Sebagai pakar bedah kardiotorasik saya telah menghabiskan beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan bagaimana Covid-19 bukan sahaja mengubah sistem kesihatan kita, malah keadaan paru-paru dalam kalangan warga emas.
Bagi sesetengah individu, virus itu hanya gangguan ringan.
Namun bagi ramai yang lain, terutama yang berusia lebih 50 tahun, Covid-19 menjadi titik permulaan kepada sesak nafas yang berpanjangan, penemuan baru dalam imbasan atau pendedahan kepada masalah pernafasan yang selama ini tidak disedari.
Dalam artikel ini, saya akan berkongsi pengalaman saya, peranan pembedahan toraks berteknologi robotik dalam campur tangan lebih selamat, dan langkah mudah tetapi berkesan yang boleh diambil untuk melindungi paru-paru individu dewasa mulai hari ini.
Beberapa bulan selepas pulih, ramai pesakit terus berasa tidak sihat sepenuhnya.
Keletihan, batuk, atau stamina yang merosot mungkin menandakan perubahan halus atau besar pada paru-paru.
Penemuan lazim yang saya lihat dalam pesakit berumur lebih 50 tahun:
+ Parut pada paru-paru (fibrosis pasca-Covid-19)
+ Keradangan kronik dan penebalan tisu paru-paru
+ Nodul atau jisim kecil yang ditemui dalam imbasan susulan
+ Pengumpulan cecair di sekitar paru-paru (efusi pleura)
+ Sesak nafas yang berpanjangan
Bagi pesakit yang mempunyai penyakit gangguan pernafasan kronik (COPD) seperti semput atau penyakit paru-paru interstisial (ILD), Covid-19 sering menyebabkan kemerosotan fungsi atau mempercepat perkembangan penyakit.
“Kami melihat ramai pesakit yang penyakit paru-paru asalnya stabil selama bertahun-tahun – tetapi Covid-19 mengganggu keseimbangan itu.
“Virus ini bukan sekadar meninggalkan parut fizikal; ia juga mengubah daya ketahanan semula jadi paru-paru,” kongsi Perunding Kanan Pakar Bedah Toraks, Dr Aneez D.B. Ahmed.
Menurut kajian korhort pernafasan yang berpangkalan di United Kingdom, individu dengan COPD mempunyai risiko 5.97 kali lebih tinggi mengalami komplikasi Covid-19 teruk, manakala pesakit ILD mencatat kadar kematian melebihi 49 peratus dalam kes yang dimasukkan ke hospital.
Malah pesakit semput yang terkawal turut mengalami gejala lebih lama dan sesak nafas berpanjangan selepas Covid-19 berbanding penduduk umum.
Di Singapura, Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2022 melaporkan 13.4 peratus individu berumur 50 hingga 69 tahun telah didiagnosis dengan penyakit pernafasan kronik, ramai daripadanya tidak dikesan sehingga gejala menjadi serius.
Ini menjadikan pengesanan awal dan rawatan yang disasarkan amat penting bagi golongan dewasa terutama apabila gejala berlarutan selepas Covid-19.
Bagi mereka yang memerlukan pemeriksaan lanjut atau rawatan, terdapat satu pilihan lebih selamat dan tepat yang semakin dihargai iaitu pembedahan toraks berteknologi robotik.
Bagi mereka yang memerlukan biopsi, saliran cecair atau pembuangan tisu paru-paru yang tidak normal, pembedahan toraks bantuan robot telah menjadi pendekatan yang mengubah keadaan terutama bagi pesakit berusia yang tidak begitu kuat dari segi fizikal.
Mengapakah ia kerap diusul?:
+ Luka lebih kecil bermakna trauma lebih rendah dan penyembuhan lebih cepat
+ Ketepatan tinggi, penting dalam paru-paru yang mempunyai parut atau keradangan
+ Risiko komplikasi lebih rendah, sesuai untuk pesakit warga emas atau lemah
+ Masa tinggal di hospital lebih singkat, mengurangkan risiko jangkitan
Kami kini sering guna sistem robotik untuk:
+ Mengeluarkan atau mengesahkan nodul mencurigakan
+ Menyalirkan cecair di sekitar paru-paru
+ Merawat barah paru-paru peringkat awal atau paru-paru kempis
+ Melakukan biopsi invasif minimum
“Pembedahan toraks bantuan robot membolehkan kami bertindak dengan tepat dan lembut penting untuk warga emas dengan paru-paru yang berparut atau keradangan.
“Ia bukan sekadar merawat penyakit; ia juga menjaga maruah pesakit semasa pemulihan,” jelas Dr Aneez.
Sesetengah pesakit lebih cenderung mengalami masalah paru-paru jangka panjang selepas Covid-19.
Berdasarkan trend klinikal dan sokongan daripada pertubuhan seperti Yayasan Jantung Singapura, kumpulan berisiko tinggi termasuk:
+ Individu berumur 50 tahun ke atas
+ Perokok atau bekas rokok
+ Penghidap penyakit pernafasan kronik
+ Penghidap sakit jantung, kencing manis, atau sistem imun lemah
+ Sesiapa yang mengalami Covid-19 sederhana hingga teruk dan dimasukkan ke hospital
“Ramai pesakit menyangka sesak nafas itu tanda penuaan, tetapi itu tidak semestinya benar.
“Imbasan atau konsultasi tepat pada masanya boleh menjadi penentu antara pemantauan rapi dan diagnosis yang terlepas pandang, tambah Dr Aneez.
Anda tidak perlu tunggu sehingga sakit untuk bertindak.
Berikut langkah berjaga-jaga yang sering saya kongsikan kepada pesakit berusia 50-an dan ke atas:
Langkah Perlindungan Bawa Perbezaan
Kekalkan vaksinasi
– Dos penggalak Covid-19, vaksin influenza dan pneumokokal amat penting.
Pantau gejala berpanjangan.
– Batuk, sesak dada, atau keletihan luar biasa usah diabai.
Elak merokok sepenuhnya.
– Asap rokok, termasuk asap sekunder, memberi tekanan kepada paru-paru yang sedang pulih.
Amalkan kebersihan udara dalaman.
– Penapis udara, pengudaraan baik, dan pemakaian pelitup muka di tempat berisiko tinggi.
Kekal aktif – dengan lembut
– Berjalan laju, senaman pernafasan, atau pemulihan paru-paru dapat membantu mengembalikan fungsi.
Amalkan diet seimbang dan kekal hidrat.
– Makanan antiradang (sayur berdaun, beri, omega-3) menyokong pemulihan paru-paru.
Jadualkan imbasan susulan.
– Terutama jika anda pernah mengalami radang paru-paru atau gejala berpanjangan selepas Covid-19.
“Anda tidak perlu tunggu gejala menjadi teruk.
“Jika sesuatu terasa berbeza selepas Covid-19 sama ada keletihan, batuk, atau sesak nafas – dengarlah isyarat tubuh anda. Terdapat kaedah selamat dan berkesan untuk bertindak awal,” nasihat Dr Aneez.
Jika anda berumur lebih 50 tahun dan mengalami mana-mana gejala berikut, jangan tangguhkan untuk berbincang dengan doktor atau minta rujukan:
+ Jangkitan dada berulang
+ Batuk berpanjangan lebih lapan minggu
+ Sesak nafas berterusan
+ Keputusan imbasan paru-paru yang tidak normal
+ Sejarah Covid-19 dengan gejala yang belum pulih
Banyak kes mungkin tidak memerlukan pembedahan tetapi penilaian awal dapat memberikan kepastian, pengesanan awal dan ketenangan.
Covid-19 telah mengajar kita bahawa paru-paru wajar diberikan lebih perhatian terutama apabila usia meningkat.
Dengan alat baru seperti pembedahan toraks robotik, pendekatan kami kini lebih selamat, lembut, dan sesuai untuk warga emas.
Dan apabila digabungkan dengan penjagaan berterusan serta tabiat proaktif yang kecil, kesihatan paru-paru boleh dikekalkan sehingga usia senja.
Setiap hembusan nafas adalah kekuatan senyap anda – teguh, suci, dan tidak ternilai.
Peliharalah anugerah itu agar anda terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan ketabahan.
Penulis Perunding Kanan Pakar Bedah Toraks, dengan lebih 20 tahun pengalaman dari International Centre for Thoracic Surgery.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg