Masjid Ar-Raudhah bakal meneruskan usaha kelestarian alam sekitar menerusi program kitar semula berterusan yang dijalankan secara berkala sejak 2 Mac 2024. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Renewed Resources Pte Ltd dan akan diteruskan pada 24 Mei 2025, bertempat di kawasan Courtyard@Masjid Ar-Raudhah.
Daya usaha yang dikenali sebagai ‘Raudhah Go Green’, atau Raudhah Hijau Lestari, ini menyediakan kemudahan kepada jemaah dan penduduk sekitar Bukit Batok untuk melupuskan bahan kitar semula seperti kertas, kitab agama, tekstil dan besi terpakai dengan cara yang bertanggungjawab dan mesra alam.
Menurut Pegawai Penyelenggaraan di Masjid Ar-Raudhah, Encik Mohd Hamizan Razali, sambutan terhadap program ini amat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan.
“Sejak pelancarannya, kami telah berjaya mengumpulkan 764.00 kilogram kertas, 7600.05 kilogram tekstil, dan 97.50 kilogram besi terpakai. Jumlah ini membuktikan bahawa masyarakat kita semakin prihatin terhadap isu kelestarian alam,” jelas Encik Hamizan.
Salah satu khidmat unik yang ditawarkan dalam program ini ialah perkhidmatan melupuskan buku agama dan kitab Al-Quran lama secara beradab, yang turut dikendalikan oleh pihak Renewed Resources. Buku-buku ini akan dicarik dan dilupuskan secara khusus, dan dikenakan bayaran sekitar $5 sekilogram. Langkah ini bagi memastikan kitab suci tidak dibuang secara sembarangan atau tidak mengikut tatacara yang sewajarnya.
“Ramai jemaah bertanya bagaimana hendak melupuskan kitab agama lama dengan cara yang betul. Perkhidmatan ini adalah jawapan kepada keperluan tersebut,” katanya lagi.
Program ini diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap suku tahun, dan pada masa akan datang, masjid juga bakal menyediakan pilihan lebih mudah untuk jemaah.
Mereka boleh mengimbas kod QR atau mengisi borang dalam talian melalui Google Form untuk menjadualkan pengambilan bahan kitar semula dari rumah oleh syarikat Renewed Resources.
Pihak masjid berharap agar lebih ramai masyarakat Islam akan memanfaatkan kemudahan ini sebagai satu bentuk amal jariah dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pengurus Kanan Masjid Ar-Raudhah, Cik Maszita Mohammad, berkata ramai jemaah tidak mengira usia, turut menyokong daya usaha murni ini.
“Pihak kami dapati ramai yang mengumpul pakaian, surat khabar, dan kitab-kitab lama yang tidak digunakan lagi.
“Sebelum ini, mereka tidak tahu hendak buang di mana, atau dengan cara yang betul. Dengan program ini, kami mampu memudahkan mereka mengitar semula sambil membantu memelihara alam persekitaran ciptaan Allah ini,” kata Cik Maszita.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Masjid Ar-Raudhah atau mengikuti saluran media sosial rasminya bagi tarikh-tarikh dan maklumat terkini berkaitan program ini.
SEKILAS:
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan diposkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Lungsuri laman Masjid Ar-Raudhah di Facebook & Instagram untuk perincian selanjutnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg