Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian AIA: 1 dalam 2 penduduk S’pura rancang bekerja selepas bersara

Sep 19, 2025 | 3:51 PM
persaraan, warga singapura
Kajian mendapati terdapat jurang antara aspirasi persaraan responden dengan kesiapsiagaan mereka, dengan ramai penduduk Singapura yang tidak cukup bersedia untuk fasa itu. - Foto fail

Kebanyakan penduduk Singapura merancang untuk bekerja selepas bersara, namun kurang daripada satu pertiga daripada mereka menyatakan sebab kewangan sebagai motivasi utama, menurut kajian oleh syarikat insurans AIA.

Daripada 55 peratus responden yang mengatakan mereka merancang untuk terus bekerja selepas persaraan, hanya 28 peratus melakukannya atas alasan kewangan semata-mata, menurut kajian AIA Live Better Edisi kelapan yang dijalankan pada Mei.

Mencari tujuan hidup dinyatakan sebagai motivasi oleh 27 peratus responden, manakala 26 peratus daripada mereka pula berkata mereka ingin bekerja selepas bersara untuk mengelakkan kebosanan dan 18 peratus menyebut keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru, lapor The Business Times (BT).

Kajian itu menunjukkan perubahan daripada pandangan tradisional tentang persaraan sebagai ‘tempoh rehat’ kepada satu fasa yang lebih aktif, dengan tumpuan pada sumbangan dan penglibatan bermakna.

Namun, kajian tersebut mendapati terdapat jurang antara aspirasi penduduk Singapura mengenai persaraan dengan kesediaan mereka untuk menghadapinya, dengan ramai yang tidak cukup bersedia untuk fasa kehidupan itu.

Kajian berkenaan juga mendapati kurang daripada separuh responden yang optimis mengenai pencapaian gaya hidup yang diingini, dan 53 peratus tidak pasti tentang mencapai matlamat persaraan mereka, kata AIA.

Kajian itu mengenal pasti tiga aspek utama untuk persaraan – kesiapsiagaan kewangan, kesihatan fizikal, dan kesejahteraan sosial. 

Ia mendapati bahawa kesejahteraan sosial sering diabaikan walaupun sangat penting.

Persaraan yang bahagia sangat berkait rapat dengan masa yang dihabiskan bersama keluarga dan rakan-rakan. 

Namun, hanya 37 peratus responden yang mempertimbangkan kesejahteraan sosial sebagai faktor penting untuk persaraan dan sedang mengambil langkah untuk mempersiapkannya, menurut AIA.

Dalam pada itu, status perkahwinan mempengaruhi pandangan terhadap persaraan, dengan 53 peratus yang berkahwin mempunyai pandangan positif berbanding 36 peratus yang bujang, menunjukkan sokongan keluarga memainkan peranan penting.

Kebimbangan kewangan berkaitan persaraan kekal sebagai isu utama bagi penduduk Singapura.

Hanya separuh daripada mereka yang mengaku berada dalam keadaan kewangan yang stabil. 

Mereka yang berusia 40-an tahun pula paling negatif terhadap persaraan, dengan 29 peratus mempunyai pandangan pesimis, menurut kajian itu.

Kira-kira enam dalam 10 (62 peratus) responden berkata kos sara hidup adalah kebimbangan utama, dan 54 peratus menyebut perbelanjaan penjagaan kesihatan; 42 peratus pula menyatakan kekurangan simpanan untuk mencapai gaya hidup ideal mereka sebagai kebimbangan kewangan.

Kesihatan fizikal dianggap faktor utama untuk persaraan bahagia oleh 46 peratus responden, namun 40 peratus menjangkakan perlu menguruskan masalah kesihatan, terutamanya golongan 50 hingga 64 tahun, di mana 45 peratus menjangkakan masalah kesihatan.

Sebagai kesimpulan, kajian itu mendapati bahawa walaupun kebanyakan penduduk Singapura telah mula merancang persaraan, ramai yang masih belum bersedia dalam beberapa aspek penting. 

Sebagai contoh, 20 peratus tidak mempertimbangkan kemungkinan untuk hidup bersendirian tanpa pasangan atau anak. 

Selain itu, 17 peratus tidak memikirkan tentang penjagaan jangka panjang, dan 14 peratus tidak mempertimbangkan perlindungan insurans persaraan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg