Sebuah Pasukan Petugas Keselamatan Bas mencadangkan beberapa usaha dalam menjaga keselamatan pemandu bas awam.
Antaranya ialah melengkapkan bas dengan sistem amaran perlanggaran, mengehadkan tempoh perjalanan bagi laluan baru kepada dua jam, dan memanjangkan waktu rehat makan pemandu daripada 25 kepada 30 minit.
Pasukan petugas juga mencadangkan agar Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bekerjasama dengan empat pengendali bas awam di Singapura untuk menawarkan kewangan dan insentif yang lain kepada pemandu yang mempunyai rekod keselamatan yang baik.
Pasukan petugas telah mengesyorkan agar pemerintah melengkapkan bas awam dengan sistem amaran pelanggaran 360 darjah, antikeletihan dan cermin kamera.
Antara bidang yang ditumpukan termasuk menggunakan alat teknologi, menyediakan persekitaran kerja yang sesuai, serta memperbaiki pengurusan kerja-kerja jalan raya.
Dalam satu kenyataan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) pada 5 Mac, mereka berkata:
“Pekerja pengangkutan awam adalah tulang belakang rangkaian pengangkutan kita, memastikan perjalanan yang lancar dan cekap bagi semua penumpang.
“Adalah penting untuk memastikan mereka mendapat sokongan yang baik dalam pekerjaan mereka, dan kesejahteraan serta keselamatan mereka harus menjadi keutamaan.”
Terdapat sekitar 9,500 pemandu bas awam di Singapura yang mengendalikan 5,800 bas merentasi lebih daripada 360 laluan.
Cadangan-cadangan itu telah diterima pemerintah pada 5 Mac.
Laporan sepanjang 30 muka surat itu adalah hasil daripada usaha selama berbulan-bulan yang diketuai oleh Menteri Negara (Undang-undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg