Golongan dewasa muda yang pernah dihukum secara fizikal ketika zaman kanak-kanak berkata mereka lebih cenderung memukul anak mereka kelak.
Ini berbanding dengan mereka yang tidak pernah dikenakan hukuman sedemikian.
Tindakan itu merupakan salah satu penemuan utama dalam kajian terkini yang diketuai seorang profesor psikologi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), yang menerangkan bagaimana hukuman dera boleh diwarisi antara generasi.
Penemuan itu sangat relevan di Singapura, kerana ia masih biasa dilakukan.
Sebagai contoh, 88 peratus responden kajian berkata mereka pernah dipukul sekurang-kurangnya sekali oleh ibu bapa mereka semasa kecil, lapor The Straits Times (ST).
Sementara itu, 79 peratus dibesarkan dalam rumah yang mempunyai rotan.
Bentuk disiplin yang paling lazim adalah rotan atau dipukul dengan tangan oleh ibu bapa.
Sekitar 450 mahasiswa berusia antara 18 dengan 29 tahun di Singapura telah mengambil bahagian dalam kajian tersebut.
Profesor Madya Setoh Pei Pei, yang mengetuai kajian itu, berkata:
“Memukul anak dengan rotan adalah perkara biasa di Singapura, berbanding negara lain.
“Ia adalah sesuatu yang kita alami sewaktu dibesarkan dan dianggap sebagai perkara biasa.
“Norma ini begitu kuat sehingga kita tidak benar-benar mempertikaikan atau merenungnya: Adakah ini caranya?
“Kita harus mengambil peluang ini untuk menilai semula pendekatan kita terhadap disiplin.
“(Disiplin) bukan sebagai alat untuk menghukum atau mengawal, tetapi untuk membimbing dan mengajar, serta membantu anak mempelajari kemahiran yang mereka perlukan untuk membuat keputusan yang baik sendiri.”
Kajian itu turut mendapati kanak-kanak yang didisiplinkan secara keras – termasuk dipukul dengan rotan, ditendang atau ditampar muka – dan mengalami ancaman, jeritan dan bentuk agresif psikologi lain, lebih cenderung menjadi agresif dan mengalami masalah kesihatan mental.
Ini kerana hukuman yang terlalu keras boleh merenggangkan hubungan ibu bapa dan anak, menyebabkan anak rasa tidak difahami atau keseorangan secara emosi, ujar Profesor Setoh.
Sebaliknya, kajian mendapati bentuk disiplin ringan seperti pukulan di tapak tangan atau punggung tidak dikaitkan dengan masalah tingkah laku jangka panjang.
Penemuan kajian itu diterbitkan dalam jurnal, Acta Psychologica, pada 3 Jun dan Child Protection and Practice pada 7 Mac.
Pengarang bersama kajian tersebut ialah Dr Henning Tiemeier, profesor dari Sekolah Kesihatan Awam Harvard T.H. Chan; Dr Yena Kyeong dari Universiti Normal Nasional Taiwan; Dr Mioko Sudo dari Universiti Kristian Antarabangsa; dan Cik Won Ying Qing, calon Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Melbourne.
Penemuan kajian termasuk:
– Sebanyak 63 peratus yang dihukum secara fizikal mengalami kecederaan seperti kulit menjadi merah, lebam dan luka.
– Sebanyak 89 peratus mengingati ketika ibu bapa mereka hilang kawalan emosi semasa menghukum, dengan 80 peratus berkata ibu bapa mereka kadangkala berasa bersalah selepas memukul.
– Sebanyak 54 peratus berkata hukuman itu menyakitkan dan ia “agak teruk” atau “amat teruk”.
– Sebanyak 96 peratus berhenti menerima hukuman fizikal antara umur 15 dengan 17 tahun.
– Dalam kalangan yang pernah dihukum secara fizikal semasa kecil, 59 peratus berkata mereka mungkin akan mendisiplinkan anak mereka dengan cara yang sama.
Ini berbanding hanya 26 peratus yang menyatakan mereka mungkin akan memukul anak mereka kelak, jika mereka sendiri tidak pernah didisiplinkan secara fizikal semasa zaman kanak-kanak.
– Sebanyak 71 peratus tidak berasa bahawa hukuman fizikal patut diharamkan di Singapura.
Tiada undang-undang di Singapura yang melarang ibu bapa daripada mendisiplinkan anak mereka secara fizikal.
Profesor Setoh berkata beliau terkejut ramai golongan muda yang dibesarkan dengan disiplin secara fizikal menyatakan hasrat untuk meneruskan amalan tersebut sebagai ibu bapa.
Kajian itu mewakili rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi dan menunjukkan sikap mereka terhadap hukuman fizikal.
Beliau turut menambah bahawa penyelidikan terdahulu, termasuk kajian yang pernah disertainya, secara tekal menunjukkan kadar yang tinggi dalam kalangan ibu bapa Singapura yang menggunakan hukuman fizikal.
Beliau turut menarik perhatian bahawa lebih 100 kajian serta berpuluh-puluh analisis meta yang dijalankan oleh penyelidik di seluruh dunia menunjukkan bahawa hukuman fizikal sebenarnya lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan dalam jangka panjang.
Analisis meta merupakan kaedah yang menggabungkan dapatan daripada pelbagai kajian untuk menghasilkan satu kesimpulan yang lebih kukuh dan menyeluruh.
“Tiada kajian bermutu tinggi yang menunjukkan kesan positif jangka panjang terhadap kanak-kanak yang mengalami hukuman fizikal oleh ibu bapa mereka,” katanya.
“Satu-satunya manfaat jangka pendek yang pernah dirakamkan hanyalah kepatuhan serta-merta, namun kesannya bersifat sementara dan jauh lebih kecil berbanding kesan negatif yang berterusan dan konsisten – seperti masalah tingkah laku, harga diri yang rendah, keretakan hubungan ibu bapa-anak, serta kesihatan mental yang terjejas.”
“
“Norma ini (memukul anak) begitu kuat sehingga kita tidak benar-benar mempertikaikan atau merenungnya: Adakah ini caranya? Kita harus mengambil peluang ini untuk menilai semula pendekatan kita terhadap disiplin.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg