Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wira misi menyelamat Dart terima pingat khidmat luar negara

Nov 17, 2025 | 7:45 PM
Mohamed Azlan Mohamed, dart, wira dart
Komander Seksyen Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart), WO1 Mohamed Azlan Mohamed, dikerah ke Myanmar bagi Operasi Lionheart 2025, di mana beliau terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan. Beliau merupakan antara 1,057 penerima Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 17 November.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bangunan runtuh, jalan retak dan jasad tidak bernyawa merupakan antara pemandangan yang dihadapi anggota Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart) apabila mereka dikerah untuk misi menyelamat di luar negara.

Bagi Pegawai Waran Pertama (WO1) Mohamed Azlan Mohamed, 38 tahun, itulah realiti yang perlu ditempuh setiap kali beliau melangkah masuk ke kawasan bencana.

Ini termasuk semasa Operasi Lionheart pada Mac 2025 di Myanmar, tatkala beliau ditugas untuk operasi Mencari dan Menyelamat di Bandar (Usar) serta menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Dengan peranannya sebagai Komander Seksyen, WO1 Azlan turut bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesiapsiagaan dan kebajikan empat anggota Dart di bawah seliaannya.

“Kalau satu anggota lemah, kekuatan seluruh pasukan turut terhakis,” ujarnya.

Walaupun ini merupakan penugasan keempatnya di luar negara misi kali ini menyentuh jiwanya secara lebih peribadi.

Beliau diaktifkan 48 jam sebelum Hari Raya lalu dan terpaksa meninggalkan isterinya, Cik Azlinda Rosli, 36 tahun, untuk menguruskan tiga anak mereka berusia 10, enam dan tiga tahun seorang diri.

“Sebagai seorang bapa, yang paling saya fikirkan sebenarnya adalah anak-anak saya.

“Saya terpaksa jelaskan kepada mereka bahawa saya akan bertugas sekurang-kurangnya 10 hari dan tidak dapat bersama mereka pada hari pertama Raya. Itu, bagi saya, satu perkara yang sangat berat,” katanya.

Perasaan itu dibawa bersamanya ke Myanmar, terutama apabila beliau melihat kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal.

Komander Seksyen Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart), WO1 Mohamed Azlan Mohamed (kanan), terpaksa meninggalkan isteri dan tiga cahaya mata berusia tiga hingga 10 tahun, demi membantu dalam Operasi Lionheart 2025, di mana beliau terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan.
Komander Seksyen Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart), WO1 Mohamed Azlan Mohamed (kanan), terpaksa meninggalkan isteri dan tiga cahaya mata berusia tiga hingga 10 tahun, demi membantu dalam Operasi Lionheart 2025, di mana beliau terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan. - Foto SCDF

WO1 Azlan akur emosi yang ditanggung mangsa bencana tetap meninggalkan kesan mendalam meskipun sudah terbiasa dalam keadaan sebegitu.

“Yang paling saya tersentuh adalah kanak-kanak yang hilang tempat tinggal… sebab saya juga mempunyai tiga cahaya mata sendiri. Bila nampak mereka duduk di tepi jalan, hati memang luluh,” katanya.

Atas dedikasinya, WO1 Azlan menerima Pingat Perkhidmatan Luar Negara semasa Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 17 November.

Pingat itu mengiktiraf pegawai yang berkhidmat dengan cemerlang di luar negara, termasuk dalam operasi keamanan, ketenteraman dan bantuan kemanusiaan.

Selain anugerah itu, kategori lain termasuk Pingat Kepujian, Pingat Berkebolehan, Pingat Bakti Setia turut diberikan kepada seramai 1,057 pegawai MHA pada 2025.

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu terhormat acara itu.

Dalam ucapannya, Encik Tong berkata tanggungjawab pegawai MHA kian mencabar, terutama apabila negara kini berdepan kemajuan pesat dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan tujuan menipu mangsa.

Kemajuan pesat AI, katanya, telah mengubah sepenuhnya landskap operasi.

“Dengan AI, penipu boleh menghasilkan foto dan video deepfake yang meyakinkan, serta mencipta mesej penipuan tanpa kesilapan bahasa.

“Perkara yang dahulunya memerlukan sumber dan kepakaran besar kini boleh dilakukan dengan mudah oleh individu yang hanya mempunyai kemahiran asas dan akses kepada alat AI yang tersedia umum,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa AI juga semakin menjadi “pengupaya keganasan”.

Pada Mac 2025, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menahan seorang remaja ekstremis berusia 17 tahun yang menggunakan chatbot AI untuk mencari cara menghasilkan peluru.

“Inilah landskap yang kompleks dan sentiasa berubah, di mana pegawai Home Team perlu beroperasi.

“Namun, Singapura kekal sebagai antara negara paling selamat di dunia,” ujar Encik Tong.

Keselamatan ini, katanya, terhasil daripada kepercayaan, keyakinan dan rasa hormat rakyat terhadap pegawai Home Team yang terlatih.

Ini termasuk WO1 Azlan, yang menurut Encik Tong dalam ucapannya, “telah memberikan sumbangan besar dalam menangani cabaran operasi kompleks serta membimbing anggota baru”.

Bagi WO1 Azlan, yang telah berkhidmat selama 11 tahun, dorongannya datang daripada peluang untuk menangani misi kompleks yang dapat menyelamatkan nyawa.

Setiap penugasan, katanya, mengingatkan beliau tentang tujuan sebenar kerjayanya.

“Bila saya dapat membantu atau menyelamatkan seseorang, ia betul-betul merendahkan diri saya sebagai manusia dan buat saya lebih menghargai kehidupan,” ujarnya.

Meskipun terpaksa melepaskan sambutan Hari Raya 2025, kepulangan beliau disambut isteri dan anak sulungnya di Lapangan Terbang Changi, sebelum beliau kembali kepada rutin harian sendiri.

“Memang mencabar dan kadang-kadang menggetarkan emosi,” kata isterinya, Cik Azlinda.

Namun beliau tetap berpegang kepada keperluan untuk menyokong kerjaya suaminya.

“Kalau itu kerja yang dia sayang, saya pun kena kuat,” ujar Cik Azlinda, yang kini menantikan kehadiran cahaya mata keempat tidak lama lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg