Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP lancar kumpulan bantu rakyat tangani cabaran kesihatan mental

Kumpulan Kesihatan Mental satukan kumpulan masyarakat, sukarelawan supaya dapat sumbang usaha mereka
Oct 5, 2024 | 7:16 PM
Penolong Setiausaha Agung PAP, Encik Chan Chun Sing (belakang, tengah) bersama Jawatankuasa Pemandu Kumpulan Kesihatan Mental PAP, Dr Janil Puthucheary (depan, dua dari kanan); Dr Wan Rizal Wan Zakariah (belakang, tiga dari kiri); Cik Rachel Ong, (belakang, tiga dari kanan); Encik Melvin Yong (depan, kiri); Cik Tin Pei Ling (belakang, kanan); Encik Xie Yao Quan (depan, kanan); dan Encik Yip Hon Weng (belakang, dua dari kiri). Turut bersama ialah Pengerusi SMC Marymount, Cik Gan Siow Huang (belakang, kiri); Pengerusi Cawangan Bukit Batok East GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam (belakang, dua dari kanan); dan Pengerusi Cawangan Moulmein-Cairnhill GRC Tanjong Pagar, Encik Alvin Tan (depan; dua dari kiri).
Penolong Setiausaha Agung PAP, Encik Chan Chun Sing (belakang, tengah) bersama Jawatankuasa Pemandu Kumpulan Kesihatan Mental PAP, Dr Janil Puthucheary (depan, dua dari kanan); Dr Wan Rizal Wan Zakariah (belakang, tiga dari kiri); Cik Rachel Ong, (belakang, tiga dari kanan); Encik Melvin Yong (depan, kiri); Cik Tin Pei Ling (belakang, kanan); Encik Xie Yao Quan (depan, kanan); dan Encik Yip Hon Weng (belakang, dua dari kiri). Turut bersama ialah Pengerusi SMC Marymount, Cik Gan Siow Huang (belakang, kiri); Pengerusi Cawangan Bukit Batok East GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam (belakang, dua dari kanan); dan Pengerusi Cawangan Moulmein-Cairnhill GRC Tanjong Pagar, Encik Alvin Tan (depan; dua dari kiri). - Foto ST

Kumpulan Kesihatan Mental baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dilancarkan pada 5 Oktober bertujuan mendorong sokongan kesihatan mental lebih luas untuk rakyat Singapura.

Antara matlamat kumpulan ini termasuk membantu rakyat Singapura memahami dengan lebih baik isu dan cabaran kesihatan mental menerusi wadah perkongsian dan perbincangan.

Demikian didedahkan Menteri Pendidikan, yang juga Penolong Setiausaha Agung PAP, Encik Chan Chun Sing, semasa pelancaran kumpulan itu di ibu pejabat PAP di New Upper Changi Road.

Kata Encik Chan: “Saya harap kumpulan ini juga dapat meyakinkan golongan yang menghadapi cabaran kesihatan mental untuk mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian.

“Terdapat bantuan (untuk kesihatan mental) di seluruh masyarakat kita... bantuan itu mungkin tidak 100 peratus menyeluruh, tetapi akan sentiasa terdapat sumber yang tersedia.”

Kumpulan Kesihatan Mental PAP ditubuhkan setelah orang ramai menyeru untuk meningkatkan sokongan kesihatan mental susulan tinjauan kesihatan mental 2022 oleh PAP Muda dan gerakan #BetterTogether (lebih baik bersama).

Kumpulan Kesihatan Mental PAP terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai 10 Anggota Parlimen (AP).

Mereka terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, dan Cik Rachel Ong selaku pengerusi bersama; serta ahli kumpulan, Encik Edward Chia, Cik Mariam Jaafar, Encik Melvin Yong, Dr Tan Wu Meng, Cik Tin Pei Ling, Encik Xie Yao Quan, dan Encik Yip Hon Weng.

Menjelaskan bagaimana Kumpulan Kesihatan Mental PAP berbeza daripada inisiatif penjagaan kesihatan mental lain, Dr Janil berkata kumpulan itu berfungsi untuk menyatukan kumpulan masyarakat dan sukarelawan supaya mereka boleh menyumbang usaha mereka.

“Kami menstrukturkan kumpulan ini supaya parti ini boleh mengambil tindakan kolektif untuk mencapai matlamat tertentu, tetapi juga untuk membenarkan golongan yang bukan anggota parti untuk sama ada memanfaatkan apa yang telah dilakukan oleh parti atau menyumbang usaha mereka sendiri, dan menyelaraskan usaha mereka dengan usaha kami,” jelasnya.

Selain kumpulan itu, satu panel penasihat telah dilancarkan untuk memberi nasihat teknikal dan profesional.

Ia terdiri daripada lapan profesional yang bekerja di bidang penjagaan kesihatan mental.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Khoo Teck Puat & Yishun Health, Dr Chua Hong Choon; CEO Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Daniel Fung; CEO Touch Community Services, Encik James Tan; Presiden Persatuan Psikiatri Singapura, Dr Jerome Goh Hern Yee; Presiden Persatuan Kesihatan Mental Singapura, Dr Lee Cheng; Pakar Psikologi Klinikal dan Pengarah Pendidikan (Psikologi), Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Pearlene Ng; Pengarah Eksekutif Rainbow Centre, Cik Tan Sze Wee; dan Pakar Psikologi Klinikal Viriya Community Services, Dr Timothy Singham.

Dr Janil menambah bahawa panel itu boleh menasihati Kumpulan Kesihatan Mental PAP sama ada ia adalah baik untuk mengubah sesuatu dasar atau menubuhkan program perintis.

Dr Wan Rizal berkata: “Kami harap dapat menjadikan panel itu penasihat kami, di mana kami boleh mendapatkan maklumat benar tentang kesihatan mental dan bagaimana kami boleh menggunakan maklumat itu untuk masyarakat Melayu/Islam di Singapura.”

Selain daripada panel tersebut, Kumpulan Kesihatan Mental PAP akan menubuhkan satu lagi kumpulan untuk mereka yang bukan anggota PAP untuk menyumbang, bukan dari segi kepakaran teknikal mereka, tetapi berdasarkan sumbangan mereka sebagai sukarelawan.

Dr Wan Rizal turut berkongsi bahawa lebih banyak pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat mengenai bagaimana kumpulan itu akan menangani topik sensitif seperti kesihatan mental dari perspektif agama, dan bagaimana ia merancang untuk bekerjasama dengan pertubuhan Melayu/Islam bagi menangani masalah kesihatan mental.

Pengumuman itu akan dibuat pada 10 Oktober semasa satu acara di mana Kumpulan Kesihatan Mental PAP akan bekerjasama dengan kumpulan masyarakat untuk memacu tindakan kolektif bagi memajukan kesihatan mental di Singapura.

Setakat ini, hanya belia umur 21 tahun ke atas boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental. Sesetengah penyedia kesihatan mental memerlukan belia berumur bawah 18 tahun untuk mendapatkan kebenaran ibu bapa.

Cik Ong berkata: “Tetapi jika anak muda kita dianggap cukup bertanggungjawab untuk menggalas senjata semasa Perkhidmatan Negara (NS) dan memandu pada usia 18 tahun, mereka pastinya tidak harus dilarang daripada mengakses perkhidmatan kesihatan mental dan menjaga kesejahteraan mereka.”

Beliau juga memetik tinjauan yang dilakukan oleh NUS pada 2023 yang mendedahkan belia berusia 14 hingga 16 tahun mengalami beberapa gejala kemurungan dan kebimbangan paling teruk.

“Sokongan kesihatan mental mesti disediakan untuk remaja yang lebih muda juga,” tambah Cik Ong.

Beliau turut menekankan peri penting untuk profesional yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dikawal dengan betul. Pada masa ini, hanya pakar psikiatri dikawal di bawah Majlis Perubatan Singapura (SMC).

“Ini meninggalkan jurang di mana kaunselor, ahli terapi dan ahli psikologi tidak dikawal, dan merekalah yang sering berhubung dengan golongan yang terdedah.

“Kami memerlukan rangka kerja teguh yang memastikan hanya profesional bertauliah dan berlesen boleh menawarkan perkhidmatan kesihatan mental,” jelas Cik Ong.

“Saya harap kumpulan ini juga dapat meyakinkan golongan yang menghadapi cabaran kesihatan mental untuk mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian. Terdapat bantuan (untuk kesihatan mental) di seluruh masyarakat kita... bantuan itu mungkin tidak 100 peratus menyeluruh, tetapi akan sentiasa terdapat sumber yang tersedia.”
 Menteri Pendidikan, yang juga Penolong Setiausaha Agung PAP, Encik Chan Chun Sing.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg