Topik diikuti
Pergi ke BHkuBadan amal makanan di S’pura hadapi masalah penyimpanan dan tenaga kerja
Badan amal makanan di S’pura hadapi masalah penyimpanan dan tenaga kerja
Kajian bagi pihak The Food Bank S’pore dapati cabaran sulitkan jangkauan, beri kesan kepada agihan makanan
Badan amal makanan di S’pura hadapi masalah penyimpanan dan tenaga kerja
Singapura mungkin tidak berdepan masalah kekurangan sumbangan makanan.
Namun, isu lebih besar yang mencabar badan amal makanan dan kumpulan masyarakat yang membantu golongan memerlukan setempat adalah kekangan praktikal.
Pengangkutan, ruang penyimpanan, tenaga kerja dan pendanaan merupakan antara isu yang paling menjejas operasi mereka.
Demikian menurut dapatan kajian terkini yang diterbitkan pada 15 Mei mengenai sokongan makanan tempatan.
Cabaran ini mewujudkan kesukaran serta mengehadkan jangkauan dan keberkesanan pengagihan makanan.
Penyelidik mengenal pasti 146 pertubuhan tempatan yang mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan dan pihak lain, meskipun tidak semuanya aktif menjalankan kerja tersebut.
Kajian itu dijalankan bagi pihak The Food Bank Singapore dan diterajui penyelidik daripada Institut Pengajian Dasar (IPS).
Sebanyak 52 badan amal dan kumpulan makanan ditinjau secara dalam talian, manakala 26 lagi ditemu bual secara mendalam dari April hingga November 2025.
Kajian itu merupakan edisi ketiga Hunger Report (Laporan Kelaparan), yang menekankan kepentingan mengenal pasti isi rumah yang memerlukan dengan lebih tepat, serta keperluan kerjasama lebih erat antara pelbagai pihak dalam menangani isu keselamatan makanan dengan lebih berkesan.
Dua edisi laporan tersebut sebelum ini memberi tumpuan kepada penerima bantuan makanan.
Bagi menangani jurang yang ditemui, kajian tersebut mengemukakan tiga cadangan utama.
Ini termasuk memperkenalkan alat saringan untuk mengenal pasti dan menilai tahap keperluan isi rumah, menyediakan kemudahan bersama seperti gudang berpusat bagi mengurangkan kos operasi dan menjalankan projek rintis di peringkat bandar untuk menguji idea berkenaan.
“Terdapat kemurahan hati yang tinggi dalam masyarakat... tetapi penyelarasan masih kurang,” kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, semasa pelancaran laporan tersebut yang diadakan di Kampus EHL (Singapura) di Lady Hill Road, berhampiran Orchard Road.
Acara tersebut dihadiri oleh rakan kongsi Food Bank, termasuk wakil daripada pertubuhan bukan untung lain dan penderma korporat.
Encik Chua turut menarik perhatian bahawa isi rumah yang mengalami masalah keselamatan makanan sering kali berdepan kesukaran lain, termasuk pengangguran atau isu kesihatan mental.
Dalam proses menyalurkan bantuan makanan, isi rumah ini boleh dihubungkan dengan pelbagai bentuk sokongan sosial lain, katanya.
Isu pengangkutan merupakan masalah yang paling kerap dihadapi, seperti ketiadaan kenderaan sendiri yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada sukarelawan dan pemandu platform.
Sementara itu, keupayaan penyimpanan pula memberi kesan paling besar terhadap operasi.
Ini termasuk kekangan ruang dan kekurangan kemudahan penyimpanan yang sesuai, seperti tempat simpanan sejuk bagi hasil segar dan produk sejuk beku.
Cabaran itu diburukkan lagi oleh faktor iklim tropika Singapura.
Penyedia bantuan juga terpaksa menolak bekalan makanan apabila keupayaan simpanan mereka mencapai had maksimum.
Selain itu, mereka turut berdepan masalah kekurangan tenaga kerja, dengan sekitar dua pertiga daripada pertubuhan tersebut melaporkan mempunyai kurang daripada 10 kakitangan.
Kebanyakan mereka bergantung kepada kumpulan sukarelawan yang semakin mengecil bagi menyokong gerak kerja pengagihan makanan yang memerlukan tenaga kerja yang ramai, termasuk bagi aspek pengangkutan, penghantaran serta tugas pentadbiran.
Pengalaman itu turut dikongsi oleh badan amal makanan lain.
Pengasas Fridge Restock Community, Encik Daniel Yap, berkata badan amalnya beroperasi mengikut model ‘kutip hari ini, agih hari ini’, yang menjadikan pengangkutan andal sebagai unsur penting dalam operasi menyelamatkan makanan mingguan mereka.
Pertubuhan itu tidak mengendalikan kemudahan penyimpanan bagi mengelakkan bebanan kewangan.
Pengasas bersama Food Rescue Sengkang, Cik Janet Lee, turut membangkitkan isu keupayaan penyimpanan sejuk yang terhad, peningkatan kos pengangkutan, serta cabaran berterusan untuk mendapatkan sukarelawan.
Kajian itu mendapati makanan kering merupakan barangan paling kerap diagih, dengan penyedia bantuan mengutamakan usaha menangani masalah keselamatan makanan berbanding pertimbangan lain seperti nilai khasiat.
Semasa sesi perbincangan panel di acara berkenaan, Encik Chua menegaskan kepentingan memahami pelbagai keperluan di lapangan.
Anggota panel lain terdiri daripada penaja bersama bagi tanggungjawab sosial korporat Micron Singapore, Encik Chan Peng Guan, dan pengarah yang juga pengasas bersama Optimo Foods, Cik Wee Su-Lyn.
Sesi panel tersebut dikendalikan oleh pengarah lembaga The Food Bank Singapore, Cik Cindy Tan.
