Kadar penyertaan pemeriksaan barah buah dada dalam kalangan masyarakat Melayu adalah paling rendah dalam tiga tahun, dengan hanya 16.9 peratus berbuat demikian.
Ini merupakan sebahagian daripada trend menurun di peringkat nasional yang menyaksikan penurunan 34.7 peratus pada 2023 daripada 37.6 peratus pada 2022, berdasarkan hasil Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2023 yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 22 Ogos.
Tiada sebab diberikan untuk perubahan ini.
Barah buah dada adalah jenis barah yang paling banyak membawa maut dalam kalangan wanita, merangkumi 17.2 peratus kematian yang diakibatkan barah dari 2017 hingga 2021.
Di bawah program SG Lebih Sihat, warga Singapura yang layak boleh menerima subsidi penuh bagi pemeriksaan yang disarankan di peringkat nasional dan konsultasi susulan pertama di klinik SG Lebih Sihat mereka.
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berkata ia akan terus mempertingkatkan usaha mendekati masyarakat dan bekerja rapat dengan rakan kongsi seperti Pusat Barah Nasional Singapura, Institut Barah Nasional Singapura, Persatuan Barah Singapura (SCS) dan Yayasan Barah Buah Dada bagi meningkatkan lagi mesej menggalakkan wanita menjalani pemeriksaan semasa bulan kesedaran penyakit barah dan acara pendekatan yang bakal diadakan.
Selain itu, tinjauan tersebut juga menunjukkan jumlah penduduk Singapura berumur 18 hingga 74 tahun yang merokok setiap hari telah berkurangan daripada 9.2 peratus kepada 8.8 peratus dalam tempoh setahun antara 2022 dengan 2023 mengikut purata nasional, meneruskan trend penurunan kadar merokok sejak sedekad lalu.
Jumlah perokok Melayu juga telah berkurangan daripada 19.5 peratus kepada 16 peratus dalam tempoh yang sama.
Namun, orang Melayu terus membentuk kumpulan perokok terbesar antara kaum, dengan 16 peratus perokok berbanding orang Cina (7.6 peratus) dan orang India (9.8 peratus).
Merujuk kepada hasil tinjauan itu dalam ucapannya di Pertubuhan Doktor Keluarga Sedunia (WONCA) di Pusat Konvensyen Raffles City pada 22 Ogos, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata:
“Penjagaan asas yang baik perlu disokong oleh dasar-dasar yang menggalak gaya hidup sihat.
“Sebagai contoh, Singapura telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan tembakau, seperti meningkatkan usia minimum merokok kepada 21 tahun, dan amaran kesihatan grafik bagi produk tembakau telah diperkenalkan,” kata Encik Ong.
Bagi mengurangkan lagi tabiat merokok, Kementerian Kesihatan (MOH) akan meneruskan usaha pelbagai serampang termasuk gabungan langkah-langkah dasar, pendidikan awam dan peruntukan pemberhentian sokongan. Ia juga akan meneroka langkah-langkah kawalan tembakau yang akan datang untuk menggalakkan gaya hidup bebas daripada nikotin.
HPB akan terus menganjurkan I Quit, salah satu program untuk menggalak pemberhentian merokok serta QuitLine, satu perkhidmatan kaunseling melalui talian untuk membantu perokok berhenti daripada tabiat itu. Lebih 6,000 peserta sudah menyertai program I Quit pada 2023.
Dalam pada itu kesihatan mental yang kurang baik dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura adalah yang terendah sejak 2017 – 16.1 peratus pada 2023. Ini menyusuli rekod tertinggi 19.5 peratus pada 2022.
Jumlah ini bertepatan dengan trend penurunan pada purata nasional yang menyaksikan ia berkurang daripada 17 peratus pada 2022 kepada 15 peratus pada 2023.
Sebagai sebahagian daripada Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional yang dilancarkan pada Oktober 2023, pemerintah akan mengekalkan usaha pencegahan melalui pendidikan awam bagi memperkasa individu untuk menguruskan kesejahteraan mental mereka secara proaktif, dan menggalakkan mereka mencari dan memberi sokongan dalam masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg