Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian IPS: Kos sara hidup isu paling utama bagi rakyat S’pura semasa GE2025

Sep 2, 2025 | 5:00 PM
Singapura, kajian, IPS, GE2025, kos sara hidup, pemerintah
Sekitar 74 peratus rakyat Singapura menyatakan kos sara hidup merupakan satu isu pilihan raya yang “amat penting” dalam GE2025 – yang tertinggi pernah dirakam jika dibandingkan dengan pilihan raya masa lalu, menurut satu tinjauan pascapilihan raya yang dijalankan Institut Pengajian Dasar (IPS). - Foto ZAOBAO

Kos sara hidup merupakan keprihatinan paling utama apabila rakyat Singapura keluar mengundi semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada Mei lalu, dengan 74 peratus daripada mereka menyatakan ia satu isu pilihan raya yang “amat penting”.

Ia yang tertinggi pernah dirakam, menurut satu tinjauan pascapilihan raya yang dijalankan Institut Pengajian Dasar (IPS).

Keprihatinan bagi isu kos sara hidup telah meningkat besar jika dibandingkan dengan pilihan raya yang lalu – 47 peratus pada 2020, 38 peratus pada 2015, 43 peratus pada 2011 dan 36 peratus pada 2006.

Selain kos sara hidup, tiga isu keprihatinan paling utama yang lain bagi rakyat Singapura dalam GE2025 adalah keperluan bagi sebuah pemerintah yang baik dan cekap, rumah yang mampu dimiliki rakyat dan keadilan dalam dasar pemerintah.

Khusus bagi masyarakat Melayu, jumlah bantuan pemerintah bagi golongan yang memerlukan dan ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan juga dilihat sebagai isu-isu keprihatinan yang lebih penting kepada mereka.

Membentangkan dapatan tinjauan tersebut dalam satu taklimat media pada 1 September di Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) Kent Ridge Guild House, zamil penyelidik kanan IPS, Dr Gillian Koh, berkata keprihatinan lebih besar dalam isu kos sara hidup itu mencerminkan tumpuan lebih tinggi pada kebimbangan materialis yang lain.

Ini seperti situasi pekerjaan yang mana 39 peratus responden menyatakan ia isu “amat penting” dalam GE2025 berbanding 28 peratus pada 2020; kemudahan di estet kejiranan (41 peratus pada 2025 berbanding 24 peratus pada 2020); dan peningkatan flat dan estet (27 peratus pada 2025 berbanding 13 peratus pada 2020).

“Kesan kelas pertengahan yang liberal dalam GE2025 telah diimbangi oleh kebimbangan yang lebih materialis terhadap kos sara hidup – yang sentiasa penting – tetapi juga isu kemudahan dalam estet kejiranan dan isu mutu tadbir urus yang lain,” kata Dr Koh.

Tinjauan pascapilihan raya itu, yang dijalankan dari 22 Mei hingga 1 Jun, telah dilakukan secara dalam talian dan melibatkan respons daripada 2,056 rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas.

Dari segi demografi, dapatan menunjukkan bahawa kos sara hidup dilihat sebagai isu yang lebih penting bagi golongan pengundi lanjut usia dan mereka yang kembali mengundi.

Sementara itu, isu kedua yang “amat penting” dalam GE2025 adalah keperluan bagi sebuah pemerintah yang baik dan cekap, dengan ia dilihat sebagai lebih penting kepada masyarakat Cina, dan juga mereka yang tinggal di flat lima hingga enam bilik atau flat eksekutif.

Sekitar 69 peratus responden menyatakan bahawa isu tersebut adalah “amat penting” – kadar tertinggi berbanding 60 peratus pada 2020, 58 peratus pada 2015, 54 peratus pada 2011 dan 56 peratus pada 2006.

Dalam pada itu, 61 peratus responden yang ditinjau menyatakan bahawa rumah yang mampu dimiliki – perkara baru yang disertakan dalam tinjauan 2025 – adalah isu pilihan raya yang “amat penting” dalam GE2025, dengan ia satu isu yang dilihat sebagai lebih penting bagi mereka yang tinggal di rumah privet.

Keadilan dalam dasar pemerintah pula merupakan isu keempat yang paling utama, dengan sekitar 57 peratus responden menyatakan ia sebagai isu “amat penting” – juga yang tertinggi pernah dirakam berbanding 46 peratus pada 2020, 39 peratus pada 2015, 36 peratus pada 2011 dan 39 peratus pada 2006.

Isu itu dilihat sebagai lebih penting kepada mereka yang tinggal di rumah privet, pemegang ijazah universiti/profesional, dan golongan eksekutif kanan, karyawan, teknisyen dan penyelia.

Dalam soal jumlah bantuan pemerintah untuk golongan yang memerlukan pula, 46 peratus responden menyatakan bahawa ia isu yang “amat penting”, meningkat daripada 41 peratus pada 2020 dan 40 peratus pada 2015.

Selain masyarakat Melayu, isu ini dilihat sebagai lebih penting oleh golongan lain seperti mereka yang lanjut usia, terutamanya yang berusia 65 tahun dan ke atas, dan golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan.

Sekitar 39 peratus pula menyatakan bahawa ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan adalah isu “amat penting” dalam GE2025, lebih tinggi daripada 33 peratus pada 2020 dan 28 peratus pada 2015.

Menurut tinjauan, golongan yang menganggap isu itu lebih penting termasuk kaum minoriti Melayu dan India, dan penghuni flat empat bilik.

Selain isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat semasa GE2025, tinjauan itu turut berkongsi dapatan lain seperti persepsi responden terhadap ciri-ciri calon pilihan raya yang dianggap penting dan kredibiliti parti politik.

Dapatan dua tinjauan lain – berkenaan tadbir urus pemerintah dan hasil GE2025, serta penggunaan media dalam pilihan raya – turut dibentangkan pada hari yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg