Kajian: Lebih 33% warga emas S’pura tidak sedar hidap penyakit mata

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian: Lebih 33% warga emas S’pura tidak sedar hidap penyakit mata

Seorang dalam lima alami kehilangan pendengaran ketara
Feb 23, 2026 | 8:15 PM

Kajian: Lebih 33% warga emas S’pura tidak sedar hidap penyakit mata

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penyakit mata, Institut Kajian Mata Singapura, Seri, warga emas, masalah penglihatan
Kajian oleh Institut Kajian Mata Singapura (Seri) mendapati seorang dalam lima warga emas mengalami masalah kehilangan tiga deria secara serentak, iaitu penglihatan, pendengaran dan bau. - Foto ST

Lebih seorang dalam tiga warga emas di Singapura tidak menyedari mereka menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit mata.

Sementara itu, seorang dalam lima warga emas pula mengalami masalah kehilangan pendengaran yang ketara, dengan sebilangan besar daripada mereka tidak menggunakan alat bantuan pendengaran.

Demikian menurut satu kajian berasaskan penduduk yang dijalankan oleh Institut Kajian Mata Singapura (Seri).

Kajian itu mendapati gangguan deria – yang melibatkan penglihatan, pendengaran atau deria bau – lazim ditemui dalam kalangan warga emas.

Kajian itu turut mendapati seorang dalam lima warga emas mengalami masalah kehilangan tiga deria tersebut secara serentak.

Mereka juga didapati tiga kali lebih berkemungkinan menghadapi kesukaran dalam menjalankan rutin harian, manakala kos penjagaan kesihatan mereka adalah empat hingga enam kali lebih tinggi.

Dapatan itu diperoleh daripada kajian yang dijalankan Seri, iaitu Profil Kesihatan Penduduk dan Penurunan Fungsi Deria Berkaitan Umur, atau dikenali sebagai ‘Pioneer’.

Kajian itu dijalankan terhadap 2,636 penduduk Singapura berbangsa Cina, Melayu dan India, berusia antara 60 dengan 102 tahun, dari sekitar Disember 2017 hingga Oktober 2022.

Para penyelidik telah menerbitkan 17 kertas kajian berdasarkan projek itu, dengan kertas kajian terkini mengenai kadar kelaziman dan faktor risiko kehilangan pendengaran dijangka diterbitkan tidak lama lagi.

Seri merupakan cabang penyelidikan di bawah Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC).

Ketua Penyelidikan Kesihatan Penduduk di Seri, Profesor Ecosse Lamoureux, berkata dengan kadar penuaan pesat di Singapura, pasukannya ingin menggunakan kajian ‘Pioneer’ untuk mengetahui hubung kait antara gangguan deria berkaitan umur dengan hasil utama kesihatan.

Ia termasuk penurunan fungsi kognitif, kesihatan otak dan kehilangan otot disebabkan penuaan, atau sarkopenia dalam kalangan warga emas di Singapura.

“Apabila anda menua, pelbagai sistem dalam badan – sama ada kardiovaskular (jantung dan saluran darah), pernafasan, otot, otak dan dalam kes kami, deria – semuanya menua secara serentak,” kata Profesor Lamoureux.

Menurut beliau, pendekatan menyeluruh yang mengambil kira semua penurunan saling berkait itu penting untuk membantu warga emas di Singapura hidup sihat lebih lama.

Profesor Lamoureux dan saintis-klinisian di Seri dan penyelidik bersama kajian itu, Dr Preeti Gupta, memberitahu The Straits Times (ST), mereka terkejut dengan kadar gangguan deria serta jurang besar dalam penjagaan deria dalam kalangan warga emas.

“Sekitar 70 peratus penduduk warga emas didapati mengalami beberapa bentuk gangguan pendengaran, termasuk kehilangan pendengaran yang ketara dan kami terkejut apabila mendapati kurang daripada 1 peratus daripada mereka menggunakan alat bantuan pendengaran,” kata Dr Preeti.

Sekitar 43 peratus warga emas didapati mengalami gangguan penglihatan, manakala 27 peratus pula mengalami beberapa bentuk gangguan deria bau, tambahnya.

“Dari segi komposisi badan dan kesihatan otot, warga emas kita tidak berada pada tahap sebaik yang disangka.

“(Sebagai contoh) sekitar 65 peratus daripada mereka mempunyai berat badan berlebihan atau obes dan 40 peratus mengalami kehilangan fungsi dan kekuatan otot atau sarkopenia,” kata Dr Preeti.

Selain itu, kajian itu mendapati hampir 90 peratus warga emas di Singapura daripada ketiga-tiga kumpulan etnik tersebut mempunyai kesihatan otot yang lemah, tambah beliau.

Menjelang awal 2027, para penyelidik menjangkakan dapat menyiapkan pengumpulan data susulan daripada kumpulan kajian tersebut untuk menentukan sama ada gangguan deria merupakan punca masalah kesihatan mereka, seperti kelemahan fizikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg