Lebih 2,000 kakitangan pengangkutan awam akan dihidangkan kopi dan snek percuma di 12 lokasi berbeza sepanjang tiga minggu akan datang, yang disajikan dari Coffee Bus oleh Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU).
Inisiatif itu kali pertama dilancarkan pada 1970-an bagi menyediakan makanan yang mudah dimakan segera dengan harga berpatutan kepada pemandu bas semasa waktu rehat mereka.
Konsep itu digantikan dengan kafeteria yang dikendalikan oleh NTWU selepas penubuhannya pada 1981.
Coffee Bus kini kembali bagi mengiktiraf sumbangan dan perkhidmatan pekerja pengangkutan awam di Singapura, sempena sambutan SG60 dan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), lapor The Straits Times.
Bas yang diubah suai itu, yang luarannya menyerupai reka bentuk bas awam klasik dari 1970-an, diperkenalkan pada 14 Mei semasa majlis perasmian yang dihadiri Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-undang), Encik Murali Pillai.
Bas itu turut menampilkan galeri kecil mengenai sejarah pengangkutan awam Singapura, termasuk pameran tiket bas lama dan pakaian seragam pemandu bas.
Selama tiga minggu akan datang, bas itu akan mengunjungi depoh bas dan kereta api paling sibuk, serta pusat tukaran bas di kawasan seperti Punggol, Bukit Merah dan Tampines.
Di beberapa hentian, ia akan dibuka kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sumbangan pekerja pengangkutan awam di Singapura.
Setiausaha Eksekutif NTWU, Cik Yeo Wan Ling, berkata: “Idea yang kami ingin tanamkan adalah untuk tidak mengambil mudah terhadap pekerja pengangkutan awam kita.
“Mereka adalah pak cik dan mak cik yang kita temui setiap kali pergi ke sekolah atau tempat kerja, dan mereka juga orang yang menyapa kita dengan mesra ketika kita sedang pulang ke rumah.”
Cik Yeo, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata Coffee Bus dilancarkan sebagai tanda penghargaan kesatuan itu terhadap sumbangan pekerja pengangkutan awam dan menegaskan iltizam untuk memahami keperluan mereka.
Awal dari itu, Pasukan Petugas Tiga Pihak bagi Keselamatan Bas mengeluarkan saranan pada Mac bersama NTWU, yang diterima oleh pemerintah.
Saranan tersebut termasuk menambah baik keadaan kerja kapten bas, melindungi masa rehat untuk makan, memastikan waktu perjalanan baru bas tidak melebihi dua jam, dan memperbaiki keselamatan bas melalui teknologi.
Laporan pasukan petugas itu adalah hasil usaha berbulan-bulan yang diketuai oleh Encik Murali.
Semasa berucap pada majlis tersebut, Encik Murali menekankan bagaimana peralihan daripada hubungan majikan-pekerja yang bersifat konfrontasi pada 1950-an dan 1960-an kepada sistem kerjasama tiga pihak hari ini memberi manfaat kepada semua pihak melalui inisiatif seperti Coffee Bus.
Mengenai iklim ekonomi semasa, beliau menambah:
“Apabila kita menghadapi ketidaktentuan, kita mesti pastikan kita berdiri bersama pekerja pengangkutan awam kita, kekal tabah sebagai sebuah pasukan dan membantu mereka dengan lebih baik.”
Bagi Encik Lim Yew Huat, 74 tahun, seorang kapten bas kanan, inisiatif Coffee Bus menyingkap kenangan lama.
“Pada masa lalu, ia (minuman dan hidangan) memberi suntikan tenaga segera kepada kapten bas.
“Melihat bas ini semula mengingatkan saya kepada kenangan indah zaman dulu ketika saya baru mula bekerja sebagai kapten bas,” kata Encik Lim, yang akan menyambut ulang tahunnya ke-50 bertugas bersama SBS Transit pada Julai.
Beliau turut berharap penumpang dapat lebih bertimbang rasa terhadap kapten bas dan kakitangan pengangkutan awam, terutama apabila berlaku kelewatan yang tidak dijangka.
“Secebis kebaikan daripada penumpang boleh memberi kesan yang besar. Saya berasa ceria apabila penumpang menyapa saya dengan senyuman,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg