penduduk warganegara meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada 3.61 juta, manakala penduduk tetap meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 0.54 juta, dan penduduk bukan warga meningkat sebanyak 13.1 peratus kepada 1.77 juta, menurut laporan Populasi Secara Ringkas 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg