Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar kitar semula S’pura kekal 12%, terendah dalam lebih sedekad

Jun 19, 2024 | 3:42 PM
Jumlah sisa domestik yang dihasilkan per kapita telah merosot lebih daripada 15 peratus sepanjang dekad lalu.
Jumlah sisa domestik yang dihasilkan per kapita telah merosot lebih daripada 15 peratus sepanjang dekad lalu. - Foto ST

Kadar kitar semula isi rumah pada 2023 didapati mendak pada tahap terendah dalam tempoh lebih sedekad, dengan hanya 12 peratus daripada semua sampah yang dibuang dikitar semula – sama seperti pada 2022.

Kadar kitar semula pada 2023 kekal rendah walaupun isi rumah membuang kurang sampah pada tahun itu, lapor The Straits Times.

Pada 2023, setiap orang di Singapura membuang 0.88 kilogram sampah sehari, turun daripada 0.9 kilogram yang dijana setiap orang sehari pada 2022, dan 1.08 kilogram pada 2013.

Kadar kitar semula domestik Singapura biasanya berlegar sekitar 20 peratus, tetapi jatuh ke paras terendah sepanjang masa pada 2022 kerana kurang kertas, kadbod, tekstil dan kulit dieksport untuk dikitar semula.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mendedahkan perangkaan sisa bagi 2023 pada 19 Jun, di luar persidangan kemampanan, Puncak CleanEnviro Singapura.

Kadar kitar semula dalam negara yang rendah itu berlaku walaupun dapatan tinjauan NEA pada 2023 menunjukkan 72 peratus isi rumah mengitar semula, meningkat daripada 64 peratus pada 2021.

Seramai 2,180 responden mengambil bahagian dalam tinjauan dari April hingga Jun 2023.

Tinjauan tersebut mendapati 89 peratus responden sedar barangan biasa seperti syampu yang dibilas atau botol detergen boleh dimasukkan ke dalam tong kitar semula dan tempat membuang sampah, meningkat daripada 71 peratus pada 2021.

Walaupun dengan lebih banyak isi rumah mengitar semula, kadar kitar semula tidak meningkat pada 2023.

Pencemaran kekal sebagai cabaran utama kitar semula di Singapura.

Apabila barang yang tidak boleh dikitar semula, seperti makanan, dibuang ke dalam tong kitar semula yang bercampur, ia mencemarkan lot itu dan ia perlu dibuang.

NEA menganggarkan kadar pencemaran bahan kitar semula domestik adalah kira-kira 40 peratus.

Berucap semasa perasmian bersama Minggu Air Antarabangsa Singapura 2024 dan Sidang Puncak CleanEnviro Singapura, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata memandangkan pasaran kitar semula Singapura adalah kecil, ia bergantung kepada negara lain yang mengambil alih barangan kitar semulanya.

Ini bergantung kepada faktor seperti kos pengangkutan dan harga komoditi, katanya.

Namun, Cik Fu menambah bahawa terdapat peralihan ke arah “mengurangkan” dan “menggunakan semula”. 

“Walaupun pertumbuhan dalam populasi dan ekonomi Singapura stabil, sisa domestik yang dijana per kapita telah berkurang lebih 15 peratus sepanjang dekad lalu, manakala sisa bukan domestik yang dijana setiap dolar Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) telah susut 30 peratus dalam tempoh yang sama,” tambahnya.

Secara keseluruhan, sektor domestik dan bukan domestik di Singapura menjana kira-kira 6.86 juta tan sisa pada 2023 – 7 peratus lebih rendah daripada 7.39 juta tan yang dihasilkan pada 2022.

Menurut NEA, jumlah sisa yang lebih rendah yang dijana menunjukkan bahawa isi rumah dan syarikat telah mengambil langkah positif untuk mengurangkan dan menggunakan semula.

Usaha kitar semula bagaimanapun kekal sebagai cabaran berterusan di negara ini.

Di bawah Rancangan Hijau Singapura 2030, pelan tindakan negara yang menetapkan sasaran kemampanan, Singapura menyasarkan untuk mencapai kadar kitar semula keseluruhan sebanyak 70 peratus menjelang 2030.

Tetapi kadar kitar semula keseluruhan – yang termasuk angka daripada kedua-dua sektor domestik dan bukan domestik – pada 2023 adalah 52 peratus.

Ini turun daripada 57 peratus keseluruhan kadar kitar semula domestik pada 2022.

NEA berkata kekurangan itu disebabkan “penurunan ketara” dalam jumlah sisa pembinaan dan perobohan yang dikutip dari premis komersial seperti kilang dan tapak pembinaan.

Sisa pembinaan dan perobohan – aliran sisa industri utama yang dijana dalam jumlah besar – susut lebih 40 peratus pada 2023 berbanding 2022, kerana terdapat kurang projek perobohan.

Variasi tahun ke tahun yang ketara dalam jumlah sisa pembinaan dan perobohan akan mengakibatkan turun naik yang besar bagi kadar kitar semula bukan domestik dan keseluruhan, tambah NEA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg