Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian: Kelaziman tabiat rokok wanita S’pura antara tertinggi di Asean

Jurnal perubatan ‘The Lancet Study’ dapati lebih 6 peratus perempuan 15 tahun ke atas merokok
Aug 25, 2025 | 6:19 PM
tabiat merokok, kementerian kesihatan, kajian, Lancet
Laporan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan (MOH) mendapati 2.3 peratus golongan wanita dalam lingkungan usia itu merokok secara harian, penurunan berbanding 3.6 peratus pada 2013. Perangkaan itu agak berbeza daripada hasil laporan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, ‘The Lancet Study’ pada Jun. - Foto fail

Kelaziman merokok dalam kalangan wanita di Singapura merupakan antara yang tertinggi di Asean, dengan lebih 6 peratus daripada kaum Hawa berusia 15 tahun dan ke atas dilaporkan merokok.

Demikian menurut laporan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet Study, pada Jun.

Laporan tersebut, yang mengkaji epidemiologi merokok bagi negara Asean dengan menggunakan data yang diperoleh daripada Kajian Beban Penyakit Sejagat (GBD) 2021, mendapati Singapura berada di tangga keempat bagi kelaziman merokok dalam kalangan wanita di Asean.

Epidemiologi adalah kajian tentang penyakit atau keadaan kesihatan dalam penduduk.

Ia menambah bahawa Singapura berada di belakang Laos (tempat ketiga); Filipina (tempat kedua); dan Myanmar (tempat pertama).

Namun, perangkaan itu amat berbeza berbanding dengan laporan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Laporan itu menyatakan bahawa 2.3 peratus golongan wanita dalam lingkungan usia 18 hingga 74 tahun merokok secara harian, satu penurunan berbanding 3.6 peratus pada 2013.

Menjelaskan perbezaan itu, jurucakap MOH dalam satu jawapan kepada Berita Harian (BH) menyatakan, terdapat perbezaan dalam kaedah metodologi laporan NPHS dengan laporan dalam The Lancet Study.

“Data NPHS adalah berdasarkan tinjauan ke atas individu berumur 18 hingga 74 tahun di Singapura untuk menyediakan data perwakilan nasional mengenai tingkah laku merokok dalam kalangan penduduk Singapura dalam kumpulan umur ini.

“Laporan, The Lancet Study, pula menganggarkan kelaziman merokok melalui data model daripada pelbagai tinjauan Asean, dan menggunakan pelbagai pelarasan bagi membuat anggaran yang lebih setanding merentas negara,” kata MOH.

Sungguhpun terdapat perbezaan data berkaitan kelaziman merokok dalam kalangan wanita di sini, kedua-dua laporan itu mendapati terdapat penurunan ketara dalam kelaziman merokok secara keseluruhan di Singapura sejak dua abad kebelakangan ini.

Menukil laporan NPHS 2023 itu, trend merokok bagi lelaki dan wanita secara keseluruhan di Singapura telah menurun daripada 13.1 peratus pada 2013 kepada 8.8 peratus pada 2023.

Ia penurunan ketara daripada 18.3 peratus penduduk berusia 18 hingga 69 tahun yang didapati merokok secara harian pada 1992, menukil Tinjauan Kesihatan Nasional (NHS) 2010, sebelum ia berubah nama kepada NPHS pada 2016.

Kajian Lancet pula melaporkan perangkaan menjunam dalam jumlah perokok wanita dan lelaki, iaitu masing-masing sebanyak 32.3 peratus dan 29.2 peratus, dalam kalangan mereka yang berusia 15 tahun dan ke atas dari 1990 hingga 2021.

Oleh yang demikian, MOH berkata rejim pengawalan rokok sedia ada – termasuk peraturan dan penguatkuasaan ketat, pendidikan berterusan dan sokongan bagi usaha berhenti merokok – harus dikekalkan.

“Kami rasa terdorong ekoran pendekatan berbilang cabang ini telah menyumbang kepada penurunan berterusan dalam kelaziman merokok sejak 10 tahun kebelakangan ini, dan akan meneruskan usaha kami bagi mengurangkan lagi kelaziman merokok,” ujar MOH.

‘Ayu’ (bukan nama sebenar), 23 tahun, merupakan antara individu yang merokok secara harian.

Menurutnya, keinginan beliau untuk cuba merokok timbul ketika beliau di bangku sekolah menengah pada usia sekitar 14 tahun.

Didorong keinginan tersebut, beliau menghisap rokok pertamanya bersama beberapa rakan seusia lain dalam bilik stor yang terletak di pekarangan sekolah, dedahnya dalam wawancara dengan Berita Harian melalui telefon.

Beliau tidak menyangka percubaan tersebut boleh menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan.

Anak bongsu lima beradik itu berkata: “Saya sebenarnya ingin tinggalkan tabiat merokok ini beberapa kali.

“Saya pernah cuba berhenti merokok (buat satu tempoh) paling lama lapan bulan sebelum kembali merokok kerana pada tahun itu, saya perlu menduduki peperiksaan, jadi saya perlukan saluran meredakan tekanan,” katanya.

‘Ayu’ menambah bahawa setiap hari, beliau akan menghisap lebih kurang empat batang rokok secara purata, bergantung pada kekuatan keinginan merokok.

Sehubungan itu, Pengarah Klinikal pusat pemulihan Khidmat Masyarakat We Care, Cik Tham Yuen Han, berkata meskipun merokok menjejas kedua-dua golongan lelaki dan wanita, kesannya lebih ketara terhadap wanita kerana ia boleh menjejas hormon wanita.

Beliau berkata: “Secara biologi, nikotin (bahan utama dalam rokok yang membawa kesan ketagihan) lebih menjejas keseimbangan hormon wanita berbanding lelaki.

“Dari segi aspek pemberhentian merokok, wanita mungkin menghadapi cabaran lebih besar, seperti kebimbangan terhadap penambahan berat badan dan pengendalian emosi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg