Kejayaan bagi masyarakat Melayu/Islam tidak hanya berlandaskan laluan akademik semata-mata.

Sebaliknya, ibu bapa Melayu/Islam di sini memberi penekanan terhadap kestabilan kewangan, kerjaya bermakna dan pelajaran sepanjang hayat berbanding pendidikan universiti sahaja, menurut dapatan Kajian Motivasi Ibu Bapa Terhadap Pendidikan, yang dijalankan Yayasan Mendaki.

Sungguhpun demikian, kajian itu mendapati 28 peratus daripada 1,010 ibu bapa Melayu/Islam yang ditinjau menetapkan pendidikan universiti sebagai sasaran minimum bagi anak-anak mereka.

Membentangkan dapatan kajian itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, pula berkata lebih dua perlima daripada golongan ini dikenal pasti sebagai jenis ibu bapa yang mementingkan laluan lebih terjamin, atau safety stewards.

Golongan ibu bapa ini lebih cenderung bersikap berhati-hati dan merasakan tanggungjawab mendalam terhadap keluarga mereka.

Berkongsi hasil kajian sempena edisi ke-10 Simposium Mendaki di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 9 Julai, beliau berkata:

“Sesetengah ibu bapa didorong oleh potensi pendapatan pada masa depan. Ada mengutamakan kestabilan dan keselamatan kewangan.

“Ada yang terbuka kepada pelbagai laluan untuk menuju kejayaan, sementara ada yang percaya kepada semangat pembelajaran sepanjang hayat.

“Namun ini tidak bermakna satu kategori adalah lebih baik daripada yang lain. Ia mencerminkan pengalaman, keutamaan dan cara berbeza untuk mengharungi ketidakpastian.”

Dalam satu kenyataan pada 9 Julai, Mendaki menyatakan selain ibu bapa Melayu/Islam, kajian itu turut meninjau 410 ibu bapa bukan Melayu/Islam di sini antara 20 Mac dengan 30 April.

Ia mengenal pasti lima jenis ibu bapa – setiap satu dengan motivasi dan dorongan berbeza – bagi keluarga Melayu/Islam di sini.

Selain safety stewards, jenis ibu bapa lain termasuk upward movers, atau ibu bapa yang mementingkan potensi pendapatan, dan stability seekers, atau mereka yang mengutamakan kestabilan kewangan.

Ini selain flexible achievers, atau golongan yang melihat pelbagai laluan kejayaan; dan lifelong learners, iaitu ibu bapa yang mementingkan peningkatan kemahiran sepanjang hayat.

Badan itu juga akan berkongsi dapatan kajian dengan rakan kongsi strategik supaya “usaha membangunkan masyarakat dapat dilakukan secara lebih menyeluruh dan berkesan”, tambahnya.

Sementara itu, kajian berasingan Mendaki mendapati 87 peratus, atau hampir 9 daripada 10 pekerja Melayu/Islam di sini celik penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Kajian ini meninjau 615 pekerja Melayu/Islam dan 518 pekerja bukan Melayu/Islam dari 29 April hingga 18 Jun.

Responden diuji pengetahuan mereka tentang konsep, penggunaan dan risiko AI.

Hasil dapatan menunjukkan bahawa walaupun ramai pekerja bersedia untuk menerima pakai AI di tempat kerja, sesetengah golongan mungkin memerlukan lebih banyak sokongan.

Salah satu golongan itu adalah juruteknik dan karyawan bersekutu Melayu/Islam, seperti pekerja dalam peranan teknikal dan peranan sokongan khusus.

Menurut hasil kajian itu, golongan ini merasakan mereka mempunyai risiko paling tinggi untuk diganti pekerjaan dek AI, tetapi mencatatkan tahap celik penggunaan AI dan keinginan untuk pelajari AI yang paling rendah.

Simposium itu sebahagian daripada acara Raikan Ilmu anjuran Mendaki yang berlangsung dari Jun hingga Oktober – kali pertama ia dilakukan selama tiga bulan berbanding hanya sebulan sebelum ini sejak ia diperkenalkan pada 2002.