Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar kesuburan, peningkatan kemahiran, antara isu Dialog Pasca-Belanjawan M³

Maliki: S’pura punya cabaran kependudukan serius, impak besar pada ekon dan demografi negara
Mar 9, 2025 | 6:35 PM
Sekitar 100 belia Melayu/Islam hadir di sesi Dialog Pasca-Belanjawan M³ pada 9 Mac. Turut hadir ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan Anggota Parlimen (AP) Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Sekitar 100 belia Melayu/Islam hadir di sesi Dialog Pasca-Belanjawan M³ pada 9 Mac. Turut hadir ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan Anggota Parlimen (AP) Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha. - Foto BH oleh KHALID BABA

Usaha pemerintah menggalak keluarga di sini mempunyai lebih ramai anak adalah demi memastikan penakatan Singapura kerana kadar kesuburan yang rendah secara berterusan akan mempunyai kesan besar, bukan hanya pada ekonomi, malah demografi negara juga, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau berkata Singapura mempunyai cabaran kependudukan yang serius hari ini, dengan jumlah orang dewasa boleh bekerja, berusia antara 21 dengan 64 tahun, yang menyokong warga emas telah merosot secara drastik sepanjang lima dekad lalu.

Berkongsi perangkaan, Dr Maliki berkata pada 1970, terdapat sekitar 13.5 orang dewasa boleh bekerja, yang menyokong seorang warga emas.

Namun, sedang penduduk hidup lebih lama dan kurang mempunyai anak, kadar itu telah turun kepada hanya 3.5 orang dewasa yang menyokong seorang warga emas pada 2020.

Bahkan, kadar itu dijangka turun lagi kepada 2.1 orang dewasa boleh bekerja yang menyokong seorang warga emas menjelang 2030 – dalam tempoh hanya lima tahun dari sekarang.

Ini belum mengambil kira bahawa golongan dewasa boleh bekerja itu juga perlu menyokong penduduk yang berusia bawah 21 tahun, kata Dr Maliki, semasa sesi Dialog Pasca-Belanjawan M Kuasa Tiga (M³) bersama para belia pada 9 Mac.

Beliau turut menyentuh tentang sifat penduduk Singapura, di mana sekitar 2.5 juta daripada 6 juta orang di sini, hari ini, adalah pekerja migran sementara, sambil menambah bahawa jika isu penduduk tidak ditangani, “ini mungkin membawa kepada perubahan yang sebaliknya”.

Meskipun memahami bahawa perkahwinan dan keibubapaan adalah keputusan peribadi, pemerintah bagaimanapun cuba mewujudkan sebuah negara di mana semua keluarga disokong, kata Dr Maliki  yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan).

“Jika anda lihat pada trajektori tersebut, itu sebabnya mengapa kami mempunyai rancangan Singapura Mesra Keluarga (Singapore Made for Families), supaya ia menggalak individu untuk dengan sendirinya ingin berkeluarga sambil memahami cabarannya, dan apa yang kita sebagai rakyat Singapura perlu lakukan untuk menjadikan perkara ini boleh diuruskan secara munasabah. Ini supaya kita tidak suatu hari nanti, baru tersedar bahawa perkara ini tidak boleh dilakukan,” kata beliau.

Sekitar 100 belia Melayu/Islam hadir di sesi Dialog Pasca-Belanjawan M³, anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) di Kelab Masyarakat Siglap pada 9 Mac.

Berita Harian (BH) merupakan rakan media rasmi acara itu.

Turut hadir ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.

Sesi tersebut membincangkan inisiatif dan skim yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2025, termasuk langkah sokongan bagi keluarga besar dan penjagaan anak, serta sokongan bagi pekerja mempertingkat kemahiran.

Antara saranan yang dikemukakan semasa sesi itu adalah bagi pemerintah menyediakan geran tambahan kepada keluarga yang ingin berpindah ke flat lebih besar setelah mempunyai tiga anak atau lebih, dalam usaha menggalak keluarga mempunyai lebih ramai anak.

Memberi respons, Dr Maliki berkata ia “sesuatu yang boleh kami cuba lihat”, namun menambah bahawa mereka perlu berhati-hati dalam soal geran.

Adalah tidak adil sekiranya geran diberi awal dan keluarga berpindah ke flat lebih besar tetapi kemudian, tidak mempunyai lebih ramai anak kerana geran pada akhirnya adalah wang daripada pembayar cukai, tambah beliau.

Selain geran dan sokongan kewangan, Encik Sharael pula berkata apa yang juga penting adalah ekosistem persekitaran bagi mempermudahkan perjalanan sesebuah keluarga membesarkan anak-anak.

“Apabila kami berbual dengan keluarga, perkara seperti kesediaan kemudahan di sekitar kawasan tempat tinggal mereka mempunyai kesan terhadap sama ada mereka mahu mempunyai anak atau tidak.

“Jika mereka perlu bergegas dari satu tempat ke satu tempat lain tanpa kemudahan, atau tiada tempat menarik untuk anak seperti taman permainan, mereka tidak akan lihat keseronokannya dalam kehidupan berkeluarga,” kata beliau.

“Oleh itu, isunya adalah tentang apakah Singapura yang kita cipta supaya kita dapat menikmati mutu hidup, dan mutu hidup tidak seharusnya hanya ditentukan oleh wang,” tambah beliau.

Antara soalan lain yang ditanya adalah keprihatinan tentang peningkatan kemahiran.

Memberi respons, Encik Fahmi berkata terdapat pelbagai sokongan yang disediakan untuk golongan yang berbeza, termasuk geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC), yang membantu syarikat menjalani transformasi dan mempertingkat kemahiran pekerja dan Program Peningkatan SkillsFuture.

Namun, apa yang penting adalah kesedaran individu tentang apakah sokongan yang sedia ada dan juga jenis kursus latihan yang relevan untuk mereka.

“Jika kita lihat pada SkillsFuture Singapura, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), NTUC LearningHub (NTUC LHUB) serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), terdapat banyak kursus yang membantu orang beralih daripada sektor biasa kepada sektor pertumbuhan. Ini sesuatu yang perlu kami galakkan lebih ramai orang untuk lihat dan fahami,” kata beliau.

Cik Rahayu pula menyentuh tentang aspirasi belia, sambil menekankan peranan yang boleh dimainkan golongan belia dalam pembangunan negara.

Berdasarkan pengalamannya bekerjasama dengan belia, beliau menekankan bahawa perubahan berlaku kerana usaha, baik dalam soal kemampanan dan kesihatan mental.

“Oleh itu, teruskan tugas anda dan teruskan perjuangan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg