Jumlah penyalah guna dadah Cina dan Melayu yang ditahan pada 2024 meningkat berbanding 2023, dengan penyalah guna dadah Melayu merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan yang ditahan.
Demikian menurut laporan keadaan dadah terkini yang dikeluarkan Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 12 Februari.
Berdasarkan laporan tersebut, seramai 1,543 penyalah guna dadah Melayu (49 peratus) dan 947 penyalah guna dadah Cina (30 peratus) ditahan pada 2024 – meningkat daripada 1,488 Melayu (48 peratus) dan 940 Cina (30 peratus) yang diberkas pada 2023.
Jumlah penyalah guna dadah Melayu baru juga meningkat daripada 356 pada 2023, kepada 413 pada 2024, manakala bilangan penyalah guna dadah Cina baru juga meningkat daripada 373 pada 2023, kepada 387 pada 2024.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Februari, CNB menyatakan bilangan penyalah guna dadah terus meningkat dan kekal tinggi di peringkat sejagat, dan ia akan terus mengkaji semula undang-undang Singapura untuk memastikan agensi itu kekal berkesan dalam menghadapi trend dadah yang muncul.
“Pada 2024, CNB menahan 3,119 penyalah guna dadah, berbanding dengan 3,122 penyalah guna dadah yang ditahan pada 2023.
“Jumlah penyalah guna dadah baru yang ditahan meningkat 1 peratus, daripada 952 pada 2023 kepada 966 pada 2024.
“Sokongan padu daripada masyarakat, terutamanya ibu bapa dan sekolah, adalah penting dalam memerangi dadah di Singapura,” kata CNB.
Menurut laporan itu, jumlah penyalah guna dadah India yang ditangkap pada 2024, termasuk jumlah penyalah guna dadah baru, mencatat penurunan berbanding 2023.
Jumlah keseluruhan penyalah guna dadah India yang ditangkap pada 2024 menurun kepada 544 pada 2024, berbanding 585 pada 2023.
Jumlah penyalah guna dadah India baru yang ditangkap pada 2024 juga menurun kepada 136, berbanding 173 pada 2023.
Secara berasingan, bilangan penyalah guna dadah berulang yang ditahan juga menyaksikan penurunan 1 peratus daripada 2,170 pada 2023 kepada 2,153 pada 2024.
Laporan itu juga menunjukkan bilangan penyalah guna dadah wanita yang ditangkap meningkat sebanyak 4 peratus – daripada 457 pada 2023 kepada 476 pada 2024.
Secara keseluruhan, penyalah guna dadah wanita membentuk 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalah guna dadah pada 2024 dan 2023.
Bagaimanapun, antara 966 penyalah guna dadah baru yang ditahan pada 2024, 22 peratus atau 213 adalah wanita, meningkat daripada 184 penyalah guna dadah wanita baru pada 2023.
Pemangku Pengarah CNB, Encik Leon Chan, berkata: “Pada 2024, penyalah guna dadah termuda yang ditahan ialah seorang remaja berumur 13 tahun, jauh lebih muda daripada purata usia permulaan penyalahgunaan dadah iaitu 16 tahun.
“Selama dua tahun ini, lebih separuh daripada penyalah guna dadah baru yang ditangkap berumur di bawah 30 tahun. Bilangan penyalah guna dadah baru di bawah umur 20 yang ditahan, meningkat sebanyak 30 peratus.”
Menurut laporan itu, CNB telah membongkar 25 sindiket dadah pada 2024, termasuk sindiket yang menggunakan wadah Telegram.
Ia juga membuat rampasan dadah yang ketara dengan anggaran nilai pasaran kira-kira $13.5 juta.
“CNB tetap teguh dalam misinya untuk memastikan Singapura bebas dadah, termasuk menyiasat penyalah dadah kerana memanipulasi keuntungan kewangan mereka dan merampas aset yang diperoleh secara haram,” tegas Encik Chan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg