Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keupayaan calon faham nasib rakyat ciri penting bagi masyarakat Melayu

Kajian: Kefasihan bercakap serta kerja kemasyarakatan turut jadi perhatian utama semasa putuskan undi dalam GE2025
Sep 2, 2025 | 5:00 PM
Kajian IPS, calon, GE2025, masyarakat Melayu
Menurut Institut Kajian Dasar (IPS), masyarakat Melayu dan India, khususnya lelaki berusia antara 21 dengan 29 tahun, melihat Parti Pekerja (WP) dan parti pembangkang lain sebagai parti yang lebih berwibawa berbanding masyarakat Cina. - Foto fail

Keupayaan calon bercakap dengan fasih, memahami nasib pengundi serta pengalaman mereka dalam kerja akar umbi dan kemasyarakatan adalah ciri-ciri utama yang menjadi perhatian pengundi Melayu ketika membuat keputusan mengundi semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) baru-baru ini.

Masyarakat Melayu dan India, khususnya lelaki berusia antara 21 dengan 29 tahun, turut melihat Parti Pekerja (WP) dan parti pembangkang lain sebagai parti yang lebih berwibawa berbanding masyarakat Cina.

Demikian sebahagian daripada hasil Kajian Pasca Pilihan Raya Umum 2025 yang dikeluarkan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 2 September, yang memberikan gambaran tentang respons pengundi terhadap perubahan dalam dasar dan persekitaran politik.

Bercakap kepada media pada 1 September, Zamil Penyelidik Kanan IPS, Dr Gillian Koh, berkata kewibawaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan WP juga menyaksikan penurunan pada GE2025 berbanding GE2020.

“Berbanding GE2020, bahagian mereka yang ‘bersetuju’ dan ‘sangat bersetuju’ bahawa PAP berwibawa menurun daripada 86 peratus kepada 69 peratus secara keseluruhan.

“Kadar mereka yang ‘bersetuju’ dan ‘sangat bersetuju’ bahawa WP boleh dipercayai juga merosot daripada 79 peratus kepada 65 peratus secara keseluruhan.

“Tetapi apabila kita melihat pada markah purata (mean score), PAP menyaksikan penurunan daripada 4.1 kepada 3.9 manakala WP kekal stabil pada 3.9 pada GE2025 dan GE2020,” kata Dr Koh.

Selain Dr Koh, pasukan penyelidik kajian tersebut juga termasuk Zamil Penyelidik Kanan, Dr Teo Kay Key; Zamil Penyelidik Utama Adjung, Dr Tan Ern Ser; dan penolong penyelidik, Encik Cheow Jin Jie daripada IPS.

Tinjauan tersebut ditujukan kepada sampel rambang lebih daripada 2,000 responden yang layak mengundi, dan dilakukan dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil dalam talian.

Data yang dirakam juga disemak berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan (DOS) untuk memastikan keputusan mencerminkan trend penduduk semasa Singapura berdasarkan jantina, umur, etnik dan perumahan.

Ketika responden ditanya apakah ciri-ciri calon yang dianggap ‘sangat penting’ kepada mereka, kejujuran, keadilan, rajin/komited dan kecekapan calon dilihat sebagai empat ciri teratas.

Ciri-ciri seperti kejujuran, kecekapan, pengalaman dalam kerja akar umbi dan masyarakat, dan kelayakan menunjukkan peningkatan terbesar dalam nisbah responden yang mengatakan ‘sangat penting’ berbanding GE2020.

Responden Melayu lebih menumpukan perhatian kepada ciri-ciri seperti kebolehan calon untuk memahami nasib pengundi, keupayaan untuk bercakap dengan fasih, dan pengalaman mereka dalam kerja akar umbi dan kerja kemasyarakatan.

Dalam kajian itu, 90 peratus responden menganggap keupayaan calon memahami pengundi sebagai ‘sangat penting’ dan ‘penting’.

Ciri itu lebih diutamakan oleh orang Melayu, pemegang ijazah universiti / karyawan, mereka yang tinggal di rumah privet, dan warganegara yang dilahirkan di Singapura.

Sebanyak 70 peratus responden juga menganggap keupayaan calon bercakap dengan fasih sebagai ‘sangat penting’ dan ‘penting’.

Sifat itu lebih penting kepada orang Melayu dan India, daripada golongan gaji atas pertengahan dan mereka yang tinggal di rumah privet.

Sebanyak 73 peratus responden juga menganggap pengalaman dalam kerja akar umbi dan kemasyarakatan sebagai ‘sangat penting’ dan ‘penting’.

Sifat itu juga lebih penting kepada orang Melayu dan responden yang lahir sebelum 1965, terutama mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas.

Mengenai kewibawaan parti politik, PAP menerima penarafan lebih tinggi daripada responden berusia 65 tahun dan ke atas, manakala WP mendapat penarafan lebih tinggi daripada kaum lelaki dan responden Melayu dan India.

Parti Demokratik Singapura (SDP), yang menyaksikan markah puratanya meningkat lebih tinggi daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP) berbanding GE2020, turut menerima penarafan lebih tinggi daripada responden Melayu dan India.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg