Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian: 1 dalam 4 belia pernah cederakan diri tanpa niat bunuh diri

Pakar IMH: Kelakuan dilihat sebagai cara untuk atasi emosi, tekanan yang terlalu berat
Jun 15, 2025 | 4:27 PM
Isu belia, cederakan diri, tinjauan
Kelakuan mencederakan diri dikaitkan dengan isu seperti emosi atau tekanan yang melampau. - Foto fail

Satu dalam empat belia di Singapura berkata mereka pernah mencederakan diri sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, dengan kelakuan seperti mengelar atau menumbuk diri.

Ini adalah dapatan daripada satu kajian terbaru yang memberikan gambaran baru mengenai kelakuan mencederakan diri tanpa niat membunuh diri (NSSI) dalam kalangan orang muda di Singapura, lapor The Straits Times.

NSSI biasanya termasuk mengelar, membakar, memukul atau mencederakan tubuh secara fizikal dengan cara lain.

Kajian tersebut mendapati bahawa usia median permulaan kelakuan NSSI ialah 14 tahun. Dalam kalangan remaja lelaki pula, perbuatan tersebut juga lebih kerap berlaku dalam kalangan usia 18 tahun.

NSSI berulang, yang ditakrifkan sebagai sekurang-kurangnya lima kejadian mencederakan diri, dilaporkan oleh 11.6 peratus responden.

Kaedah mencederakan diri yang paling biasa dalam kajian itu ialah mengelar, yang berlaku dalam hampir 13.5 peratus orang muda. Ini diikuti oleh mencakar secara teruk, menumbuk diri sendiri serta menghentakkan kepala pada sesuatu objek.

Kajian itu, yang diterbitkan pada Mac, mengambil data daripada Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan, yang melibatkan 2,600 peserta berumur antara 15 tahun hingga 35 tahun. Kajian kebangsaan ini dijalankan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).

Pengerusi lembaga perubatan di IMH, Dr Swapna Verma, memberitahu ST bahawa NSSI bukan satu isu mental, tetapi satu tingkah laku yang sering menandakan isu-isu lain yang dihadapi.

“Orang muda mungkin mengambil jalan mencederakan diri sebagai cara untuk mengatasi emosi yang terlalu berat atau tekanan yang mereka tidak berupaya untuk menguruskannya secara lebih sihat.

“Bagi sesetengah individu, ia memberikan kelegaan sementara daripada perasaan yang kuat seperti kesedihan, kemarahan, keresahan atau kekosongan. Yang lain mungkin menggunakannya sebagai isyarat bahawa mereka sedang menghadapi tekanan,” katanya.

Kajian itu menarik perhatian beberapa faktor risiko yang berkaitan dengan tindakan mencederakan diri.

Antaranya ialah belia perempuan dua kali lebih berkemungkinan daripada lelaki untuk mencederakan diri.

Pegawai penyelidik kanan IMH, Cik Sherilyn Chang, pula berkata bahawa walaupun sesetengah kajian menunjukkan NSSI lebih lazim berlaku dalam kalangan belia perempuan, hasil kajian mengenai perbezaan jantina dalam kelakukan NSSI masih bercampur-campur.

“Satu sebab bagi kecenderungan lebih tinggi dalam kalangan perempuan barangkali adalah perempuan cenderung mengalami tahap tekanan psikologi yang lebih tinggi, dan ini seterusnya dikaitkan dengan kemungkinan NSSI yang lebih tinggi,” kata Cik Chang.

Beberapa kajian telah melaporkan bahawa belia perempuan sering berusaha mengurus emosi mereka lebih daripada lelaki, katanya.

“Namun begitu, perhatian yang meningkat terhadap pengawalan emosi kadang-kadang boleh membawa kesan yang bertentangan, terutamanya jika ia melibatkan berfikir berlebihan atau terlalu memikirkan perasaan negatif. Lama-kelamaan, tekanan itu berterusan atau menjadi lebih buruk, dan boleh membawa kepada perbuatan NSSI,” ujarnya lagi.

Golongan muda antara 15 hingga 29 tahun dan mereka yang mempunyai pencapaian pendidikan yang lebih rendah juga melaporkan kecenderungan lebih tinggi mencederakan diri. Mereka yang mengalami simptom kemurungan dan keresahan yang serius atau amat serius juga lebih berkemungkinan terlibat dalam perbuatan itu.

Mereka yang mempunyai ketidakpuasan terhadap imej badan mereka dua kali lebih berkemungkinan untuk terlibat dalam NSSI berbanding mereka yang tidak menghadapi isu tersebut.

Sumber bantuan:

- Talian Institut Kesihatan Mental: 63892222 (24 jam)

- Samaritans of Singapore: 1-767 (24 jam) / 91511767 (24 jam CareText menerusi WhatsApp)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg