Lebih satu perempat atau 27.8 peratus rakyat Singapura membuat keputusan mengenai parti politik dan calon pilihan mereka hanya pada Hari Bertenang atau pada Hari Mengundi semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang diadakan pada Mei lalu, menurut dapatan satu tinjauan yang dijalankan Institut Pengajian Dasar (IPS).
Sementara itu, sekitar 35.9 peratus responden tinjauan pula menyatakan bahawa mereka telah pun membuat keputusan mengenai parti politik dan calon yang akan dipilih sebelum Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diumumkan secara rasmi.
Sekitar 36.3 peratus responden pula menyatakan keputusan mereka dibuat dalam waktu setelah Parlimen dibubarkan dan semasa tempoh berkempen selama sembilan hari selepas Hari Penamaan Calon.
Tinjauan tersebut, yang mengkaji hasil GE2025 dan tahap kepuasan rakyat terhadap tadbir urus pemerintah, telah dijalankan dari 8 Mei hingga 30 Jun dan melibatkan sekitar 2,872 rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas.
Mengulas tentang dapatan itu, zamil penyelidik utama dan ketua Social Lab IPS, Dr Mathew Mathews, dalam membentangkan dapatan tinjauan itu dalam satu taklimat media pada 1 September di Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) Kent Ridge Guild House, berkata:
“Kami memerhatikan bahawa responden lebih lanjut usia dan mereka yang lebih berada dari segi pendapatan peribadi lebih kemungkinan telah membuat keputusan mereka tentang parti manakah dan siapa yang ingin dipilih sebelum Parlimen dibubarkan.
“Kami juga mendapati bahawa mereka dengan tahap pendidikan lebih rendah lebih kemungkinan membuat keputusan hanya pada Hari Bertenang atau Hari Mengundi, manakala mereka dengan pendapatan peribadi tertinggi kurang kemungkinan melakukan demikian.”
Tinjauan itu, antara lain, telah meneliti tingkah laku undian demografi rentas usia, jantina, tahap sosioekonomi dan pendidikan, dengan responden ditanya mengenai parti manakah yang diundi mereka dalam GE2025.
Hasil dapatan, selepas penyesuaian dibuat demi memastikan sampel data mewakili populasi Singapura yang lebih luas, menunjukkan 67.2 peratus responden memilih Parti Tindakan Rakyat (PAP) – tidak jauh dari keputusan sebenar GE2025, iaitu mandat 65.6 peratus yang diterima parti pemerintah itu.
Sementara itu, 14.3 peratus menyatakan mereka memilih Parti Pekerja (WP), hampir sama dengan keputusan sebenar GE2025 sebanyak 15 peratus.
Sekitar 18.4 peratus responden pula menyatakan mereka memilih parti pembangkang yang lain, juga serupa dengan keputusan sebenar GE2025 sebanyak 19.4 peratus.
Dr Mathews bagaimanapun berkata ia harus diperhatikan bahawa 41.5 peratus daripada semua responden enggan menjawab soalan tersebut, dan oleh itu, tafsiran dapatan tersebut yang mengaitkan undian yang dilaporkan dengan demografi atau pembolehubah (variable) lain harus dilakukan secara berhati-hati.
Tinjauan tersebut turut berkongsi profil pengundi yang mengundi parti politik tertentu.
Misalnya, PAP menerima sokongan kuat daripada pengundi lebih berusia, dengan sekitar tujuh daripada 10 penyokongnya berusia antara 51 dengan 65 tahun, dan lapan daripada 10 penyokongnya berusia 65 tahun ke atas.
Trend turut menunjukkan penyokong PAP lebih kepada mereka yang tinggal di rumah awam atau privet yang lebih besar.
Tujuh daripada 10 penghuni rumah privet dilaporkan mengundi PAP, manakala sekitar enam daripada 10 penghuni flat satu hingga tiga bilik melakukan yang sama.
Dari segi tahap pendidikan pula, tinjauan mendapati lebih tujuh daripada 10 responden dengan kelayakan sekolah menengah dan lebih rendah telah mengundi PAP – lebih tinggi berbanding mandat 65.6 peratus yang diterima parti pemerintah itu.
Sementara itu, lebih enam daripada 10 responden yang berpendidikan tinggi menyatakan mereka telah mengundi PAP.
Bagi WP, tinjauan menunjukkan bahawa responden yang mengundi parti pembangkang itu adalah konsisten dari segi kumpulan usia, jenis perumahan dan tahap pendidikan.
Ditanya mengenai sebab di sebalik keputusan undian mereka, sekitar 56.7 peratus responden berkata ia kerana calon yang diketengahkan memiliki ciri-ciri yang sesuai bagi mereka menjadi Anggota Parlimen (AP).
Antara sebab lain termasuk reputasi dan jenama parti yang baik (38.7 peratus), dan parti politik akan menjaga isu-isu Majlis Bandaran dengan baik (31.6 peratus).
Tinjauan itu turut berkongsi dapatan tentang tahap kepuasan responden terhadap tadbir urus pemerintah dalam 28 isu seperti kos sara hidup, jaminan pekerjaan dan pendidikan.
Dapatan menunjukkan responden paling kurang puas hati dengan prestasi pemerintah dalam isu kos sara hidup, gaji menteri, kemampuan memiliki rumah, merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin, dan meningkatkan kadar kelahiran.
Sebaliknya, mereka paling berpuas hati dengan isu pertahanan dan keselamatan negara, undang-undang dan perintah, pengurusan krisis, pendidikan dan hubungan antara kaum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg