Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pernah gagal IPPT, kini pegawai kadet terima Anugerah Pedang Merit

Kejayaan ditempa hasil disiplin tinggi, sokongan keluarga yang tidak berbelah bagi
Jun 15, 2025 | 8:43 PM
Ammar Fitri Juraimi Hussin, OCCP, 2LT
Sebagai seorang yang pernah berdepan pelbagai cabaran, Leftenan Muda (2LT) Ammar Fitri Juraimi Hussin tidak pernah berputus asa dalam usaha memperbaiki diri. Beliau merupakan antara 444 pegawai yang ditauliahkan semasa Perbarisan Pentauliahan Kursus Pegawai Kadet ke-137/24 (OCCP) yang diadakan di Institut Tentera Safti pada 14 Jun. Turut berkongsi detik bermakna itu ialah ibu bapanya, Encik Juraimi Hussin dan Cik Asnidah Abdullah. - Foto ZAOBAO

Meskipun pernah gagal ujian jasmani di awal perjalanan Perkhidmatan Negara (NS), Leftenan Muda (2LT) Ammar Fitri Juraimi Hussin, 21 tahun, tidak berputus asa untuk memperbaiki dirinya.

Usaha gigih dan semangat juangnya sepanjang latihan di Sekolah Pegawai Kadet (OCS) akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menerima Anugerah Pedang Merit.

Beliau merupakan antara 444 pegawai yang ditauliahkan pada 14 Jun dalam Perbarisan Pentauliahan Kursus Pegawai Kadet ke-137/24 (OCCP) yang diadakan di Institut Tentera Safti di Jurong.

Presiden Tharman Shanmugaratnam hadir sebagai Pegawai Pemeriksa (RO), bersama Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, selaku hos upacara tersebut.

Bagi 2LT Ammar, Anugerah Pedang Merit itu mengiktiraf perubahan menyeluruh yang telah beliau capai sejak permulaan perkhidmatan.

“Saya mulakan perjalanan NS dengan keputusan gagal bagi ujian IPPT (Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan).

“Berat badan saya waktu itu sekitar 84 kilogram. Tetapi saya bertekad untuk berubah supaya kekal sihat dan bertenaga demi diri sendiri,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Kini, berat badan beliau turun kepada 65 kilogram, hasil usaha gigih dan disiplin berterusan.

Semangat dan ketekunannya ialah berkat dorongan keluarga, khususnya ibu bapa dan abang sulungnya yang banyak membantunya kekal tabah sepanjang latihan fizikal dan mental di OCS.

Dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada keluarga, beliau turut berjaya memegang beberapa peranan kepimpinan sepanjang tempoh latihan, termasuk sebagai Komander Udara Kadet dan Sarjan Mejar Kadet.

Katanya, dengan cara pimpinan beliau yang tegas, beliau masih menitikberatkan kebajikan rakan-rakan kadet di bawah pimpinannya.

“Nilai ini diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa saya.

“Meskipun bersikap tegas, mereka sentiasa menunjukkan keprihatinan dan memberi sokongan dalam apa jua keadaan.

“Ia membentuk pendekatan dalam menjalankan tugas saya sebagai seorang pemimpin,” kata beliau.

Dengan itu, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor perubatan pada masa depan.

“Saya harap apa yang saya pelajari dalam OCS dari segi kepimpinan, ketekunan dan keprihatinan dapat dibawa ke bidang perubatan kelak demi memberi khidmat kepada masyarakat,” tambahnya.

Dalam ucapannya, Tuan Presiden menekankan peri pentingnya Singapura untuk kekal terbuka, berhubung dan relevan dalam menghadapi landskap global yang semakin mencabar.

“Keupayaan kita untuk terus bertahan dan maju bergantung kepada sejauh mana kita dapat kekal terbuka, berhubung dan relevan.

“Kita mesti terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan yang sealiran, termasuk di rantau ini bagi menegakkan satu sistem berasaskan peraturan yang melindungi hak semua negara, besar mahupun kecil,” kata beliau.

Sambil memperkukuh hubungan dengan negara-negara lain, beliau turut menegaskan perlunya Singapura membina keupayaan pertahanannya sendiri.

Dengan itu, beliau menarik perhatian usaha Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam meningkatkan keupayaan keempat-empat perkhidmatannya di darat, langit, laut dan ruang digital.

Inisiatif ini, yang juga termasuk teknologi dan prasarana baru, bertujuan memastikan SAF kekal bersiap siaga, relevan dan teguh menghadapi masa hadapan.

Nilai ini (cara pimpinan yang tegas) diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa saya.  Meskipun bersikap tegas, mereka sentiasa menunjukkan keprihatinan dan memberi sokongan dalam apa jua keadaan.  Ia membentuk pendekatan dalam menjalankan tugas saya sebagai seorang pemimpin.
Leftenan Muda (2LT) Ammar Fitri Juraimi Hussin.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg