Kadi dan Naib Kadi akan dilengkapi dengan pengetahuan lebih luas untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi pasangan Islam lebih awal dan menghubungkan mereka kepada bantuan khusus sebelum masalah tersebut menjadi lebih serius.

Usaha itu akan dilaksanakan menerusi Rangkaian Sokongan Bersamamu yang dilancarkan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) pada 5 September, dengan melibatkan kepakaran daripada bidang perundangan, perancangan legasi Islam, dan teknologi digital.

Ia dilancarkan sempena Forum Bersamamu 2026 anjuran ROMM yang diadakan buat kali keempat tahun ini. Forum itu membincangkan isu relevan serta sokongan dan khidmat kebajikan bagi membantu pasangan mengharungi kehidupan berumah tangga.

Tetamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata rangkaian baharu itu bertujuan meningkatkan keupayaan Kadi, Naib Kadi, dan wadah Asatizah Solace Care daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), dalam mendampingi pasangan menerusi program Bersamamu.

Menurut beliau, lebih 30,000 pasangan telah didampingi menerusi program Bersamamu setakat ini.

Encik Zhulkarnain berkata Rangkaian Sokongan Bersamamu, yang dilancarkan buat julung-julung kalinya, akan melibatkan tiga rakan kerjasama baharu – Jawatankuasa Pengamal Undang-Undang Islam (MLPC), Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) yang diterajui Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), serta AI Singapore (AISG).

MLPC akan membantu meningkatkan kesedaran Kadi dan Naib Kadi mengenai aspek perundangan, sementara ILPW akan memperluas pengetahuan mereka mengenai perancangan legasi Islam dan kewangan.

AISG pula akan menyumbang kepakaran berkaitan dunia digital serta perhubungan dan komunikasi dalam talian.

Mengulas bagaimana rangkaian itu dapat membantu pasangan di peringkat awal, Kadi dan Pendaftar ROMM, Ustaz Syakir Pasuni, berkata ia akan memperkukuh ilmu dan pengetahuan Kadi dan Naib Kadi supaya mereka lebih berupaya mengenal pasti isu yang dihadapi pasangan semasa sesi pertemuan.

Menurutnya, pasangan yang memerlukan bantuan lanjut kemudian boleh disalurkan kepada Pegawai Pembangunan Keluarga (FDO) di bawah program Bersamamu yang diperluas, sebelum dihubungkan kepada khidmat sokongan yang bersesuaian.

“Ini bukan sahaja dilakukan di peringkat akhir atau selepas masalah berlaku, malah ia bertujuan untuk mengenal pasti bantuan yang diperlukan di peringkat awal,” terang Ustaz Syakir.

Beliau memberi contoh pengalaman seorang Kadi yang mendapati semasa sesi bersemuka bahawa salah seorang daripada pasangan ditemuinya menghadapi masalah ketagihan tingkah laku, manakala pasangannya pula berdepan masalah keyakinan diri yang rendah.

Kadi dan Pendaftar Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Syakir Pasuni, berkata Rangkaian Sokongan Bersamamu akan memperkukuh pengetahuan Kadi dan Naib Kadi agar mereka lebih peka dalam mengenal pasti masalah yang dihadapi pasangan pada peringkat awal dan menyalurkan mereka kepada bantuan yang sesuai.
Kadi dan Pendaftar Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Syakir Pasuni, berkata Rangkaian Sokongan Bersamamu akan memperkukuh pengetahuan Kadi dan Naib Kadi agar mereka lebih peka dalam mengenal pasti masalah yang dihadapi pasangan pada peringkat awal dan menyalurkan mereka kepada bantuan yang sesuai. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Menurut Ustaz Syakir, dengan pengetahuan yang diperoleh menerusi rangkaian tersebut, Kadi berkenaan dapat mengenal pasti bahawa masalah yang dihadapi pasangan itu tidak boleh ditangani menerusi satu nasihat atau satu sesi sahaja.

“Sebaliknya, mereka dapat menyalurkan pasangan tersebut kepada bantuan yang lebih sesuai, seperti kaunselor profesional dan sebagainya,” jelas beliau.

Ustaz Syakir menerangkan bahawa Rangkaian Sokongan Bersamamu bukan wadah atau aplikasi yang boleh diakses secara langsung oleh pasangan.

Sebaliknya, rangkaian itu berfungsi “di sebalik tabir” dari sudut pasangan, dengan latihan disediakan kepada Kadi dan Naib Kadi menerusi kerjasama bersama rakan-rakan dalam rangkaian tersebut.

“Sebenarnya, tugas Kadi dan Naib Kadi sudah lama berkembang sejak kita melancarkan inisiatif Bersamamu, di mana mereka memberikan sokongan tambahan kepada pasangan.

“Maka, dengan pelancaran Rangkaian Sokongan Bersamamu ini, peranan Kadi dan Naib Kadi sebenarnya tidaklah berubah secara drastik.

“Ia sebenarnya hanya memperkasakan ilmu pengetahuan Kadi dan Naib Kadi supaya mereka lebih peka dan mampu mengenal pasti isu-isu yang mungkin dihadapi oleh pasangan di peringkat awal,” ujar Ustaz Syakir.

Sesi perbincangan panel di Forum Bersamamu 2026, yang dianggotai (dari kanan) Pengurus Dakwah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustaz Muhammad Nuzhan Abdul Halim; Anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS dan Anggota Majlis Pergas, Ustazah Dr Rohana Ithnin; Kaunselor Kanan APKIM Resources, Cik Murni Abbas; serta moderator Fiza O, mengupas cabaran dalam membina rumah tangga yang berdaya tahan, serta kepentingan mendapatkan sokongan apabila pasangan berdepan masalah dalam kehidupan berumah tangga.
Sesi perbincangan panel di Forum Bersamamu 2026, yang dianggotai (dari kanan) Pengurus Dakwah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustaz Muhammad Nuzhan Abdul Halim; Anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS dan Anggota Majlis Pergas, Ustazah Dr Rohana Ithnin; Kaunselor Kanan APKIM Resources, Cik Murni Abbas; serta moderator Fiza O, mengupas cabaran dalam membina rumah tangga yang berdaya tahan, serta kepentingan mendapatkan sokongan apabila pasangan berdepan masalah dalam kehidupan berumah tangga. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Tambahnya, antara cabaran yang sering dihadapi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga ialah menyesuaikan diri apabila memasuki fasa baharu kehidupan.

Ini termasuk perubahan selepas fasa bulan madu, tuntutan pekerjaan yang semakin mencabar, kelahiran anak, serta penyesuaian hidup bersama mertua.

Justeru, beliau berkata antara perkara penting yang cuba dibina Kadi dan Naib Kadi semasa sesi bersemuka bersama pasangan sebelum bernikah ialah hubungan dan keserasian yang baik dengan mereka.

Hubungan itu, menurutnya, diharap dapat membuatkan pasangan lebih selesa mendapatkan bimbingan sekiranya menghadapi masalah selepas mendirikan rumah tangga, sekali gus membolehkan mereka disalurkan kepada bantuan yang sesuai.